Memahami pola kecenderungan pengundian
Tiga pola utama kecenderungan
pengundian rakyat Malaysia pada setiap musim pilihan raya umum.
Pola pertama ialah kecenderungan memilih parti politik.
Kecenderungan ini boleh dikategorikan sebagai kelompok yang bersikap
ideal dalam berpolitik. Pola ini amat besar dan berpengaruh. Ia adalah
penentu kemenangan sesebuah parti yang bertanding.
Kecenderungan ini lahir daripada pemikiran yang menanggapi kegiatan
berpolitik sebagai satu kegiatan berkumpulan atau berjemaah. Agenda dan
cita-cita besar politik tidak akan dapat direncanakan dalam bentuk dasar
dan amalan tanpa dukungan dan sokongan secara berkumpulan.
Apatah lagi dalam konteks amalan demokrasi moden hari ini.
Ketua negara, iaitu Yang di-Pertuan Agong hanya akan memberikan izin
penubuhan kerajaan kepada parti yang mendapat persetujuan umum atau
majoriti. Bagaimana ketua negara akan menentukan parti yang mana
mendapat persetujuan umum? Ia berasaskan jumlah perolehan atau
kemenangan yang dicapai oleh sesebuah parti dalam proses pilihan raya
yang sudah dijalankan.
Oleh itu, pemilihan parti harus lebih diutamakan berbanding faktor
yang lain bagi memastikan perkumpulan atau jemaah politik yang didukung
memperoleh keabsahan kepemimpinan secara meyakinkan untuk menubuhkan
kerajaan.
Pilih calon berbanding parti
Pola kedua ialah kecenderungan bagi memilih calon berbanding parti
politik. Kecenderungan ini lahir dari pandangan yang melihat politik
sebagai wasilah bagi menjalankan perkhidmatan setempat. Kelompok ini
boleh dikategorikan sebagai golongan yang pragmatis. Kebergantungan
mereka kepada calon melebihi kepada parti politik.
Pada mereka, calon yang berkesan dalam menjalankan perkhidmatannya,
memiliki kualiti ilmu dan pentadbiran serta bersikap mesra dan senang
dihubungi lebih diperlukan demi kebaikan masyarakat setempat.
Kecenderungan ini amat berpengaruh juga. Dalam sejarah pengundian
di Malaysia, pola ini tergambar secara jelas dalam kemenangan calon yang
bertanding di atas tiket parti Bebas. Ini menunjukkan sebahagian rakyat
akan memberikan keutamaan dan peluang kepada calon yang mampu memenuhi
inspirasi dan imaginasi mereka sebagai wakil rakyat yang baik dan
berkualiti.
Kebiasaannya, rekod perkhidmatan yang baik, hubungan kekeluargaan
yang akrab serta kualiti ilmu dan akhlak seseorang calon itu adalah
antara faktor yang mendorong kelahiran pola kecenderungan ini.
Pola bercorak strategik
Pola ketiga pula ialah kecenderungan yang tidak memihak kepada
parti atau calon tetapi berasaskan penilaian bagi memenuhi kepentingan
dan keperluan politik setempat dan nasional secara menyeluruh.
Kecenderungan politik ini sering dirujuk sebagai pola bercorak
strategik. Pola ini lahir daripada tanggapan mengenai kepentingan
mewujudkan keseimbangan dalam sistem dan amalan politik negara.
Pada pandangan pola ini, sesebuah parti tidak boleh diberikan
kelebihan politik secara keterlaluan kerana ia akan membawa kepada
monopoli yang tidak sihat. Oleh itu, realiti politik yang saling
mengimbangi antara parti politik penting diwujudkan.
Pola ini sering didorong oleh perkumpulan rakyat yang tidak
berparti tetapi memiliki kesedaran dan kematangan politik yang
tersendiri. Pola kecenderungan politik ini tergambar dalam kemenangan
calon secara tidak sekata dari segi parti di sesebuah kawasan Parlimen.
Misalnya, ada rekod pengundian yang mana calon daripada parti tertentu
kalah dalam pertandingan pada peringkat Dewan Undangan Negeri tetapi
menang pula pada peringkat Parlimen. Begitu juga sebaliknya.
Wujud keseimbangan demokrasi
Hasil pengundian berbentuk ini didorong oleh kecenderungan yang
dibentuk oleh pola politik ketiga ini. Mewujudkan keseimbangan demokrasi
adalah keutamaan terpenting dalam pengundian. Oleh itu, tindakan
politik yang perlu dilakukan ialah memberikan undi yang berbeza kepada
calon dan parti yang bertanding pada peringkat DUN dan Parlimen.
Baru-baru ini, terjadi debat yang meluas mengenai apakah bentuk
pola pengundian yang harus diutamakan oleh masyarakat Muslim di Malaysia
pada pilihan raya kali ini. Ada satu perkumpulan politik yang
menganjurkan supaya calon yang berwibawa diutamakan dan tidak melihat
kepada parti yang diwakilinya.
Alasannya demi memastikan jumlah Ahli Parlimen daripada kalangan
Muslim lebih ramai dan ini akan dapat menjamin kepentingan agama dan
ummah terpelihara di negara ini.
Pandangan ini disanggah oleh pendapat yang melihat keutamaan pada
masa kini harus diberikan kepada parti berbanding calon. Alasannya, isu
kewibawaan calon suatu yang bersifat subjektif atau terdedah kepada
penilaian yang pelbagai.