19 Julai, 2013

Akta pelindung SPR langgar perlembagaan




KUALA LUMPUR, 18 JULAI: Ahli Parlimen DAP Klang, Charles Santiago hari ini melancarkan kempen dalam talian ‘Mansuhkan 9A’ bagi mendesak kerajaan memansuhkan Seksyen 9A Akta Pilihanraya 1958 kerana bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Menurut beliau, Seksyen 9A telah menghalang rakyat daripada mencabar kesahihan daftar pemilih melalui proses mahkamah walaupun ia membabitkan kepentingan awam.
“Rakyat tidak sepatutnya dihalang daripada menggunakan hak mereka untuk mempertikai kesahihan senarai daftar pemilih jika ada pengundi meragukan.
“Melalui kempen ‘Mansuhkan 9A’ ini, Pakatan Rakyat menggesa kerajaan memansuhkan Seksyen 9A, kerana jelas tidak demokratik apabila melucutkan bidang kuasa badan kehakiman dan menjadi penghalang pilihan raya yang bersih dan adil.
“Seksyen itu diperkenalkan bagi membolehkan Barisan Nasional (BN) melindungi pengundi hantu, jadi ia tidak relevan untuk digunakan dan pemansuhan itu akan dapat mengembalikan semula kuasa mahkamah,” katanya pada sidang media di Lobi Parlimen, hari ini.
Seksyen 9A Akta Pilihan Raya 1958 menetapkan bahawa selepas senarai daftar pemilih disah atau disahkan semula dan notis pengesahan atau pengesahan semula diterbitkan dan diwartakan, senarai daftar pemilih itu dianggap muktamad dan tidak boleh dipertikai atau dirayu, dikaji, dibatal atau diketepikan di mana-mana mahkamah.
Seksyen itu mula dimasukkan dalam Akta Pilihan Raya 1958 oleh BN selepas kes Pilihan Raya Kecil Likas.
Pada PRK Likas 2001, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu membatalkan keputusan PRK Likas setelah mendapati senarai daftar pemilih kawasan Likas tidak sah kerana mengandungi pengundi hantu.
Turut hadir pada sidang media itu ialah Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Pengerusi Bersama Bersih 2.0, Datuk Ambiga Sreenevasan.
Ambiga pula menegaskan pemansuhan itu perlu jika benar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) benar-benar bersih dan tidak menyembunyikan sesuatu dalam daftar pemilih.
“Melalui pemansuhan ini, SPR tidak lagi boleh memberi jawapan ‘tidak memuaskan’ proses undi dan perlu membuktikan bahawa ia terbukti bersih seperti yang ditegaskan.
“Masalah 9A adalah bahawa (ia menjadikan) SPR penjaga tunggal daftar pemilih, ini menyebabkan kami boleh membawa kes penyelewengan undi ke mahkamah,” katanya menyokong kempen ‘Mansuh 9A’ itu.
Selain Santiago, dua lagi ahli Parlimen yang bertanggungjawab terhadap kempen itu adalah Ahli Parlimen PKR Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar dan Ahli Parlimen PAS Sepang, Mohamed Hanipa Maidin.-Roketkini.com



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kalau takde nama pegi pejabat pendaftaran dulu sebelum komen. hahaha