15 November, 2013

Muktamar PAS. Suarahati Khalid Samad


Coretan Menjelang Muktamar

Muktamar PAS yang ke 59 kali ini merupakan muktamar yang akan diadakan pemilihan. Ianya amalan biasa, pemilihan diadakan setiap dua tahun. Namun buat kali ini, banyak sangat yang berlaku yang lain dari yang lain. Mungkin ini adalah kerana PAS sudah menjadi parti yang mempunyai kedudukan di beberapa negeri dan sudah membentuk kerajaan melalui PR. Mungkin inilah yang dikatakan ujian ‘kemenangan’.

Yang paling berbeza adalah corak kempen yang sedang berlaku. Facebook dan media baru dipenuhi dengan corak kempen fitnah menfitnah dan adu-domba. Suasana persahabatan dan ukhuwwah dirosakkan. Yang anehnya, ianya dirosakkan oleh golongan yang mendakwa ingin ‘menyelamatkan PAS’.

BUDAYA FITNAH PEROSAK: HADAPINYA DENGAN “KEKAL”
Bagi saya, kalau ingin ‘menyelamatkan PAS’ sekalipun, ianya perlu dilakukan tanpa budaya fitnah dan adu-domba, tanpa merosakkan persahabatan yang telah terjalin sekian lama. Sepatutnya dibina dari apa yang telah sediada, bukan berusaha untuk meruntuhkannya.

Oleh itu saya secara peribadi beranggapan mereka bukan menyelamatkan PAS tetapi merosakkannya dari dalam.

Sebagai protes terhadap budaya perosak yang dibawa mereka, saya nyatakan secara terbuka, saya akan undi untuk kekalkan yang sediada. Saya menyeru kepada sesiapa yang bersetuju bahawa budaya yang dibawa golongan muda ini ditolak, sepertimana juga usaha ‘perubahan dan menyelamat’ yang kononnya mereka inginkan; melakukan seperti saya. Tolak melalui ‘KEKAL’, cogan kata yang membawa kemenangan di Sungai Limau. KEKAL budaya politik bersih dan sihat dan KEKAL saff pimpinan yang sediada.

BAHAYA POLITIK FITNAH
Dalam dunia politik, mungkin akan dikatakan soal fitnah perkara biasa! Ya, bagi politik yang tidak takut kepada kemurkaan Allah, bukan politik Islam lebih-lebih lagi dalam jemaah Islam. Ianya mungkin biasa bagi UMNO tetapi jangan sekali-kali dibawa dalam PAS!

Sepatutnya ummat Islam, dan khususnya mereka yang ingin memperjuangkan penghayatan Islam di dalam sistem hidupnya, akan merasa serik dengan budaya fitnah. Tidak cukupkah pengajaran dalam sejarah Islam bagaimana politik fitnah dan adu-domba telah menghasilkan luka yang kesannya dirasai beratusan tahun? Lihat kisah Saidina Othman (RA). Walaupun beliau salah seorang dari sepuluh yang dijanji syurga, beliau tetap tidak terlepas dari budaya fitnah yang tersebar luas sehingga golongan muda dan bersemangat akhirnya bertindak melampaui batas.

Jika dikenang kembali bagaimana fitnah yang tersebar menghasilkan keadaan sehingga Muhammad bin Abu Bakar, anak Saidina Abu Bakar (RA) sendiri, menceroboh masuk ke rumah Othman dan sambil menarik janggut Othman, menghunus pedang untuk membunuhnya. Saidina Othman telah berkata, “kalau ayah kamu berada di sini pada hari ini, pasti dia tidak melayani saya sebegini...” Mendengar kata-kata Saidina Othman, maka Muhammad bin Abu Bakar tersentak lalu melepaskannya dan terus meninggalkan rumah Saidina Othman.

Kalau sahabat seperti Saidina Othman sendiri boleh difitnah, apakan lagi orang seperti kami. Hasil fitnah terhadap Othman maka berlakulah pembunuhannya yang menghasilkan pula perang antara Saidina Ali dengan Saidatina Aisyah pada mulanya dan diikuti pula perang dengan Muawiyyah. Ini telah kemudiannya menghasilkan golongan Syiah Ali dan Khawarij yang akhirnya menyebabkan perpecahan yang sentiasa dimanfaatkan oleh musuh Islam hingga ke hari ini. Kesan fitnah ini dirasai hingga ke hari ini.

FITNAH SYIAH TERHADAP MAT SABU
Ada yang mendakwa ingin selamatkan PAS dari pengaruh Syiah yang kononnya dibawa Mat Sabu! Saya nyatakan di sini, beliau bukan penganut fahaman Syiah. Perginya beliau ke Syria untuk menyeru Bashar supaya membuat pilihan-raya dan jangan membunuh rakyat Syria. Mat Sabu cuba memanafaatkan kenalan dan hubungan yang sedia terjalin sekian lama kerana Damsyik merupakan tempat terdapatnya pejabat HAMAS dan juga Jihad Islami. Syria juga merupakan laluan untuk bantuan kepada Hisbullah yang diguna oleh Iran. Maka Mat Sabu pernah berurusan dengan kerajaan Syria dan mengenali mereka. Usaha mulia beliau diguna untuk menuduhnya sebagai seorang penganut fahaman Syiah.

Dakwaan dibuat oleh mereka kerana ingin menjatuhkan beliau sehingga sanggup menjadi pemanjang fitnah lidah UMNO dalam PAS! Dakwaan Mat adalah Syiah dimulakan oleh pihak musuh dan malangnya dimanfaatkan oleh ‘orang PAS’ untuk menjatuhkannya. Jika benar dakwaan mereka ini, maka bawakan bukti dan laporkan kepada JK disiplin parti!

Tetapi jika tidak, maka ketahuilah ianya tidak lain melainkan fitnah.

TIMBALAN PRESIDEN MESTI ULAMA?
Isu Timbalan Presiden mesti ulama adalah satu pandangan. Ianya bukan satu ketetapan. Saya hormati pandangan itu tetapi ‘patek mohon derhaka’ di dalam Pemilihan Timbalan Presiden PAS.

TGNA juga sudah menyatakan sebaliknya. Kertas Mesyuarat Peranan Majlis Syura Ulama dan Jawatankuasa PAS Pusat yang saya kongsi bersama tempoh hari juga telah nyatakan secara jelas bahawa Jawatan Pusat termasuk Presiden dan Timbalan Presiden adalah‘tanfizi’ iaitu perlaksana. Maka saya rasa ianya sudah cukup jelas, ianya bukan satu kemestian.

Yang penting bagi saya ialah Timbalan Presiden perlu membantu Presiden dalam urusan yang Presiden mungkin tidak sehebat. Barulah Timbalan Presiden membawa ‘added value’atau nilai tambah. Apa guna adanya Timbalan Presiden yang hanya mampu membuat apa yang mampu dibuat Presiden dan itu pun tidak sehandal Presiden?

Sebagai perumpamaan, apabila kita makan menggunakan sudu, pasti ianya diregukan dengan garfu. Atau jika makan ‘steak’, pisau digandingkan dengan garfu. Jarang sekali sudu digandingkan dengan sudu kecil atau garfu dengan garfu kecil.

Maka bagi saya, Mat Sabu mempunyai kekuatan tersendiri dan akan membawa sokongan tambahan kepada PAS. Beliau mampu memperkukuhkan lagi hubungan PAS dengan PR dan sokongan dari bukan Islam. Sambil itu Presiden TGHH mampu menambahkan lagi sokongan dari masyarakat Melayu dan golongan agamawan.

ISU SEBENAR YANG PERLU DIFIKIRKAN PERWAKILAN
Suasana fitnah ini semua mempunyai matlamat tertentu. Di sebalik laungan ‘selamatkan PAS’ dan ‘pertahan kepimpinan ulama’, kononnya; agenda yang tersirat ialah untuk membawa PAS keluar dari PR. Ini bacaan saya. Banyak kali telah saya sebut.

Maka perwakilan perlu pilih di antara calon yang akan KEKAL dan kukuhkan PR dan calon yang ingin mengkaji semula hubungan PAS dan PR.
Kalau susah untuk dikenali, maka sekali lagi saya syorkan, KEKALkan sahaja yang sediada.

Jika berhasrat untuk tukar dua tiga AJK PAS Pusat, dengan muka baru yang lebih muda, tiada masalah. Khususnya menggantikan orang seperti saya yang tidak menyerlah sangat prestasinya. Tetapi apa yang ada secara umum sudah cukup baik sepertimana juga strategi yang diguna-pakai melalui PR.

WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD

2 ulasan:

  1. Baca lah hai ahli Pas komen yang bernas ini.Musuh kita hanya lah pada yang tak mahu hukum hudud dan mendaulatkan Islam.

    BalasPadam

Kalau takde nama pegi pejabat pendaftaran dulu sebelum komen. hahaha