01 Disember, 2013

Surat terbuka dari muslimat untuk Presiden PAS



SURAT TERBUKA BUAT YB TUAN GURU HAJI HADI, PRESIDEN PAS

Assalamualaikum W.R.T. 

Tuan Presiden PAS,

Terlebih dahulu kami meminta maaf jika warkah ini mengganggu ruang masa Presiden yang sibuk.

Siapalah kami, hanya seorang daripada Muslimat PAS.

• Hanya seorang daripada ratusan ribu Muslimat PAS yang berjuang tanpa meminta apa-apa imbuhan atau pulangan.

• Hanya seorang daripada Muslimat yang diwakili oleh pihak yang minority di peringkat pusat.

Walaupun demikian, atas dasar kami juga mewakili 50% pengundi perempuan di luar sana, kami mohon, bukan untuk mendapat tambahan tempat muslimat di Jawatankuasa Pusat, tetapi memohon supaya tuan presiden melihat kami sebagai manusia, bukan hanya melihat kami sebagai jentera.

Kami bukan macam wanita UMNO yang hanya berfungsi untuk memenuhkan korum mesyuarat, atau sebagai perayu undi. Tetapi kami juga pejuang yang istiqomah untuk menumbangkan kezaliman.

Tuan Presiden,

Kami amat lega apabila tuan berkata semua pemuda adalah anak tuan. Kami mengandaikan pemuda ini termasuk juga anak-anak gadis kami.

Oleh kerana itu kami mahu tuan dikelilingi penasihat-penasihat yang mampu menjamin kebajikan dan keselamatan pemuda-pemuda dan gadis-gadis ini seperti mana tuan melayani anak-anak tuan sendiri.

Kami mohon, tuan pilihlah pasukan penasihat yang ahlinya memenuhi ciri-ciri berikut:

• Dia hendaklah seorang yang ikhlas, berintegriti dan amanah dalam menjalankan tugasnya
• Dia hendaklah seorang yang mempunyai vision yang dikongsi bersama keseluruhan ahli jemaah;
• Dia hendaklah seorang yang mementingkan kualiti dalam menguruskan pekerjaanya;
• Dia hendaklah bersifat people-friendly dan bersopan-santun;
• Dia hendaklah bersifat adil dan saksama dalam tindakan, termasuk perlantikan ke jawatan tertentu bagi membantu tugasannya;
• Dia hendaklah bersifat inklusif dan memberi ruang kepada penyertaan ahli jemaah dalam proses pengambilan keputusan yang berkaitan;
• Dia hendaklah seorang yang mempunyai track-record yang cemerlang sepanjang perkhidmatan/sumbangan di dalam PAS;
• Dia hendaklah mempunyai jaringan yang baik dengan ahli-ahli dalam Pakatan Rakyat;
• Dia hendaklah seorang yang fleksible tanpa mengadaikan prinsip asas perjuangan parti;
• Dia hendaklah seorang yang teguh pendirian dan mampu menepis serangan dari pihak BN.
• Dia hendaklah seorang yang boleh dijadikan contoh oleh anak-anak kami ketika melakar masa depan mereka.

Tuan Presiden,

Permohonan ini didorong oleh rasa tanggungjawab kami terhadap masa depan anak-anak gadis kami dan anak-anak teruna kami yang akan mewarisi Tanah Air ini.

Kami bimbang jika tersalah pilih penasihat, kita akan gagal lagi ke Putrajaya dan berterusanlah segala kepayahan yang kami lalui sekarang sehingga ke cucu-cicit kami.

Tuan Presiden,

Dengarlah rayuan kami, demi kelestarian kepercayaan kita (Islam), masa depan kita, dan negara kita.

Sama-samalah kita menumbangkan kerajaan yang zalim ini.

Yang ikhlas

Yongintan Noor

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Kalau takde nama pegi pejabat pendaftaran dulu sebelum komen. hahaha