Apakah Maksud ‘al-Sultan’?
Perkataan al-Sultan bukanlah bermaksud pemerintah yang memakai gelaran ‘sultan’.
Jika tidak sudah pasti al-Khulafa al-Rasyidin menggunakan gelaran
sultan. Sultan bermaksud pihak yang berkuasa. Ertinya ia merangkumi
semua mereka yang mempunyai kuasa pemerintahan tanpa mengira apapun
gelarannya. Abu Bakr al-Siddiq naik memerintah selepas Rasulullah
memakai gelaran ‘Khalifah Rasulillah’, kemudian pada zaman ‘Umar mula diperkenalkan gelaran ‘Amir al-Mukminin.
Secara umumnya dipanggil keempat sahabat pemerintah itu dengan
khalifah. Semasa Umawiyyah dan ‘Abbasiyyah dikekalkan gelaran khalifah.
Selepas itu beberapa dinasti seperti Ayyubiah, Mamalik dan ‘Uthamaniyyah
memakai gelaran sultan. Mereka itu kebanyakannya bukan arab. Ada juga
yang memakai al-Malik iaitu ‘raja’ dan sebagainya.
Maka hendaklah jelas, perkataan sultan dalam hadis merujuk kepada ulul amri
iaitu mereka yang berkuasa memerintah. Jangan putarkan hadis untuk
pemainan politik. Ertinya, secara literal dalam konteks Malaysia,
Perdana Menteri juga zhillu Allah ataupun bayangan Allah di
bumi. Demikian Presiden Mesir, Libya dan sebagainya. Kini kita wajar
bertanya apakah maksud bayangan Allah? Apakah kita memahami seperti
golongan literalis yang akan melihat sultan atau raja atau penguasa atau
presiden sebagai benar-benar bayangan Allah yang kemudian mungkin
dijustifikasikan segala tindakannya. Jika mereka itu berjudi di London
ini sehingga tergadai balak dan minyak di negara mereka apakah itu
bayangan Allah? Jika mereka kejam seperti Assad di Syria, atau mereka
rasuah dan bermewahan dengan harta rakyat jelata, apakah mereka tetap
dimuliakan sebab mereka bayangan Allah?
Bayangan Allah
Jika kita faham makna khalifah, ia bermaksud pengganti
ataupun wakil. Apabila kita menyebut manusia khalifah Allah bermaksud
manusia mengganti Allah di bumi. Ketika menafsirkan Surah al-Baqarah
ayat 30 berhubung manusia sebagai khalifah Allah di bumi, al-Imam
al-Baidawi berkata:
“Khalifah itu bermaksud (dari segi bahasa) sesiapa yang menggantikan tempat pihak yang lain atau menjadi penggantinya. Yang dimaksudkan dengan khalifah dalam ayat ini adalah Adam a.s. kerana beliau merupakan khalifah Allah di bumiNya. Demikian sekelian nabi yang Allah utuskan mereka sebagai pengganti (khalifah) bagi memakmurkan bumi, menguruskan manusia, menyempurnakan keperluan mereka dan melaksanakan perintah Allah ke atas mereka” (Al-Baidawi, Anwar al-Tanzil wa Asrar al-Takwil, 1/64).
Makna yang sama merujuk kepada sultan ataupun penguasa itu bayangan
Allah di bumi. Bukan bermaksud kesucian penguasa sehingga tidak boleh
dibahas dan dipertikaikan. Sama sekali tidak! Sebab betapa ramai manusia
ini yang Allah tabalkan menjadi khalifah telah melakukan kerja yang
sebaliknya. Apakah kita tetap mempertahankannya atas nama khalifah
Allah?! Justeru al-Imam al-Munawi dalam Faidh al-Qadir ketika menafsir
maksud: “Al-Sultan bayangan Allah di bumi” beliau berkata “kerana dia memelihara manusia dari keburukan seperti bayang memelihara dari panas matahari”. Ya! Demikianlah tugasan penguasa!
Dalam masa yang sama kita hendaklah sedar, bahawa berlebihan dalam
menggunakan agama untuk kepentingan politik telah mengorbankan agama itu
sendiri. Inilah yang berlaku di Barat yang diistilahkan sebagai secularism ataupun lebih mudah difahami sebagai ‘a movement towards the separation of religion and government’. Walaupun secularism itu mempunyai akar yang lama sejak zaman Greek dan Roman tetapi di Eropah ia subur dan diperjuangkan pada era Enlightenment akibat
dari kesedaran rakyat tentang betapa buruk peranan agama dalam politik.
Saya akan bahaskan nanti. Islam memandu politik supaya harmoni dan
kudus. Islam bukan alat politik tetapi cahaya yang menerangi jalan
politik yang dibina atas maslahah rakyat.
Sultan ataupun penguasa bayangan Tuhan boleh disalahtafsirkan seperti
yang berlaku dalam sejarah politik pelbagai bangsa. Akibatnya,
kerakusan penguasa mencengkam rakyat dan dihalalkan atas nama Tuhan.
Jika hendak memahami maksud penguasa bayangan Tuhan dalam Islam,
fahamilah ucapan Abu Bakr al-Siddiq apabila menjadi khalifah:
“Wahai manusia, sesungguhnya aku telah dilantik menjadi pemimpin kamu, bukanlah aku yang terbaik dalam kalangan kamu. Jika aku betul, tolonglah aku. Jika aku salah, betulkanlah aku. Benar itu adalah amanah, bohong itu adalah khianat. Orang yang lemah dalam kalangan kamu adalah kuat di sisi sehingga aku mengembalikan haknya. Orang yang kuat dalam kalangan kamu, lemah di sisiku sehingga aku mengambil daripadanya hak (menghalang apa yang bukan haknya), insya Allah. Jangan kamu meninggalkan jihad, kerana tidak ada kaum yang meninggalkan jihad, melainkan Allah timpakan mereka dengan kehinaan. Taatlah aku selagi aku taatkan Allah dan RasulNya. Jika aku derhakakan Allah dan RasulNya, maka tiada ketaatan untukku” (Ibn Athir, Al-Kamil fi al-Tarikh, 1/361).Inilah insan yang paling faham maksud sultan itu bayangan Allah di bumi. Jangan kita gadaikan Islam untuk suatu penafsiran nas yang akhirnya akan menimbulkan syak manusia terhadap Allah dan RasulNya.
Keseluruhan baca sini
1 ulasan:
Salam Yob,
Hebat isu ni, akak jumpa merata blog!
Catat Ulasan