Sedari kuasa kita!

Sedari kuasa kita!

Pengikut

02 November, 2014

Putrajaya. BN tak pandai. PR yang bodoh

Kebodohan diri sendiri, rakan sendiri, aktivis siswa, wartawan, pendakwah bebas, seniman dan ahli politik pembangkang akan terus selama-lamanya menghambat reformasi bangsa ini.
Kebodohan itu bukan kerana tidak cukup ilmu, bukan kerana kurang membaca, bukan kerana tidak pernah menuntut di universiti.
Kebodohan kita (ulang: kita semua) kerana kurang berfikir berkali-kali, berlapis-lapis, dari segenap penjuru persoalan apabila dihadapkan dengan pelbagai isu negara atau masalah masyarakat.
Ditambah pula sikap tidak sabar dan tidak tenang untuk merenung sungguh-sungguh persoalan berat itu. Dengan cepat dan segera kita melontar pandangan tanpa rasa segan atau tanpa rasa malu -- kalau-kalau orang ramai sedar ketololan kita.
Ditambah sikap "bodoh sombong", yakni bukan "bodoh" kerana tiada maklumat atau kurang ilmu, tetapi kerana tiada kesedaran bahawa diri sendiri lemah, serba kurang dan harus belajar lagi, termasuk belajar memahami hujah orang lain.
Selain itu, sikap sinis kita pada ilmu, buku, teori dan analisa juga menampakkan tanda-tanda akal yang lemah.
Kita boleh menjadi aktivis, pendakwah dan ahli politik tanpa rasa malu bahawa apa yang terkeluar dari mulut kita itu hanyalah kedangkalan diri sendiri atau hujah simplistik.
Apabila kita ditegur, dibentangkan huraian lebih mendalam atau hujah lebih bernas, kita tidak mampu menggarapnya. Tapi kita rasa kita ini seorang aktivis, seorang pendakwah, seorang pemikir atau seorang pemimpin!
(ii)
Saya tidak kata tidak akan berlaku perubahan politik atau perubahan budaya sama sekali walau kita semua ini bodoh.
Saya fikir, mungkin boleh berlaku perubahan politik atau budaya; tetapi itu semua bukan "reformasi bangsa"!
Orang bodoh, baik namanya ahli politik, wartawan, aktivis NGO, seniman, penggerak siswa, pendakwah atau birokrat, memang mampu menyebarkan kebodohan dalam masyarakat.
Masyarakat yang tidak mencermati idea-idea mereka tentu akan mempercayainya dan menyebarkannya. Malah, mempertahankan idea-idea itu!
Dan, tentunya kita tidak boleh berbangga dengan "kemajuan" sebaran idea politik atau idea agama kita itu.
(iii)
Kadang-kadang kita terlalu sibuk melihat orang lain dan terlalu sibuk menyerang kerajaan atau terlalu melihat masyarakat.
Kita terlupa melihat diri sendiri, rakan sendiri dan kumpulan kita sendiri.
Akibat kesibukan itu, saya fikir "leteran" saya ini mungkin jarang disuarakan secara terbuka. Secara tertutup mungkin kita pernah meluahkannya atau mendengarnya.
Saya berleter ini untuk diri sendiri dan kepada mereka yang jujur mahu perbaiki diri, dan bangsa ini.

Tiada ulasan: