Oleh:
Jika kita menganggap liberalisme dan demokrasi itu datang dari acuan Barat, apakah kita sanggup terima hakikat Islam itu juga acuan Timur Tengah?
Jika kita menyifatkan Islam itu menyampaikan mesej sejagat dan nilai-nilainya universal, apakah kita setuju bahawa demokrasi dan liberalisme juga membawa prinsip dan idealisme sejagat?
Apakah kita setuju Marxisme dan sosialisme juga warisan khusus Eropah dan tiada kena-mengena dengan kita di sini?
Apakah mesej sejagat Islam - untuk semua manusia - selain dakwaan (claim) yang dibuat Muhammad dalam sebuah kitab yang kita anggap suci?
Secara berseloroh dan juga serius, saya sering berkata: Kesan pengetahuan baik Das Kapital atau Quran pada jasad "sama" sahaja. Apakah anda boleh bersetuju dengan kata-kata saya ini?
Apakah ciri khusus nilai dan keperibadian kita di daerah sini, yang kita labelkan nilai Melayu dan nilai Timur itu?
Apakah bukan liberalisme dan demokrasi yang ditemukan kembali di Eropah itu natijah evolusi tamadun manusia?
Apakah nilai kolektif Asia atau Timur, termasuk Melayu, itu nilai yang seharusnya wujud abadi? Atau, nilai-nilai ini asalnya penyimpangan evolusi peradaban manusia yang gagal merumuskan masyarakat dan kenegaraannya?
Sebagaimana "penyimpangan" sistem khalifah menjadi sistem dinasti dan kesultanan - apakah kita akui "penyimpangan idealisme" ini?
Jika Melayu dan Asia berdepan dengan dinamika seumpama Eropah, apakah kita akan berjaya mencipta fahaman liberalisme dan demokrasi seumpama itu?
"Kekhususan sejarah" tertakluk pada gerak budaya kita dan jiwa sesuatu bangsa itu dalam sesuatu period masa. Manakala budaya dan jiwa sesuatu bangsa itu sangat tergantung pada keseluruhan "worldview" (pandangan alam) atau kosmologi mereka pada satu-satu fasa sejarah.
Kita tidak temui warisan Greek dan Islam untuk melahirkan Renaissance - asas yang kemudiannya memunculkan Reformasi (dan perang agama) sebelum muncul Pencerahan, zaman asas sebelum "moden" menjenguk kita semua.
Globalisasi, dan sebelumnya penjajahan, menyingkap realiti "sama" kepada kita sewaktu sejarah, jiwa bangsa dan budaya kita kelihatan jauh berbeza daripada rumpun-rumpun peradaban lain.
Globalisasi, termasuk ilmu pengetahuan, memberi peluang pada kita untuk mempersoalkan sejumlah isu yang saya bangkitkan ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan