Sedari kuasa kita!

Sedari kuasa kita!

Pengikut

18 November, 2014

Adakah kita benar-benar memahami Islam?


17 hrs · Edited · 
[Kemaskini 3.25pm] Masalah asas kita orang Islam - kita tidak anggap Quran dan ajarannya sebagai "pengetahuan", seperti maklumat dan pengetahuan-pengetahuan lain.
Kita angkat pengetahuan dan ajaran agama itu terlalu tinggi dan kudus sehingga kita terlupa hakikat asasinya itu semua "pengetahuan." Kita tenggelam dalam kata "firman" dan "sabda".**
Kerana kita menyifatkan agama itu "maha benar", kita selalu pula menganggap ajaran agama itu "azali" atau "semula jadi", seperti semula jadinya telinga, kuku dan bulu roma kita.
Akibatnya, kita tidak dapat merungkai kesan besar pengetahuan pada akal dan jasad.
Kita tidak dapat membezakan skema pengetahuan agama dan idealisme agama dengan pengalaman sosio-agama apabila agama itu masuk menyerap dalam pengalaman manusia.
Seperti kita tidak dapat menjelaskan bacaan "alhamdulillah" itu Kalam Tuhan yang Agung atau bacaan kita yang dilafazkan.
Kritik atas pengalaman beragama, kritik atas tafsir ulama dan kritik sikap-sikap beragama bukan semestinya kritik atas Quran (wahyu).
Kritik pandangan agama termasuk dalam wilayah "campuran" antara idealisme agama (wahyu yang abadi) dengan tanggapan manusia pada pengetahuan (wahyu); tanggapan yang tidak lagi abadi.
Seperti "alhamdulillah" itu Kalam Tuhan (wahyu) yang turun ke tingkat fana' dan nisbi apabila dibacakan di lidah kita.
Begitulah kesan keseluruhan idealisme agama (wahyu) yang difahami sebagai "pengetahuan" manusia dan dihayati sebagai cara hidup beragama - ia menjadi pengalaman manusia; justeru ia tidak lagi kudus, boleh disemak dan boleh dipertikai.
Jika kita faham maksud saya ini, kita tentunya bersedia mendengar kritik (walaupun salah dan tersasar) terhadap rumusan-rumusan agama, ijtihad dan fatwa.
Yang salah dan tersasar itu bukan penolakan pada idealisme agama (wahyu) tetapi kegagalan menyelami persoalan-persoalan yang dibicarakan oleh ulama.
Kegagalan seperti ini harus dijawab dengan penjelasan ilmiah yang membuka fikiran; bukan cercaan dan celaan.
Hujah akal, berdasarkan kefahaman agama atau idealisme agama (wahyu), untuk meyakinkan orang lain lebih baik daripada mengecam mereka.
Dengan kesedaran asasi - bahawa kita tidak mewakili kebenaran tunggal tetapi kebenaran nisbi seperti nisbinya pengalaman manusiawi. Seperti manusia meminjam kudrat dan iradat Yang Maha Esa, kita juga meminjam al-haq daripada Al-Haq.
NOTA:
** Penjelasan saya cukup ringkas - kita anggap Quran dan Islam itu "wahyu" sewaktu kesedaran ini melupakan kita pada hakikat bahawa semua itu "pengetahuan".
Dosa, pahala, syurga, neraka, azab kubur atau bidadari itu semuanya "pengetahuan", sama tarafnya dengan pengetahuan-pengetahuan lain.
Namun, skema pengetahuan agama itu telah sebati dengan diri kita sehingga kita tidak berfikir lagi.
Skema pengetahuan di sini maksudnya gabungan konsep-konsep itu yang teradun baik (koheren) seperti sebuah novel, filem atau dongeng yang mengasyikkan.
Saya tidak samakan agama dengan novel atau dongeng; yang saya maksudkan bagaimana dampak kesepaduan konsep ilmu dalam sesuatu bidang pengetahuan mempengaruhi fikiran kita.
Saya selalu pesankan kepada rakan-rakan agar, sekurang-kurangnya, mengkaji dengan mendalam kesan pengetahuan pada jasad melalui teori "placebo effect" atau kesan psikosomatik dalam ilmu perubatan.
Elok juga kita dalami biosemiotika (biosemiotics), kajian tentang makna dan pemaknaan pada jasad.
Untuk perbahasan falsafah yang lebih baik, rujuk (antaranya) buku 'Knowledge and the Body-Mind Problem: In Defence of Interaction' karya Karl Popper. Buku ini membahaskan dilema dan dikotomi Descartes.
Kita boleh juga merujuk kajian isu-isu sains dan budaya, khususnya tentang kesedaran (akal) dan identiti.

Tiada ulasan: