Pencerahan al Qaradawi ttg Hudud...
Hudud bukan tuntutan utama dalam Islam
Oleh Dr. Yusuf al-Qaradawi
Hudud bukan tuntutan utama dalam Islam
Oleh Dr. Yusuf al-Qaradawi
Sebenarya Islam bukan hanya sekadar pengsyariatan dan undang-undang semata-mata, tetapi ia adalah akidah yang metafsirkan kehidupan, ibadah yang mendidikkan roh, akhlak yang membersihkan jiwa, pemahaman-pemahaman yang membetulkan persepsi, nilai-nilai yang mengangkatkan martabat manusia dan adab yang memperindahkan kehidupan.
Ayat-ayat mengenai hukum syariah tidak sampai sepersepuluh daripada al-Quran. Ia pula bercampur aduk dengan akidah dan damir; dan janji balasan baik dengan janji balasan jahat. Semua itu berkait rapat dengan seluruh arahan dalam al-Quran.
Bacalah mengenai hukum-hakam kekeluargaan dalam firman Allah:
Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah dia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik. Dan tidaklah halal bagi kamu mengambil balik sesuatu dari apa yang telah kamu berikan kepada mereka (isteri-isteri yang diceraikan itu) kecuali jika keduanya (suami isteri) takut tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah. Oleh itu kalau kamu khuatir bahawa kedua-duanya tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah, maka tidaklah mereka berdosa; mengenai bayaran (tebus talak) yang diberikan oleh isteri untuk menebuskan dirinya (dan mengenai pengambilan suami akan bayaran itu). Itulah aturan-aturan hukum Allah maka janganlah kamu melanggarnya; dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. (al -Baqarah: 229)
Ini bukan pensyariatan yang kering macam undang-undang (yang ada kini), tetapi ia merupakan pensyariatan, dakwah, orientasi, pendidikan, dorongan dan ancaman.
Bacalah firman Allah mengenai hukum hudud: Dan orang lelaki yang mencuri dan orang perempuan yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan dengan sebab apa yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
Maka sesiapa yang bertaubat sesudah dia melakukan kejahatan (curi) itu dan memperbaiki amal usahanya, maka sesungguhnya Allah menerima taubatnya; kerana Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Tidakkah engkau mengetahui bahawa Allah menguasai pemerintahan langit dan bumi? Dia menyeksakan sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan dan hukum Syariat-Nya), dan mengampunkan sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan dan hukum Syariat-Nya). Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
Di dalam ayat ini kita dapati pensyariatan pencegahan yang ada janji balasan baik dan janji balasan jahat, amaran, orientasi, mendidik, mendorong bertaubat dan memperbaiki diri dan mengingatkan nama-nama Allah yang baik.
Iaitu Dia Maha Berkuasa jika menyuruh dan melarang, Yang Bijaksana dalam apa yang disyariatkan, Maha Pengampun dan Penyayang bagi orang yang bertaubat dan memperbaiki diri, Yang Merajai alam semesta, Yang menciptakan dan Memerintah dan Dia Yang Maha Kuasa ke atas segalanya. Itulah konteks pensyariatan dalam al- Quran. Begitu juga dalam sunah.
Sesungguhnya bukan hanya dengan pensyariatan semata-mata didirikan masyarakat Muslim.
Sebaliknya (untuk mendirikan masyarakat Muslim itu) perlu kepada dua saranan lain, iaitu berdakwah dan memupuk kesedaran. Selepas itu pembelajaran dan pendidikan samping pensyariatan dan undang-undang. Semua itu perlu dilakukan sebelum pensyariatan dan perundangan.
Oleh kerana itu Islam memulakan di era Mekah dengan dakwah dan pendidikan sebelum era Madinah dengan pensyariatan dan penyusunan. Dan dalam era ini (era Madinah) kita dapati pensyariatan bercampur aduk dengan pendidikan yang menitik berat terhadap raga dan jiwa sekali gus.
Hanya dengan sekadar mengubah undang-undang saja tidak dapat menciptakan masyarakat Muslim. Sebaliknya mengubah apa yang ada pada diri adalah menjadi tuntutan utama. Dan perkara yang paling penting dapat membantu mengubah apa yang ada pada diri ialah keimanan yang membentukkan manusia sebagai makhluk yang lain di mana perubahan itu menggariskan kepadanya matlamat-matlamat, memberikan bermacam-macam galakan dan garis panduan yang menyebabkan amalannya memperoleh balasan di dunia dan akhirat.
Islam adalah satu kesatuan yang menyeluruh yang tidak dapat dipisah-pisahkan. Jika kita merancang untuk memerangi jenayah yang disyariatkan kepadanya hukuman hudud itu, tidak memeranginya hanya dengan melaksanakan hudud dan pensyariatan saja.
Hudud itu hanya merupakan langkah terakhir untuk menuju ke arah pemulihan.
Sesungguhnya hukuman itu hanya untuk orang-orang yang menyimpang. Orang-orang yang menyimpang itu pula bukan majoriti. Mereka bukan basis, tetapi terkeluar darinya.
Islam bukan saja datang untuk mengubati orang-orang yang menyimpang, tetapi juga untuk memberi orientasi kepada orang-orang normal dan memelihara mereka supaya tidak menyimpang.
Menurut pandangan Islam hukuman bukan faktor utama untuk mengatasi jenayah, tetapi mencegah jenayah itu dengan menghalang sebab-sebab berlakunya itulah yang menjadi faktor utama. Kerana pencegahan itu lebih baik daripada pengubatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan