Peningkatan populasi itu dikatakan disebabkan oleh “Projek IC” yang dikatakan dirancang oleh perdana menteri berkhidmat paling lama Tun Dr Mahathir Mohamad.
KUALA LUMPUR, 26 Mac — Kekuasaan Barisan Nasional (BN) di Sabah mungkin berakhir kerana kemarahan penduduk tempatan berhubung pencerobohan Sulu, yang mereka kata disebabkan oleh pemberian kewarganegaraan sebagai pertukaran kepada undi di bawah “Projek IC” dan menyalahkan beberapa ahli politik gabungan pemerintah itu.
Bagi komuniti Kadazandusun dan Murut (KDM), kategori etnik terbesar di “negeri deposit tetap” BN, pemberontak bersenjata Sulu mudah masuk ke Sabah kerana kebanjiran warga asing telah berlaku berdekad lalu di bawah inisiatif pada tahun 1980an.
Mereka percaya kumpulan militan dari Sulu di selatan Filipina berjaya menyusun serangan kerana ramai simpatisan kumpulan itu dan ahli keluarga sememangnya menetap di negeri Borneo tersebut, disebabkan oleh “Projek IC”.
“Ini adalah ibu kepada semua masalah di Sabah. Ia telah lama menjadi ibu kepada segala masalah. Rakyat tahu tentang itu. Semua orang tahu tentang itu,” kata pemimpin KDM Denis Gimpah kepada The Malaysian Insider semalam.
“Akan tetapi disebabkan oleh kuasa dan wang, dan survival politik, pendatang ini diterima. Sekarang, kita pelajari dengan jalan susah mengapa ini tidak seharusnya dibenarkan, mengapa ianya seharusnya dihentikan.”
Sekumpulan 200 militan bersenjata yang mendakwa diri mereka “tentera Di Raja” Kesultanan Sulu mendarat tanpa sebarang masalah di Lahad Datu pada 9 Febuari untuk menuntut Sabah, melalui 40 minit jalan laut yang tidak dikawal ketat di antara selatan Filipina dan utara Sabah.
Kehadiran mereka telah menyebabkan 80 kematian, termasuk lapan anggota polis dan dua anggota tentera, memaksa penduduk kampung keluar dari rumah mereka di kawasan pendalaman tersebut. Putrajaya telah mengisytiharkan kawasanitu sebagai kawasan keselamatan khas dan akan meletakkan pasukan keselamatan untuk mengawal kawasan tersebut.
Gimpah, bekas orang BN mengatakan orang yang tinggal, kemusnahan alam sekitar dan kehilangan rumah akibat daripada pertempuran antara pasukan keselamatan Malaysia dan militan di Lahad Datu telah mengecewakan penduduk asal Sabah.
“Kami takut. Kami kecewa. Apa lagi yang kami patut rasakan? Keselamatan kami, kedaulatan kami musnah. Tanya mana-mana KDM.. mereka akan berutahu kamu perkara sama,” kata Gimpah.
Beliau meramalkan kemarahan ini akan memberi kesan kepada corak pengundian dalam Pilihan Raya 2013, terutamanya kerana pencerobohan bermula dikala rakyat Sabah menunggu keputusan penyiasatan Suruhanjaya Siasatan Di Raja (RCI) berkenaan pendatang haram negeri tersebut.
Datuk Jeffrey Kitingan, ahli politik veteran dan pemimpin KDM yang dikenali di Sabah mempunyai pandangan sama.
Beliau mengatakan komuniti KDM terus berada dalam ketakutan, marah dan kecewa, kerana merasakan kerajaan pusat gagal untuk melindungi keselamatan meraka.
“Secara asasnya, kami ketakutan. Kami rasa.. ini adalah ancaman keselamatan dan ini adalah sebenarnya berlaku. Ia berada dikalangan kami. Dan kami tidak tahu apa akan berlaku pada masa akan datang. Sudah tentu… kami marah,” katanya kepada The Malaysian Insider.
“Kami lihat pencerobohan ini mempunyai kaitan dengan tindakan kerajaan memberikan kad pengenalan kepada pendatang semata-mata untuk menjaga kepentingan politik tertentu.
“Ini, anda tahu, ini telah memakan diri sendiri … kita telah dibangkitkan ini selama 20 tahun dan kita berkata ini akan berlaku satu hari nanti ... dan cuba teka? Ianya berlaku.”
Pengarah Merdeka Center for Opinion Research Ibrahim Suffian (gambar) bersetuju dikalangan penduduk asal Sabah sedang menyalahkan kehilangan kehidupan dan mata pencarian kepada “Projek IC” dan pesalah-pesalah yang mendalangi kontroversi tersebut.
Menurut beliau, adalah normal untuk mengaitkan pencerobohan militan Sulu dengan pemberian IC kepada orang asing, yang dikatakan berlaku di bawah projek tersebut.
“Ia berjalan seiring. Dan sudah tentu, penduduk tempatan mempunyai pengetahuan luas tentang apa yang berlaku di bawah,” kata Ibrahim.
“KDM akan menjadi amat marah kerana melihat ini sebagai pencerobohan ke dalam wilayah mereka.
“Mereka akan menyalahkan kerajaan persekutuan kerana peranan mereka, mempercayai peningkatan penduduk di Sabah disebabkan oleh projek itu.”
Tetapi komuniti Bumiputera Muslim mempunyai pandangan berbeza, katanya, menjelaskan mereka yang mendapat manfaat secara langsung dari “Projek IC” mungkin tidak akan menghukum kerajaan diatas pencerobohan tersebut, walaupun apabila pilihan raya sedang berlangsung.
Bagi masyarakat Suluk yang dianggarkan 300,000 orang di Sabah walau bagaimanapun, kehidupan aman mereka telah bertukar menjadi mimpi ngeri.
Komuniti Suluk Malaysia adalah berasal dari Kesultanan Sulu di selatan Filipina, dimana pemberontak bersenjata berasal. Akan tetapi komuniti di Sabah, sekarang sudah generasi ketiga, setia kepada Yang Di Pertuan Agong dan kerajaan dan bukannya kepada Kesultanan.
Mereka adalah generasi lahir daripada mereka yang megambil bahagian dalam referendum Suruhanjaya Cobbold pada tahun 1962 di Sabah dan Sarawak, dimana dua pertiga daripada mereka mengundi untuk menjadi sebahagian daripada Malaysia, memberi laluan kepada penubuhan Malaysia pada 1963.
Akan tetapi sekarang, mereka dalam ketakutan di rumah mereka kerana seringkali disalah anggap sebagai pemberontak Sulu dari Filipina.
“Kami adalah rakyat Malaysia dan menyokong kerajaan di sini 100 peratus. Apa yang kami takut hari ini adalah kami disalah anggap, disalah anggap sebagai orang asing tidak bertamadun dari Filipina,” kata Setiausaha Agung Persatuan Rumpun Etnik Suluk Sabah (PRESS) Mohd Zaki Harry Susanto.
Bekas anggota polis berumur 39 tahun itu memberitahu The Malaysian Insider masyarakat Suluk marah dengan pencerobohan tersebut dan yang lebih memalukan, ianya diketuai oleh Suluk dari Filipina.
“Kami merasakan tindakan mereka bodoh … tidak bermakna dan tidak bertamadun. Bodoh sebab mereka menuntut sesuatu yang bukan milik mereka. Tidak bertamadun kerana sebenarnya, budaya Suluk adalah merendah diri dan Muslim yang baik,” katanya.
Menurut jawapan Parlimen pada 2011, populasi Sabah berjumlah 651,304 pada 1970 bertambah ke 929,299 sedekad selepas itu. Akan tetapi dua dekat selepas 1980, populasi negeri meningkat sebanyak 1.5 juta orang, mencecah 2,468,246 pada 2000.
Mengikut laporan media, pada 2010, jumlah telah meningkat ke 3.12 juta, dengan orang asing sebanyak 889,799 atau 27 peratus daripada populasi.
Peningkatan populasi itu dikatakan disebabkan oleh “Projek IC” yang dikatakan dirancang oleh perdana menteri berkhidmat paling lama Tun Dr Mahathir Mohamad.
Di bawah projek tersebut, kerajaan BN telah dituduh memberikan IC kepada orang asing sebagai pertukaran kepada undi mereka menyebabkan mereka terus berkuasa di negeri tersebut.
Pentadbiran Najib telah menubuhkan RCI untuk melihat kepada kewujudan projek tersebut akan tetapi terganggu akibat daripada pencerobohan Sulu.
Pembangkang Pakatan Rakyat (PR) telah berjanji untuk membawa mereka yang terlibat dalam “Projek IC” ke mahkamah, jika mereka berkuasa selepas pilihan raya akan datang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Kalau takde nama pegi pejabat pendaftaran dulu sebelum komen. hahaha