Sedari kuasa kita!

Sedari kuasa kita!

Pengikut

11 Mei, 2013

DAP Untuk Semua!



KUALA LUMPUR, 11 MEI: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang mengulangi pendiriannya bahawa DAP tidak berhasrat menyertai Barisan Nasional (BN) untuk menggantikan MCA kerana perjuangan parti itu bukan hanya untuk kaum Cina sebaliknya untuk semua rakyat Malaysia, termasuk Melayu, India, Kadazan dan Iban.

“Saya sudah jelaskan sebelum ini, sama ada pada sidang media di Ibu Pejabat DAP tengahari semalam atau pada ceramah DAP di Ipoh, malam semalam bahawa saya menolak sepenuhnya cadangan berkenaan,” katanya dalam kenyataan media di Ibu Pejabat DAP, di sini, hari ini.

Beliau berkata, perjuangan DAP sejak penubuhan 47 tahun lalu tidak berubah iaitu memperjuangkan hak dan kepentingan semua rakyat Malaysia, baik Melayu, Cina, India, Kadazan atau Iban dan bukan hanya untuk orang Cina.


Bagaimanapun, katanya, beliau terkejut apabila bangun pagi semalam apabila diberitahu menjadi sasaran serangan di Facebook kerana mengkhianati rakyat, DAP dan PR kerana mahu membentuk kerajaan gabungan bersama BN.

“Saya kembali ke Petaling Jaya kira-kira jam 3 pagi selepas fenomena “lautan hitam” yang terhasil daripada kepadatan dan gemuruh orang ramai pada ceramah penghargaan kepada pengundi DAP Ipoh di Dewan Chin Woo dan hadirin yang sama hebat, baik dari segi bilangan dan komitmen untuk Malaysia baru di luar Chin Woo malam semalam.

“Tetapi saya bangun daripada tidur yang cuma beberapa jam dengan kejutan paling hebat dalam hidup saya, saya diberitahu menjadi sasaran di media social, terutamanya Facebook, kerana mengkhianati rakyat, DAP dan Pakatan Rakyat atas sebab mahu membentuk satu kerajaan gabungan dengan BN.

“Oleh kerana berterusan kurang tidur, baik sepanjang 15 hari kempen PRU-13 dan empat hari yang sibuk selepas mengundi pada Ahad, saya mengambil masa untuk benar-benar memahami apa yang sedang terjadi, memandangkan saya tidak melakukan apa-apa sepanjang empat hari itu yang menjustifikasikan bahawa saya telah mengkhianati rakyat, DAP dan PR kerana mahu membentuk kerajaan gabungan dengan BN,” katanya dalam kenyataan media, semalam..

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, seorang penyokong setia DAP menjadi sasaran pertama serangan kerana tajuk akhbar melaporkan beliau kononnya bersetuju dengan cadangan membentuk kerajaan gabungan dengan BN kerana mahu menggantikan MCA sebagaimana penyokong setia DAP itu menjelaskan pengalamannya di Facebook:

Menurutnya, tidak mungkin perkara itu berlaku kerana pemimpin DAP telah berkorban sepanjang 47 tahun lalu, termasuk diheret ke mahkamah, ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), dipenjarakan bukan hanya untuk orang Cina tetapi untuk hak dan kepentingan semua rakyat Malaysia.

Katanya, adalah tidak masuk akal DAP sudah begitu lama memperjuangan hak setiap rakyat Malaysia tanpa mengira kaum mahu dimusnahkan hanya untuk menggantikan MCA dalam BN.

“Saya dapati maklum balas di Facebook menyuarakan rasa terkejut bahawa terdapat salah tanggapan, memetik ucapan saya di ceramah Ipoh semalam, menolak sepenuhnya sebarang idea DAP menyertai BN untuk menggantikan MCA.

“Ada juga cadangan kedua untuk Pakatan Rakyat membentuk kerajaan gabungan dengan BN, yang mana saya katakan jawapannya akan datang daripada majlis kepemimpinan Pakatan Rakyat,” katanya.

Katanya, beliau secara peribadi berpendapat BN sepatutnya bersedia menyokong Kerangka Dasar Bersama Pakatan Rakyat dan manifesto PRU-13 PR, membasmi rasuah, salah guna kuasa, segala bentuk ketikdakadilan dan eksploitasi, barulah berasas untuk mempertimbangkan cadangan kerajaan gabungan BN-PR.

Beliau berkata, ketika perhimpunan di Ipoh, beliau secara khusunya bertanya kepada hadirin apakah mereka bersetuju dengan pendekatan berkenaan dan disambut dengan laungan “Ya”.

“Saya rakaman video ucapan saya di Ipoh. Ia telah pun dimuatnaik di blog dan Facebook saya. Jadi bagaimana boleh tersebar tanggapan salah di media sosial bahawa saya menyokong DAP menyertai kerajaan gabungan BN untuk menggantikan MCA,” ujarnya




Menurut Kit Siang, rupa-rupanya, kesalahan itu adalah pada tajuk dalam akhbar Cina yang mencampuradukkan dua isu berbeza, pertama, sama ada DAP akan menyertai BN untuk menggantikan MCA dan kedua, cadangan kerajaan gabungan BN-PR.

Katanya, contohnya, tajuk muka depan Sin Chew memberi gambaran kepada pembaca yang membaca tajuk itu tetapi tidak membaca tajuk sekunder atau kandungan berita bahawa saya menyokong idea DAP menyertai BN menggantikan MCA.

“Sepatutnya menjadi pengajaran berharga buat Sin Chew dan semua pengarang supaya mereka berhati-hati bagi memastikan tajuk utama tidak memberikan kesimpulan salah dan salah tanggapan kerana boleh membuat pembaca keliru dan menyalah anggap maksud sebenar apabila tidak membaca kandungan berita itu,” katanya.-Roketkini.com

Tiada ulasan: