11 Disember, 2014

Salah siapa ulamak tidak dihormati?

APABILA ULAMAK HILANG KEYAKINAN DIRI
Dinsman (Hrkh 465, 8/1214)
Ulamak ialah orang yang berilmu. Berilmu maksudnya tahu mana yang benar dan mana yang salah, juga mana yang baik dan mana yang buruk. Selalunya orang yang berilmu (ulamak) itu yakin dengan dirinya. Maksudnya dia tahu siapa dirinya dan dia juga tahu kemampuan dirinya dan juga ketidakmampuan dirinya. Maka dia boleh mengawal dirinya agar sentiasa berada di jalan dan landasan yang benar, yakni yang diredhai Allah.
Tetapi hari ini ramai daripada mereka yang digelar atau menggelar diri sebagai ulamak tidak bersifat demikian. Mereka mungkin berilmu dan tahu mana yang benar dan mana yang salah serta mana yang baik dan mana yang buruk, tetapi mereka tidak mempunyai keyakinan diri.
Kenapa saya katakan demikian? Kerana mereka itu hanya sekadar berilmu sahaja tetapi tidak mengamalkan ilmu atau tidak memanfaatkan ilmu mereka. Apabila ilmu tidak diamalkan mereka tidak akan mempunyai keyakinan diri. Maka secara sedar atau tidak akan berlakulah perkara-perkara yang tidak sepatutnya dilakukan oleh ulamak.
Inilah fenomena ulamak pada hari ini, menyebabkan imej mereka di kalangan masyarakat telah merosot dan semakin hari semakin jatuh teruk. Orang ramai sudah hilang kepercayaan kepada ulamak. Sepatutnya mereka dihormati dan dimuliakan tetapi sekarang mereka dipandang rendah dan dihina.
Suatu waktu dulu ulamak-ulamak di dalam PAS menuduh demikian kepada ulamak-ulamak yang di luar PAS, termasuk yang di dalam Umno. Tetapi hari ini orang ramai menyaksikan bahawa ulamak-ulamak di dalam PAS pun kebanyakannya sudah tidak ada bezanya dengan ulamak-ulamak di dalam Umno, bahkan ada yang mungkin lebih buruk lagi.
Suatu waktu dulu ulamak-ulamak di dalam PAS sangat dihormati dan dimuliakan oleh ahli-ahli dan penyokong-penyokongnya, hingga disepakati bahawa kepemimpinan di dalam PAS adalah “kepemimpinan ulamak”. Maka turut terpesona dan hormat kepada pemimpin-pemimpin PAS yang terdiri daripada ulamak itu ialah golongan intelektual dan profesional, yang ramai mendaftar diri menjadi ahli PAS pada akhir dekad 90-an.
Namun tak lama selepas itu, selepas Presiden yang namanya Ustaz Fadzil Noor kembali ke rahmatullah, tak lama selepas itu mulailah kedengaran suatu kempen dilakukan oleh para ulamak PAS dan penyokong-penyokong mereka, agar pemilihan pimpinan di peringkat atasan hendaklah diberikan kepada golongan ulamak.
Saya sangat terkejut dan kehairanan, bagaimanakah boleh terjadinya hal yang demikian itu di dalam parti yang menegaskan dasar kepemimpinan ulamak? Apakah ulamak patut melakukan kempen yang seperti itu, seperti yang berlaku di dalam Umno itu? Dan kenapa mereka perlu melakukannya padahal sebelum itu tidak pernah berlaku?
Sepatutnya tokoh-tokoh dari golongan baru yang dikenali dengan gelaran profesional itulah yang melakukannya, kalaupun hal seperti itu akan berlaku. Tetapi tidak, bukan golongan profesional yang melakukan kempen jawatan itu. Sebaliknya yang melakukannya ialah golongan ulamak! Dan mereka berkempen agar golongan profesional tidak dipilih.
Kenapa mereka melakukan kempen ala-ala Umno itu? Jawabnya ialah kerana sudah kelihatan yang tokoh-tokoh dari golongan baru/profesional mendapat perhatian ahli-ahli dan kemungkinan akan terpilih ke jawatan penting di dalam parti.
Jadi, apa salahnya? Bukankah sistem organisasi parti sudahpun dimantapkan dengan dasar kepemimpinan ulamak, iaitu melalui Majlis Syura Ulamak sebagai pemandu dasar paling tinggi, di samping Dewan Ulamak yang sudah lama wujud?
Dan soalan yang lebih penting lagi ialah: apakah institusi ulamak itu sendiri membenarkan kempen yang seperti itu dijalankan?
Cuba kita lihat apakah makna dan implikasinya kempen itu. Kempen itu ialah usaha ulamak mempengaruhi ahli supaya memilih tokoh dari golongan mereka sendiri. Mengapa perlunya usaha ini dilakukan? Kerana, pertama, kalau tak dilakukan dibimbangi tokoh dari golongan ulamak itu tidak akan dipilih.
Kedua, kerana golongan ulamak sudah berasa yang kedudukan mereka terancam oleh kehadiran tokoh-tokoh dari golongan profesional dan intelektual. Maka mereka perlu berusaha mempertahankan jawatan/kedudukan mereka.
Kenapakah ulamak perlu mempertahankan kedudukan jawatan mereka sebagai pemimpin, dan kenapakah mereka berasa yang kedudukan mereka terancam? Apakah mereka tidak percaya lagi kepada dasar kepemimpinan ulamak yang sedia wujud di dalam parti?
Dan apakah mereka juga tidak percaya lagi kepada keberkesanan dakwah dan tarbiyah yang sentiasa mereka lakukan ke atas ahli-ahli sepanjang masa, yang sememangnya menjadi sebagian daripada tanggungjawab dan amanah yang mesti mereka tunaikan itu?
Saya masih ingat lagi suatu muktamar tahunan PAS dimana para ulamak diseru supaya mempertingkatkan peranan mereka di dalam parti. Seruan itu timbul kerana pada waktu itu sudah dapat dikesan yang para ulamak itu kurang berperanan, terutamanaya dalam menjalankan dakwah dan tarbiyah, khasnya di kalangan ahli-ahli sendiri.
Dan muktamar itu ialah salah satu muktamar terakhir dalam era Fadzil Noor, yakni sebelum berlakunya kempen mempertahankan jawatan yang disebut di atas tadi. Mafhumnya ialah kemerosotan ‘moral’ ulamak di dalam PAS sudah mulai dikesani sejak waktu itu lagi.
Sayangnya teguran dan seruan tersebut tidak diberi perhatian yang sewajarnya oleh mereka yang berkenaan. Sebaliknya yang dilakukan ialah berkempen untuk mempertahankan jawatan, yang boleh juga dibaca sebagai kempen untuk kepentingan diri. Dan ini berlaku disebabkan apa? Disebabkan mereka hilang keyakinan diri.
Dan apakah faktor yang menyebabkan mereka hilang keyakinan diri? Faktornya ialah kerana mereka mengutamakan politik lebih daripada agama, disamping kurang beramal dan kurang memanfaatkan ilmu yang ada pada mereka, dan juga kerana terpengaruh dengan kemilau keduniaan (kebendaan, kemewahan dan kemasyhuran diri).
Dan kemerosotan kualiti ulamak ini juga sedang diperhatikan di kalangan pimpinan peringkat negeri Kelantan – kubu kuat dan benteng yang mempertahankan keutuhan gerakan Islam PAS selama ini. Maka berwaspadalah!

2 ulasan:

  1. takbur, bongkak dan gila jawatan. Itu yg ada pada golongan yg mengelarkan diri mereka ulamak. Dan yg paling mustahak...mereka maksum. sekian terima kasih.

    BalasPadam
  2. geng ulama tu sendiri yang membuat mereka tidak dihormati yang tuding jari yang 1 tu pada orang lain dan 4 lagi pada diri sendiri.bab ilmu tentang islam saya hormat, bab politik belum tentu lagi.

    BalasPadam

Kalau takde nama pegi pejabat pendaftaran dulu sebelum komen. hahaha