Sedari kuasa kita!

Sedari kuasa kita!

Pengikut

13 Januari, 2014

Hudud di Kelantan. PAS kabur!





oleh: Aziz Bari

Saya terkejut apabila PAS melalui organ rasminya Harakahmenyiarkan artikel-artikel yang cuba menunjukkan sukar dan payahnya melaksanakan hudud.

Sebelum itu kita semua tahu yang Harakah akan menghamburkan apa sahaja yang dikira boleh menunjukkan bahawa hukum hudud boleh dilaksanakan di Malaysia.

Ini berlaku selepas berlaku perubahan pimpinan dalam kerajaan negeri Kelantan. Dan ia semakin jelas sekitar muktamar parti hujung 2013 yang lalu.

Saya tidak mengesyaki apa-apa tatkala Menteri Besar Datuk Ahmad Yaakob mengumumkan pelantikan sebuah jawatankuasa teknikal pelaksanaan hudud yang mengenepikan saya.
Saya masih tidak kisah sehinggalah pada satu peringkat Harakahmendakwa yang pandangan saya tentang pelaksanaan hudud tidak popular.
Selain itu Harakah juga seakan-akan mencabar saya supaya tampil memberi penjelasan. Itu menyebabkan saya cuba menghubungiHarakah untuk memberi penjelasan.

Bagaimanapun Harakah tidak memberi ruang.

Cari kambing hitam

Sikap misteri Harakah itu menyebabkan saya menghubungi kawan-kawan yang saya kira tahu apa yang berlaku dalam PAS.

Mereka memaklumkan kepada saya bahawa kerajaan negeri Kelantan dalam keadaan tertekan kerana ada kalangan dalam parti yang mendesak supaya mereka melaksanakan hudud sekarang juga.

Mereka menyebut nama saya sebagai hujah mengapa pelaksanaan itu tidak harus ditangguhkan lagi. Apa yang disebut oleh rakan-rakan itu secara automatik memberi saya kefahaman tentang senario politik dalam Pas.

Apa yang saya boleh katakan di sini ialah kedua-dua pihak – yakni kalangan parti yang mendesak pelaksanaan hudud disegerakan dan kerajaan negeri sendiri – sama-sama kabur tentang isu perlembagaan yang relevan dalam soal ini.

Saya akur bahawa kerangka pelaksanaan hudud dalam konteks Malaysia sukar. Tetapi pelaksanaan itu tidak mustahil jika kita faham kerangka politik, konseptual dan masalah teknikal yang perlu ditangani.

Apa yang Harakah buat untuk mengkambing hitamkan saya hanyalah aspek yang ketiga, yakni aspek teknikal. Mereka yang dijadikan soldadu oleh Harakah untuk mengkritik saya menumpukan aspek ini sahaja.

Aspek ini memang penting tetapi ia bukan aspek utama. Aspek teknikal ini boleh ditangani dengan mudah sekiranya dua aspek yang lain itu diselesaikan.
Tadi saya mengatakan kekaburan di kalangan yang mahukan hudud dilaksanakan terus dan kerajaan negeri. Sebenarnya kekeliruan itu lebih merata, termasuk di kalangan pimpinan PAS sendiri.

Pinda undang-undang, bukan perlembagaan

Sebab itulah presiden parti – meskipun menyokong pelaksanaan hudud oleh negeri Kelantan – tidak menjelaskan mengapa perwakilan muktamar meluluskan usul mendesak Perlembagaan Persekutuan dipinda untuk membolehkan pelaksanaan hudud.

Pada faham saya Kelantan masih lagi bersama dengan Datuk Nik Aziz Nik Mat yang melihat hudud boleh dilaksanakan oleh negeri.

Dalam pertemuan 2011 itu saya sebutkan kepada beliau ada hujah dan ruang tertentu yang boleh digunakan tanpa meminda perlembagaan.

Saya tidak pernah menyebut yang pindaan undang-undang tidak perlu seperti yang didakwa oleh Harakah. Saya kata tak perlu pinda perlembagaan.

Saya tidak kata tak perlu pinda undang-undang tertentu yang menghalang hudud. Ini dua perkara yang berbeza.

Kelihatannya mereka yang dilantik oleh Harakah untuk menghentam saya tidak membaca atau mungkin tidak faham isu ini yang telah bertahun-tahun saya bincangkan.
Apa pun dalam keadaan PAS sekarang – dalam PRU 1999 parti itu menang 29 kerusi parlimen tetapi sekarang tinggal 21 sahaja – jalan yang mudah itu pun belum tentu boleh diambil.

Tiada 'blue print'

Saya berasa aneh mengapa wacana mengenai cara dan pendekatan pelaksanaan hudud ini tidak pernah dilakukan secara serius supaya resolusi tertentu dapat disimpulkan.

Dan ini kemudian boleh dijadikan blue print yang seterusnya diturunkan kepada negeri dan kawasan. Negeri Kelantan memang mengadakan sambutan Hari Hudud saban tahun.

Tetapi program ini untuk orang awam; yang saya maksudkan ialah bahan yang perlu ada untuk pimpinan pusat dan kawasan.

Tidak adanya blue print itu menyebabkan saya berjenaka dengan Dr Wong Chin Huat baru-baru ini:

“Non-muslim tak perlu gusar dengan hudud ini. PAS sehingga ini masih belum ada road map untuk pelaksanaan itu. Mereka semacam kabur macam mana nak buat. Selain itu anda pun tahu bilangan kerusi parlimennya pun kecil berbanding dengan parti-parti lain.”
Terbaru kita dimaklumkan oleh negeri Kelantan bahawa akan ada sebuah jawatankuasa pusat dan negeri mengenai hudud.

Dolak-dalik Umno

Ini disebut selepas pertemuan antara menteri besar dan perdana menteri. Kita tunggu apa yang akan berlaku. Tetapi setakat ini sikap Umno ini berdolak-dalik.

Lihat saja apa yang akhirnya disebut oleh Tan Sri Annuar Musa meskipun pada mulanya beliau kelihatan begitu bersemangat untuk melihat hudud dilaksanakan.
Kelihatannya Umno tahu bahawa umpan Islam ini mudah untuk mengelirukan PAS. Dan sudah beberapa kali mengena. Kali pertama melalui kerajaan campuran pada 1972.

Apa pun PAS kemudiannya ditendang keluar dari BN pada 1977. Ia turut menyebabkan kehilangan Kelantan pada awal 1978.

PAS sekali lagi memberi nyawa kepada Umno selepas 2008 dengan idea kerajaan perpaduan yang menggagalkan gagasan 16 September 2008.

Dua contoh ini jelas memaparkan bahawa rekod pertembungan Umno dan PAS tidak menggambarkan kelicikan PAS: Umno yang dapat nafas dan boleh bertahan.
Itu cukup membimbangkan dalam keadaan Nik Aziz sudah tiada. Memang Mohamed Sabu masih ada.

Tetapi lihat saja bagaimana beliau digasak dalam pertandingan timbalan presiden yang lalu walaupun akhirnya menang.

Dan beliau tewas dalam pilihan raya umum: di kawasan yang tradisinya kubu PAS yang pernah diwakili oleh Datuk Fadzil Noor.

Dalam soal hudud ini Umno telah berulang kali menyatakan ia tidak akan melaksanakannya. Cuma kali ini kita tidak tahu apa yang akan berlaku. Kita sama-sama tunggu.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

APA KO NAK HAIRAN MEMANGPUN DARI DULU PAS GUNAKAN AGAMA UNTUK KENTINGAN POLITIK KALAU TIDAK TAKAN PAS TAKUT HILANG KUASA DENGAN MELAKSANAKAN HUDUD.LEPAS ITU SALAHKAN UMNO PULA.YANG TIDAK BAIKNYA PAS CAKAP/TUDUH UMNO DENGAN BERBAGAI TUDUHAN DAN GELARAN.UMNO BUKAN TIDAK MAHU HUDUD TAPI BUKAN DENGAN CARA PAS.

Unknown berkata...

beri kuasa otonomi kepada kelantan seperti di acheh, indonesia ... insya'Allah boleh dilaksanakan ....!!!!!