19 Jun, 2013

Luahan hati Dr. Mohd Nasir Hashim PSM. Jom baca.



Dr. Mohd Nasir Hashim
Presiden Parti Sosialis Malaysia 

Kepada,
Yang dihormati,
Seluruh Rakyat Malaysia.

Kebelakangan ini pelbagai tohmahan dilontarkan kepada Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan perjuangannya. Kami tetap keliru, adakah mereka tidak faham, selesa melepaskan bahasa kesat ataupun mempunyai agenda yang mereka sendiri tidak boleh pertahankan. Bukan tidak ada buku-buku ilmiah dalam pasaran dan timbunan maklumat dalam internet tentang isu-isu yang diingini. Bertindak melulu dengan maklumat mulut ke mulut, apatah lagi mengembangkan fitnah demi fitnah amat merbahaya sekali.

Mengikut Al-Quran, Surah Baqarah 2: 191, 214, “fitnah lebih kejam dari pembunuhan”. 

Di samping itu menyalahgunakan agama untuk memburukkan lawan samalah seperti , “ menjual agama dengan harga yang murah” (Surah Baqarah 2: 41)

Sesungguhnya perjuangan PSM tidak pertikaikan agama tetapi mempertikaikan sistem ekonomi kapitalis (yang kita sedang anuti) yang menghancurkan manusia, kemanusiaan dan memusnahkan alam sekitar. Tambahan pula, sistem ini berkiblat kepada penindasan dan mempertuhankan kepada keuntungan. Namun kita sudah alpa, lebih berdiam diri kerana sudah lama dijeruk dalam budaya yang mengagungkan golongan kaya, berbudi kepada budaya kebergantungan (pautan/subsidi/culture of dependency) dan bertindak melulu tanpa melakukan siasatan lanjut.

Kami ingin merujuk kepada pandangan beberapa pujangga tentang sosialisme.

WC Smith, adalah pengkaji Islam dan paderi Kristian berhaluan kiri yang mengajar di Government College, Lahore pada tahun 1930s, yang menulis dalam bukunya bertajuk, “Islam in the Modern World”, that Islam was the first organised socialist movement in the world. (Islam adalah pergerakan sosialis yang pertama dalam dunia)

Albert Einstein : Konflik yang sah antara sains dan agama tidak wujud sama sekali . Sains tiada agama adalah cacat, agama tiada sains adalah buta. Einstein merupakan orang yang terulung kali menyumbangkan artikelnya dalam The monthly Review – Socialist Journal

Karl Marx: telah merujuk kepada kerenah paderi-paderi dan Paus yang menjadi pemilik kuasa dan harta yang terbesar pada masa itu yang, menjanjikan keselesaan selepas mati. Beliau melafazkan kata-kata, “Agama adalah keluhan rakyat yang tertindas, hati kepada dunia yang tidak berhati perut dan jiwa kepada keadaan yang kehilangan jiwa. Ia dijadikan candu kepada manusia.”

VI Lenin: Musuh kita bukan agama. Musuh kita adalah kapitalisme

Ulama Iqbal: telah memberi penghormatan besar kepada sosialisme dalam penulisannya “ Khizar-i-Rah selepas kejatuhan kuasa Usmani di Turkey dan menjelang Revolusi Rusia. Beliau juga sanjungi Karl Marx dan menyebutnya sebagai ‘seorang yang memiliki sebuah buku’ dan bukan pula seorang nabi’

Dr Burhanuddin Al-Helmy (1911-1969) Seorang sosialis yang menjadi Pengasas Parti PAS dan pemimpin PAS 1956-1969, bergerak bersama Ahmad Bustamam; Mustapha Hussain; Ibrahim Yaakob; Ishak Haji Muhammad.

Beliau menganggotai KMM Kesatuan Melayu Muda semenjak 1939 – parti politik kiri radikal dengan pandangan politik secular.

Pendapat beliau tentang sosialisme pada 1956 – Kita dari angkatan PAS melancarkan bahtera perjuangan kita menuju pelaburan cita-cita Islam yang sangat jauh pelayarannya, tetapi kita bersama-sama bertolak beriringan dengan aliran nasionalisme yang tulen dan angkatan sosialisme. Angkatan nationalisme akan sampai lebih dahulu, kemudian kita hantar dan iringkan pula angkatan sosialisme hingga sampai ke pelabuhan Islamisme.

Sedarlah, Al-Quran memihak kepada golongan yang lemah dalam masyarakat dan menegaskan bahawa kepimpinan akan muncul daripada golongan pekerja (seiring dengan wawasan sosialis). Sebenarnya Iman Khomeini pemimpin yang pertama kali merujuk Surah Qasas 28:5, apabila menubuhkan Bonyaad-i-Mustazefeen (Foundation of the Weak) menggunakan harta yang dirampas daripada orang-orang kaya.

Seperti dimaklumkan, semua Nabi Allah datang daripada golongan yang lemah dalam masyarakat termasuklah Nabi Ibrahim, Nabi Musa dan Nabi-Nabi lain, yang menentang penindas besar seperti Nimrod dan Firuan

Mengikut Al-Quran pertentangan antara mustakbirun (kapitalis/penindas/berkuasa) dan mustadifun (pekerja/tertindas/lemah) akan berlarutan dan akhirnya mustadifun berjaya mewarisi dunia ini sepertimana di sebut dalam Surah Al-Qasas 28:5

Dan Kami hendak memberikan kurnia kepada orang-orang yang tertindas di bumi dan hendak menjadikan mereka pemimpin, serta jadikan mereka orang-orang yang mewarisi (bumi)

“And We wish to give blessings to those who have been exploited on earth and wish to make them leaders, also make them the inheritors (of this earth)

Kalaulah kita tidak tahu menahu sumber atau latar belakang pada ayat ini, kita pasti mengatakan bahawa ianya dilafazkan oleh seorang sosialis kerana ayat ini menegaskan bahawa rakyat (golongan pekerja) yang tertindas akan bangkit, dan membebaskan diri dari belenggu penindasan dan penganiayaan. Maklumat, ilmu dan pengalaman di dalam hidup ini dapat merangsangkan mereka untuk bersatu, memimpin umat lantas mewarisi dunia ini. Sesungguhnya rangkaian ayat ini menjadi sumber rujukan, sumber ilham dan idaman pada semua sosialis. Inilah inti sari sosialisme dan inilah perjuangan kami. Sebenarnya konsep-konsep sosialisme sudah termaktub dalam Al-Quran.

Menurut Surah Az- Zariyat 51: 20-1

Dan di bumi terdapat tanda-tanda bagi orang yang yakin, dan (juga) pada dirimu sendiri. Maka apakah kamu tidak memerhatikan?

Juga, Perhatikan pada seluruh ufuk dunia dan pada diri sendiri maka kau mengenali Kebenaran (Al-Haqq)

Lagi sekali ayat-ayat ini menegur kita supaya mencari ilmu di mana jua termasuklah memahami jiwa sendiri hingga kita benar-benar mengenali dan mengamalkan kebenaran dan keadilan. Pendek kata sekira kita ingin mengenali diri sendiri (zahir dan nbatin) kita harus melibatkan diri dalam menyarakat kerana ilmu dan pengalaman itu adalah guru kita.

Lagipun, terdapat dari ayat-ayat Madinah dalam At-Taubah 9:34, di mana Allah mengutuk dan menyelar kerakusan membolot kekayaan (monopoli) “…Dan orang-orang yang menyimpan emas dan perak dan tidak menginfakkannya di jalan Allah – dan khabarkan bahawa mereka akan mendapat azab yang pedih.

Abu Dharr Ghaffari, satu antara Sahabat yang rapat kepada Nabi SAW dan dianggap sebagai seorang sosialis, selalu merujuk ayat ini kepada mereka yang rakus menggandakan kekayaan.

Abu Dharr tetap dengan prinsipnya dan mempertikaikan segala jenis penyelewengan, namun dipulaukan dan mati di padang pasir Rabza. Begitu juga dengan Surah Baqarah 2:219,

“Mereka menanyakan kepadamu (tentang) apa yang (harus) mereka infakkan. Katakanlah, kelebihan (surplus) apa yang diperlukan.

Arahan ini lebih dekat dengan formulasi sosialis iaitu ‘pada setiap orang mengikut kemampuannya’ (‘To each according to his ability’).

Sosialis mempertikaikan pembolotan harta dan monopoli dan ingin mendedahkan sifat tamak haloba seperti juga disebut dalam Surah Al-Hashr 59:7

Jangan harta itu beredar antara orang-orang kaya saja di antara mu

Wealth should not be permitted to circulate among the wealthy only

Pada sosialis riba telah dijadikan bahan penindasan dan ketidakadilan seperti dalam Surah Al-Imran 3: 130

Hai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu memakan riba yang berlipat-lipat ganda

O Believers ! do not consume riba, doubling and redoubling ..

Di samping itu Al-Quran tegas menegakkan keadilan dan memerangi penindasan dan penyelewengan

An-Nisa 4: 135

O ye who believe ! Stand out firmly (to fight) for justice

Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu orang yang benar-benar menegakkan keadilan

Ar-Rahman 55:7-8

Dia mewujudkan perimbangan (keadilan) agar kau tidak mencerubuhi perimbangan ini

He has set-up the balance (justice) in order that ye may not transgress (due) balance

Al-Ma’idah 5:8

“ Berlakulah adil, kerana adil itu lebih dekat kepada takwa”

“Do justice, it is closest to being pious”.

Justeru itu hakikat sosialisme bergantung sepenuhnya pada keadilan, termasuklah pengagihan yang adil (distributive justice) apabila dibaca bersama Surah 104 dan 107.

Sosialisme berpandukan amalan dialektika (mukhasamah) iaitu mengimbangkan hubungan dinamik yang bercanggah tetapi saling memerlukan (tidak boleh dipisahkan) – contradictory but complementary. Ilmu ini berakar umbi sejak ajali lagi (primordial knowledge) dan kita mengolahkannya sejajar dengan keperluan semasa.

Sebagai analogi, sifat manusia adalah barzakh antara langit (melambangkan malikat) dan bumi (melambangkan syaitan). Tugas kita adalah mengimbangkan kedua-dua sifat yang bercanggah ini agar kebaikan mendahului keburukan / kejahatan (Rahmat Allah mendahului KemurkaanNya) seperti Surah Ar-Rahman 55: 27, 79

Tuhan dengan sifat-sifat yang bertentangan (Keagungan dan Keindahan)

Lord of the two opposite attributes (Majesty and Beauty)

Tafsiran Abdullah Yusuf Ali terhadap Surah Ar-Rahman 55 membayangkan hubungan dialektika, iaitu walaupun sesuatu itu wujud berpasangan, namun tetap mendasari Penyatuan, suatu simponi keduaan yang menuju kepada Penyatuan.

Sifat yang bercanggah terus timbul dalam Al-Quran dengan tujuan bahawa segala sesuatu wujud dalam pasangan yang bercanggah dan tugas kita dalah untuk mengimbangkannya dan sifat ini diulangi pada Surah Al-Hadid: 57:3

Dia yang Awal dan yang Akhir, yang Zahir (tashbih) dan Batin (tanzih)

He is the First and the Last, the outwardly manifest and the inwardly Hidden

Dan kehadiran sifat yang bercanggah ini wujud berpasangan seperti disebut dalam Surah Yasin 36: 36

Mahasuci (Allah) yang telah menciptakan semuanya berpasang-pasangan baik dari apa yang ditumbuhkan oleh bumi dan dari diri mereka sendiri, maupun dari apa yang tidak mereka ketahui

Glory be to Him, who hath created pairs of all things of what the earth growth, and of mankind themselves, and of things beyond their ken

Muhyiddin al-Arabi (meninggal 1240) – Sheikh Al Akbar – The greatest Muslim Thinker- menggunakan konsep dialektika dalam segala penulisannya. Beliau juga merujuk ungkapan dialektika kata-kata Abu Said Kharraz (meninggal 899)

Tuhan dapat dikenali melalui pengolahan/perimbangan sifat-sifat yang bercanggah

God is known through the synthesis of antimonic affirmations (unity of opposites)

Kita sedar bahawa hubungan dialektika ini membawa perubahan yang nyata. Pendek kata perkara yang benar-benar kekal di dunia ini adalah perubahan seperti disebut dalam Surah Ar-Rahman 55: 29

Setiap waktu Dia dalam kesibukan (menyelesaikan / mengubahkan sesuatu)

Pada Shah Wali Allah pula, istilah Kalam merupakan penyatuan sifat-sifat yang bercanggah antara shari’ah dengan tariqah, falsafah dengan metafisiks, sebab-musabab dengan taklid, dan intuisi dengan imaginasi.

Diharapkan penjelasan ini memadai untuk memberi fahaman bahawa sosialisme mempertikaikan system ekonomi bahkan mendapat sumber ilhamnya dari Al Quran.

Sekian, terima kasih

Mohd Nasir Hashim

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kalau takde nama pegi pejabat pendaftaran dulu sebelum komen. hahaha