07 Oktober, 2014

Ibadah Haji kian tercemar?

  • Orang Melayu naik haji

  • Faisal Tehrani | 5:43PM Oct 6, 2014

  • Jika kita merujuk karya sastera lama, sebetulnya ritual haji telah pun dilaksanakan oleh orang Melayu dengan penuh keterujaan sejak lama lagi. Jika benar Hang Tuah itu ada, maka beliau antara contoh yang sempat dicungkil dan menjadi bukti haji telah menjadi dambaan orang Melayu sekian lama. Dalam Hikayat Hang Tuah, Laksamana Hang Tuah dan Maharaja Setia menunaikan haji seperti digambarkan dalam perenggan ini:

    "Setelah sudah maka datanglah pada sembilan haribulan Zulhijjah. Maka berhimpunlah berjalan sekalian orang Mekah itu pergi dengan Syarif Ahmad itu masing-masing dengan takhta kebesarannya, beberapa ratus tunggul panji-panji daripada sakhlat, dewangga, beledu dan kimkha berkibaran seperti kota cemara, pergi Haji ke Bukit Arafah. Maka Laksamana dan Maharaja Setia pun pergilah bersama-sama dengan orang Mekah sekalian itu mengerjakan seperti rukun haji itu. Setelah sudah habislah dikerjakannya lalu turun ke Mina pula melontar batu yang bernama Jamratul Aqabah dan Jamratul Wusta dan Jamratul Ula itu. Setelah sudah, lalu mengorban, maka Laksamana dan Maharaja Setia pun bercukurlah. Maka habislah rata seperti syarat perintah Haji, Ziarah dan Haji Umrah semuanya dikerjakan. Maka Laksamana dan Maharaja Setia pun kembalilah ke Mekah dengan sekalian orang banyak itu lalu ziarah pula pada Maqam Ibrahim. Maka sampai pada sepuluh haribulan, tirai Ka'abatul Lah pun disalin oranglah. Maka Laksamana pun membelilah tirai itu barang sedapatnya. Setelah keesokan harinya maka Laksamana pun masuklah ke dalam Ka'batul Lah, sembahyang lalu mencium batu yang bernama Hajarul Aswad itu. Setelah sudah lalu keluar bersama-sama dengan orang banyak lalu Tawaf pula ia akan Tawaf rukun. Telah selesailah habis dikerjakan maka Laksamana dan Maharaja Setia pun mengambil air pada telaga zamzam itu lalu berjalan ke Madinah bersam-sama dengan qafilah yang banyak itu." (Hikayat Hang Tuah, 1959)

    Meskipun ada acara haji dalam manasik haji Hang Tuah ini dilangkau pencatatnya, seperti bermalam di Mudzalifah, dan acara sa'ei; tetapi tertib haji yang kemas tergambar serba sedikit padanya.

    Menurut aku, Arab Saudi telah keletihan menganjurkan acara haji. Mereka, sebagai tuan rumah juga gagal memahami, dan menghayati falsafah ibadah haji sehingga ibadah yang sepatutnya menjadi kongres tahunan umat Islam itu terasa kering-kontang dari segi semangat. Bahkan, di Masjidil Haram pada 11 dan 12 Zulhijjah, pihak berkuasa wahabi sebagai penakluk Mekah menghantar askar untuk mengawal keadaan. Mereka berkasut di dalam masjid. Ada banyak kesalahan yang dilakukan oleh jemaah haji tidak dibantu dan dibetulkan. Pada hos ini, yang penting mereka dapat menyelesaikan tugas harian dengan menghalau jemaah haji yang menyesakkan jalanan atau ruang (dan itu dilakukan seperti polis Israel). Ke mana hujjaj dihalau sehingga kesesatan dan terkeluar dari padang Arafah misalnya bukanlah tugas mereka. Begitulah halnya jika urusan haji kita, diserahkan kepada orang-orang yang tidak ikhlas (mukhlisin) Belum lagi kita bicarakan soal sains perbandaran seperti bagaimana sewajarnya pelupusan sampah, sistem perkumuhan, lalu lintas trafik, pembangunan sewenang-wenang; dan segala macam pencemaran yang dapat mengancam mata air agung zamzam dan Kaabah yang mulia. Itu semua tidak diperhatikan sehingga persekitaran Mekah yang suci menjadi amat tidak sihat.

    Pembangunan Mekah dan Madinah juga menghampiri komersialisme di mana ia sangat bertentangan dengan falsafah pemilihan Mekah sebagai kota suci yang disengajakan berada di lembah gersang. Hari ini Burj al Zam-Zam yang tersergam indah di samping Masjidil Haram menyesakkan pandangan. Bukan itu sahaja pusat membeli belah dan apartmen mewah tersebut mengisi sekian banyak jenama untuk diperagakan dan diperdagangkan di kota suci. Sesungguhnya hal ini amat menakutkan kerana jika Abrahah digagalkan dari menakluk Mekah dan merubahnya menjadi kota dagang yang penuh keuntungan; maka hari ini, kita membiarkan tanpa rasa bersalah Mekah dan Madinah dijual atas nama wakaf.

    Sesungguhnya Mekah dan Madinah bukan milik penjajah wahabi dari Bani Saud ini, ia harus dipulangkan kepada umat Islam, dalam konteks hari ini ialah negara di bawah keanggotaan OIC. Wahabi telah melakukan banyak kerosakan kepada kota suci ini, dan ini termasuklah ibadah haji.

    Dokumen sejarah mengenai urusan haji seperti yang tercatat dalam The Conduct of the Haj From Malaya and the First Malaya Pilgrimage Officer misalnya melaporkan, pada Ogos tahun 1924 setelah selesai musim Haji, Ibnu Suud telah menawan Taif, beliau mengganas di sana dan kemudian masuk ke kota Mekah pada tahun 1925 lalu mengusir Syarif Ali. Orang Melayu yang berada di tanah suci baik sebagai pelajar agama, atau jemaah haji melarikan diri ketakutan sehingga pada tahun 1925 itu, Kerajaan Negeri-negeri Selat menangguhkan pengutusan Haji Abdul Majid bin Zainuddin (menurut Royal Asiatic Society Journal Malayan Branch tahun 1926, beliau ialah Pesuruhjaya Haji pertama ke tanah suci) ke Hijaz, ekoran keadaan yang tidak aman tersebut. Tatkala wahabi masuk ke kota Rasulullah SAW Madinah Munawwarah pada 10 Syawal tahun tersebut, mereka malah meruntuhkan pemakaman suci di Baqe, dan melancarkan kempen agresif anti bid'ah. Terjadilah satu gerakan reformasi agama yang paling ganas dicatat dalam sejarah umat Islam di zaman moden.

    Hari ini roh keganasan yang disangka reformasi suci ini dihembus kembali oleh juak-juak Ibnu Suud seperti ISIS, dan disahut oleh anak-anak Nusantara seperti Amrozi, Imam Samudera dan lain-lain militan yang berbangga kononnya mereka berjihad. Di negara kita tidak terkecuali, anak-anak muda yang darahnya menggelegak keseronokan mengkafir, menyesat dan membid'ahkan acara, tokoh dan amalan tertentu mendapat motivasi baharu. Ia dibolehkan oleh ulama dan mufti tertentu, di mana mereka mengagungkan Ibnu Taimiyyah yang ditolak oleh ulama mazhab ahlus sunnah wal jamaah tradisional.

    Adapun, peraturan demi peraturan sulit yang terlaksana hari ini untuk mengerjakan haji malah telah dicatat lama dahulu oleh pegawai khas James Brooke, David Chale yang baharu memeluk Islam. Beliau terpaksa berdepan dengan pelbagai masalah seperti visa, dan pengesahan sudah menganut Islam; bahkan beliau turut mencatat kekacauan yang timbul ekoran undang-undang yang sulit sehingga menyebabkan ada pergaduhan antara hujjaj Afghanistan dan pihak berkuasa Saudi yang mengakibatkan pertumpahan darah (lihat Triumphant Pilgrimage: An English Muslim's Journey from Sarawak to Mekah).

    Ibadah haji dan umrah kebiasaannya dilengkapkan dengan ibadah ziarah di Madinah. Sebelum ke Madinah, jemaah haji digalakkan berselawat. Dalam selawat yang dilafaz dalam solat kita iaitu Allahumma Shollia ala Muhammad wa ali Muhammad, kama shollaita ala Ibrahim wa ali Ibrahim terdapat inti pati kandungan yang perlu diperhatikan dan dititikberatkan. Bahawa perhatian dan tuntutan selawat tersebut adalah kepada Nabi Muhammad dan ali Muhammad atau keluarga Rasulullah SAW.

    Sudah tiba masanya umat Islam kembali kepada siratal Mustaqim yang sebenar, menghayati ajaran mereka, memahami dan mendalami sunnah mereka seperti tuntutan selawat dalam solat kita. Hanya dengan itu (yakni kembali kepada ali Muhammad) secara akar umbinya (bukan penyelesaian sementara seperti gencatan senjata demi gencatan senjata, atau rundingan demi rundingan) masalah segenting Palestina misalnya, dapat diatasi. Dan musuh sejahat serakus dan selaknat Zionis dapat dilempari seperti mana jemaah haji melempar syaitan di jamarat Aqabah.

    Adalah wajar kita kembali kepada falsafah haji yang kian memudar. Umat Islam dituntut menunaikan haji sebagai menghayati pengorbanan Nabi Ibrahim meninggalkan Siti Hajar di tanah gersang, memahami resah dan munajat Rasulullah memanjat bukit dan gunung menanti wahyu Ilahi, memahami pengorbanan Siti Hajar mencari air sehingga diingati sebagai saei, memahami pengorbanan Ismail yang sanggup disembelih sehingga dikenang dan dirai sebagai hari raya korban, memahami pengampunan dan harapan Adam dan Siti Hawa kerana meninggalkan keutamaan yang diperintah Allah, memahami pengorbanan bapa saudara dan sahabat Nabi Muhammad saw di Uhud, memahami pengorbanan keturunan Rasulullah SAW yang dilanyak ribuan tahun lamanya; hanya dengan memahami semua itu, bahawa pengorbanan, air mata dan darah telah menegakkan agama ini, baharulah jemaah haji dapat ditanggapi pulang membawa haji yang mabrur.

    Orang Melayu naik haji hari ini dengan pengisian seperti perlumbaan membeli tamar, sejadah, tasbih dan sekian jubah. Falsafah haji mereka terpadam, dan malang, penguasa di tanah suci itu sendiri adalah antara sebab yang menjadikan ibadah suci ini semakin hilang sengat dan manisnya.

3 ulasan:

  1. Bhai Chor ...

    Nak komen mender lagi... semua lu sudah cover... Hahaha....

    Gua bukan sajer anti Ibn Saud... malah semua yang mengaku diorang dan keturunan diorang Dewa dan Dewata Raya..... Hahahaha

    BalasPadam
  2. Berhati-hati sebelum sebarkan fitnah terhadap mujahidin. Kita semua betul2 tak tahu keadaan yang sebenar.

    BalasPadam

Kalau takde nama pegi pejabat pendaftaran dulu sebelum komen. hahaha