oleh: PTM
Baru-baru ini satu
sms yang mengandungi nama-nama pimpinan pusat yang dikatakan hendak dicantas
dalam muktamar telah disebarkan. Antaranya ialah: Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa
Beliau tidak perlu bergantung kepada populariti ayahnya, Almarhum Tuan Guru Hj.
Yusuf Rawa sebagai Yang Dipertua Pas.
Beliau
bermula dari bawah, membina nama sedikit demi sedikit dan diamanahkan ke
jawatan tertentu dalam Pas berdasarkan merit peribadinya. Istimewanya Dr.
Mujahid ialah beliau salah seorang pemimpin Pas yang fasih dalam Bahasa Arab
dan Bahasa Inggeris. Beliau seringkali menerima jemputan mewakili Pas untuk
berforum dalam Bahasa Inggeris dengan pelbagai kelompok masyarakat.Beliau
menerima pendidikan Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab dan Sastera di Universiti
Al-Azhar, Mesir.
Menyedari
betapa pentingnya aspek pengurusan sumber manusia dalam organisasi seperti Pas,
beliau melanjutkan pengajian ke Ijazah Sarjana Master dalam bidang Pengurusan
Sumber Manusia di UPM dan Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Siasah Syari’ah
di UM. Beliau mula berkhidmat di peringkat akar umbi dalam Pas di Melaka,
sehingga melayakkan beliau untuk diangkat sebagai AJK Harian Pemuda Pas Pusat
(2001-2005). Beliau kemudian kembali ke negeri asal Pulau Pinang, diamanahkan
sebagai Yang Dipertua Pas Kawasan Bayan Baru dan Timbalan Pesuruhjaya Pas Pulau
Pinang. Sejak tahun 2005, beliau mendapat perhatian Pas di seluruh Negara
apabila diangkat menjadi AJK Pas Pusat dan mendapat kepercayaan itu selama 4
penggal sehingga hari ini. Kelebihan beliau dalam jaringan pelbagai kaum dan
agama serta kecekapan beliau dalam komunikasi dan perhubungan menyebabkan Tuan
Guru Presiden mengamanahkan beliau sebagai Pengerusi Lujnah Perpaduan Nasional
Pas Pusat. Terkini, beliau diamanahkan sebagai Yang Dipertua Pas Kawasan Tasek
Gelugor. Beliau bertanding kali pertama di Jasin, Melaka pada tahun 1999 dan
Tasek Gelugor pada tahun 2004.Pada PRU 2008, barulah beliau memenangi kerusi
parlimen Parit Buntar mengulangi kejayaannya dalam PRU 2013.
Di peringkat
parlimen, beliau mendapat kepercayaan dewan apabila dilantik mewakili Malaysia
sebagai wakil parlimen ke USA, Nigeria, Republik Uzbekistan dan Kyrgystan dan
juga sebagai Ahli Jawatankuasa AIPA Caucas Malaysia. Beliau pernah menyertai
misi bantuan kemanusiaan ke Gaza, Lebanon dan Afghanistan. Dr. Mujahid terkenal
sebagai pemimpin yang kuat hujahnya dalam perbahasan. Beliau tidak kekok untuk
berbicara tentang aliran-aliran pemikiran, falsafah dan sejarah gerakan Islam. Tidak
hairan beliau berani masuk ke gereja mewakili Pas untuk berdialog dengan orang
Kristian. Pengalaman luas dalam Dialog Antara Agama ini telah mendorong beliau
dilantik sebagai Pengerusi South East Forum for Interfaith Networking for Peace
(Dialog Antara Agama Untuk Keamanan Asia Tenggara). Jasanya kepada Jemaah tidak
boleh disangkal lagi. Pas menempa nama di persada dunia apabila menjadi gerakan
Islam pertama melancarkan sayap baru Dewan Himpunan Penyokong Pas.
Dr. Mujahid
merupakan tulang belakang utama kejayaan ini. Beliau melunasi amanahnya sebagai
Pengerusi Lujnah Perpaduan Nasional Pas Pusat, berperanan besar menjalinkan
hubungan antara kaum dan agama. Dr. Mujahid merupakan antara pemimpin Pas yang
aktif menulis, mencatat pengalaman Pas dalam menghasilkan ijtihad-ijtihad
politik baru dan ia bakal menjadi panduan bagi gerakan Islam seluruh dunia
bagaimana pengalaman Pas mengurus kepelbagaian segmen masyarakat di Malaysia.
Beliau telah menulis lebih 10 buah buku antaranya ialah Dakwah dan Tarbiah, Masjid
dan Peranannya, Khilaf Satu Fenomena, Global View of Islam,Moral Ethical
Studie,Permata dari Pulau Mutiara, Dictionary of Arabic Phrase-Bahasa Malaysia,
Wajah Baru Politik Malaysia, Kita Kan Orang Malaysia,Menuju PAS Baru,
Rejuvenasi PAS, Aren’t We All Malaysian, dan buku terbaru beliau, Malaysia
Pasca Rasisme dan Berdialog dengan Gereja.
Apabila
beliau menulis buku Menuju Pas Baru dan Rejuvinasi Pas, ramai yang mengutuk dan
menganggap beliau mahu memusnahkan Pas.Malah tanpa memanggil beliau untuk
memberi penerangan terperinci berkenaan buku itu, sekumpulan Ulama di Kedah
telah mengharamkan buku itu. Walhal buku itu adalah sebahagian daripada olahan
tesis Doktor Falsafah beliau yang mengkaji tentang sejarah dan projeksi masa
depan Pas. Ia sebuah buku konsep pengurusan organisasi dan pengurusan risiko.
Seperti yang dijangka, kelahiran dua buku inilah yang menjadi punca dia dibenci
oleh sesetengah kelompok muda dalam Pas meskipun mereka tidak pernah membaca
buku itu dan membincangkan secara objektif idea-idea dan hujah-hujah yang
dikemukakan dalam buku itu.
Demikianlah
nasib pemimpin yang mempunyai idea dan berfikiran di luar kotak tipikal
pemikiran ahli-ahli biasa. Mampukah Pas mencetak lebih ramai ahli dan pemimpin
multi-talented seperti Dr. Mujahid ini? Di peringkat pimpinan pusat
mengamanahkan tokoh ini di posisi penting gerak kerja jemaah, di peringkat
pengikut bawahan pula menyebarkan dakyah bahawa nama ini wajib dicantas.Ketika
Tuan Guru Presiden mengiktiraf sumbangan Dr. Mujahid dalam membantu meletakkan
Pas sebagai parti yang berupaya menanggapi isu-isu Negara dan hubungan kaum,
ada sebilangan kecil yang menghina dan ingin menjatuhkan beliau. Ternyata,
suara yang mahu menjatuhkan pemimpin ini hanya suara MINORITI terutama
pemuda-pemuda yang ‘baru nak up’ dalam parti tetapi bijak mengekspoitasi
Facebook.
Buktinya dalam Muktamar Pas Pusat Ke-57,
beliau mendapat undi ketujuh tertinggi daripada perwakilan muktamar (651 undi)
sebagai Ahli Jawatankuasa Pas Pusat sesi 2011-2013. Berhentilah daripada buat
kerja bodoh untuk mencantas pemimpin tertentu hanya kerana berbeza satu dua
pendapat. Telah terbukti pengorbanan masa, tenaga dan wang ringgit yang mereka
curahkan kepada jemaah sejak dari muda lagi. P/s: PTM akan berkongsi latar
belakang dan pengalaman dalam jemaah beberapa pimpinan yang mahu dicantas oleh
orang tertentu dalam Pas.