Sedari kuasa kita!

Sedari kuasa kita!

Pengikut

08 November, 2013

PAS wajar kerja kuat untuk dominan dalam PR

Oleh: Pemerhati Tetap Muktamar



PTM membaca tulisan Naseh Ulwan, beliau menulis “PAS mesti diiktiraf sebagai parti dominasi dalam Pakatan Rakyat (PR), sebagaimana Umno menjadi parti dominasi dalam Barisan Nasional (BN)”. 

PTM bertanya kembali “Apa yang PAS perlu dapat dalam PR supaya dianggap sebagai parti dominan”. Namun, tiada jawapan yang diberikan sehingga kini.

Bagaimanakah kita perlu menanggapi persoalan ‘dominasi’ ini?
PTM berpendapat persoalan dominasi ini dapat dibahagi kepada dua faktor iaitu STRUKTUR dan PERSEPSI.

Faktor pertama, struktur - adalah kerangka kepemimpinan sesuatu organisasi. Struktur adalah satu indikator yang boleh dilihat dan boleh diukur (measureable). Faktor kedua, persepsi - tidak boleh diukur (unmeasureable) dan dinilai tahap-tahapnya.

Sebelum kita membuat perbandingan dominasi Umno dalam BN dan dominasi PAS dalam PR, kita mestilah faham bagaimana struktur kepemimpinan BN dan PR berfungsi, dan bagaiman ia memberi kesan kepada faktor dominasi parti tertentu.

Struktur BN

BN mempunyai struktur kepemimpinan top-down yang jelas, bermula dari Pengerusi (Umno), Timbalan Pengerusi (Umno), Naib Pengerusi (wakil dari 12 parti), Setiuasaha Agung (Umno) dan Bendahari Agung (Umno). BN juga mempunyai struktur di peringkat Pemuda (dipengerusi oleh Ketua Pemuda Umno) dan Wanita (dipengerusi oleh Ketua Wanita Umno).

BN ialah gabungan parti yang berasaskan kaum dan etnik. Umno mewakili Melayu, MCA dan Gerakan mewakili Cina, MIC mewakili India dan beberapa parti lain mewakili etnik masing-masing. Budaya ini sukar untuk dipecahkan kerana ia mengikut template yang ditetapkan penjajah British apabila ingin memberi kemerdekaan dahulu. Komposisi parti (termasuk jumlah pembahagian kerusi bertanding) dalam BN adalah bayangan kepada komposisi kaum di Malaysia.

Disebabkan komposisi Melayu mencecah 70%, secara tidak langsung ia menterjemahkan dominasi Umno dalam Barisan Nasional. Apatah lagi Umno boleh berpaut pada doktrin ‘hak keistimewaan Melayu’ untuk memastikan status quo-nya kekal dalam BN. Malah, survival parti-parti lain juga bergantung kepada prestasi Umno. Jika undi Umno merudum, maka parti-parti lain turut akan terkubur.

Faktor lain ialah, BN terikat dengan budaya kuasa pemerintahan Negara. Secara tidak langsung, Pengerusi BN akan disandang oleh Perdana Menteri (secara tabi’inya adalah Presiden Umno), Timbalan Pengerusi BN oleh Timbalan Perdana Menteri (secara tabi’inya adalah Timbalan Presiden Umno) dan juga beberapa jawatan penting yang lain.

Struktur PR

Pembentukan Pakatan Rakyat adalah respon kepada keperluan politik semasa pra dan pasca PRU 2008. Meskipun struktur kepemimpinan PR tidak sekompleks BN, tetapi ia mampu bertahan dan semakin mengukuh sehingga hari ini.

PAS, PKR dan DAP ibarat tiga tuku yang menampung sebiji kawah, iaitu Pakatan Rakyat. Konsep kepemimpinan PR bukan bersifat top-down, tetapi bersifat setara-horizontal. Konsep ini diterjemahkan melalui Majlis Presiden. Secara teknikalnya, setiap Presiden Parti tidak ada yang lebih tinggi dari yang lain. Sebagaimana amalan organisasi yang biasa, majoriti jawatankuasa Majlis Presiden bersetuju memilih Anwar Ibrahim sebagai pengerusi untuk memudahcara perjalanan PR. Majlis Presiden dibantu oleh penubuhan Sekretariat Bersama, antaranya ialah Sekretariat Bajet.

Sebagai pengerusi PR, dan berdasarkan pengalaman beliau dalam kerajaan dan karisma kepemimpinan yang ada, majoriti Ahli Parlimen PR memilih Anwar sebagai Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia.

Struktur Pakatan Rakyat tidak membuka ruang untuk seseorang wakil parti menjadi autokratik dalam membuat keputusan. Pembentukan PR didasarkan oleh perjanjian bertulis dan komitmen asas kenegaraan Malaysia (Raja Melayu, Bahasa kebangsaan, agama persekutuan dan hak istimewa Melayu). Segala dasar, manifesto, pendirian isu akan melalui Sekretariat Bersama dan diluluskan oleh Majlis Presiden.

Semua parti ada matlamat perjuangan masing-masing. Tapi perjanjian PR memastikan semua hasrat parti disimpulkan dalam satu dasar, manifesto, dan budaya tertentu. Walaupun salah satu parti hanya mempunyai 5 orang ahli parlimen, namun dasar, polisi, manifesto, dan pendirian terhadap sesuatu isu tetap mengambil kira pendapat semua parti dalam PR kerana ia mesti melalui Majlis Presiden, atau secretariat-sekretariat tertentu.

Struktur PR tidak menjadikan kaum dan etnik sebagai asas kepada komposisi kepemimpinan. Sebab itu kita boleh lihat antara tokoh utama yang membentuk Sekretariat Bajet ialah Dr. Dzulkefly Ahmad, Rafizi Ramli dan Tony Pua, kerana setiap parti menghantar wakil yang diasaskan kepada merit dan kepakaran, bukan kaum.

Maknanya, dari segi STRUKTUR kepemimpinan Pakatan Rakyat, persoalan dominasi parti tertentu adalah tidak signifikan.

Struktur pembahagian kerusi

Pas dikatakan tidak dominan apabila kerusinya di parlimen adalah yang paling sedikit. Pembahagian kerusi untuk parti Pakatan Rakyat mempunyai sejarahnya yang tersendiri. Contohnya sebelum wujudnya Parti Keadilan, PAS dan DAP tidak menghantar semua calonnya di semua kerusi terutama di Sabah dan Sarawak kerana faktor kelemahan akar umbi di kawasan tertentu. Dan selepas pembentukan PR, semua parti berkompromi untuk memastikan pertandingan dua penjuru dengan BN berlaku.

Malah pada tahun 2011, Ketua Penerangan Pas telah membuat kenyataan berkenaan prinsip asas kompromi pembahagian kerusi iaitu ‘Secara umumnya kerusi majoriti Melayu untuk Pas, majoriti Cina untuk DAP dan kerusi campuran untuk PKR’.

Dalam PRU 2008 untuk kerusi Parlimen, PAS bertanding 66 kerusi (2 di Malaysia Timur), PKR 97 kerusi (33 di Malaysia Timur) dan DAP 47 kerusi (12 di Malaysia Timur).

Untuk kerusi DUN, PAS bertanding 231 kerusi, PKR 177 kerusi dan DAP 102 kerusi. Menariknya ialah, secara keseluruan PAS mendapat kerusi DUN paling banyak dan juga paling banyak di 10 negeri iaitu Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu, Perak, Pahang, Selangor (jumlah kerusi sama dengan PKR), Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Dalam PRU 2013 untuk kerusi Parlimen, PAS bertanding di 73 kerusi (bertambah 7 kerusi), PKR 99 kerusi dan DAP 51 kerusi (Jumlah 223 kerusi, berlaku pertindihan PAS dan PKR di Labuan). Di peringkat DUN, Pas bertanding di 236 kerusi (meningkat 5 kerusi), PKR 172 kerusi dan DAP 102 kerusi.

Jika diambil kira jumlah bilangan kerusi ini, secara logiknya Pas adalah parti dominan sekurang-kurangnya di peringkat Negeri. Namun dominasi bukan suatu bentuk pengiktirafan!

Mempunyai kelebihan kerusi dalam parlimen juga tidak menjadi faktor dominasi parti tertentu kerana sebahagian ahli Parlimen sekadar berfungsi memenuhi korum sahaja. Kombinasi 3 parti atau lebih dalam Pakatan Pembangkang menjadikan kuasa tawar menawar untuk melantik Ketua Pembangkang lebih mengecil.

Contohnya Pas mahu melantik Tuan Guru Abdul Hadi sebagai Ketua Pembangkang, DAP dan PKR masih memegang kuasa tawar menawar untuk menentukan. Demikian juga jika DAP berhasrat demikian. Akhirnya, parti-parti pakatan akan akur dengan tokoh yang boleh diterima oleh semua pihak.

Hakikatnya, di dalam mana-mana pakatan parti politik pun akan ada persaingan intra-parti. Masing-masing akan menonjolkan diri dan melebarkan pengaruh ideologinya kerana perkara itu tidak ada pun dalam perjanjian persepakatan. DAP sudah memulakan gerak kerja di Sabah dan Sarawak. PKR sudah bertapak di sana. Sudahkah PAS membuat sesuatu di Sabah dan Sarawak untuk melebarkan sayap di sana? Faktanya ialah Malaysia Timur menyumbang hampir 25% kerusi Parlimen. Siapa cekap mengatur strategi, dialah yang menguasai.

Nak minta orang lain iktiraf PAS sebagai ‘pihak yang mendominasi’ bodoh-bodoh begitu, tidak mungkin. Bahkan akan diketawakan. Misalnya dalam perlawanan akhir Piala Malaysia. Ketika di awal permainan, Piya tidak boleh sesuka hati meminta penganjur iktiraf dia sebagai Most Stylish Player sesuka hati. Beliau perlu buktikan penguasaan bola, jaringan gol, sekat kemaraan lawan dan akhirnya, persepsi awam akan mengiktiraf beliau sebagai pemain yang hebat dan mendominasi perlawanan. Malangnya dalam perlawanan itu Piya seolah-olah tidak ada dalam padang, tidak perform. Lalu Bojan Hodak sendiri yang keluarkan beliau dan gantikan dengan pemain lain.

Persepsi

Struktur PR tidak memungkinkan salah satu parti mendominasi parti lain, seperti yang PTM jelaskan di atas. PTM berpendapat, dominasi parti yang disebut-sebut itu adalah berdasarkan kepada persepsi orang ramai. Persepsi terbentuk hasil daripada penilaian umum terhadap prestasi dan tindakan sesuatu parti.

Mari kita jawab satu persatu soalan di bawah.

1. Adakah PAS, PKR atau DAP yang lebih agresif terhadap sesuatu isu?

2. Apabila muncul isu ekonomi, siapa yang ke depan?

3. Parti mana yang menonjolkan pemimpin muda yang kelihatan segar dan menarik perhatian orang muda?

4. Parti mana atau individu mana yang membentangkan manifesto PTPTN, harga rumah, harga kereta, secara terperinci menggunakan video dan bahan yang menarik?

5. Siapa yang pandai cari maklumat yang luar dari kebiasaan (rare) parti lain? Contohnya NFC.

6. Siapa yang lebih cekap dalam mengurus dan mengolah isu untuk menarik sokongan rakyat?

7. Pemimpin parti mana yang lebih berkarisma; mempunyai gaya dalam ucapan, hujah dan fakta dalam penyampaian, menguasai bahasa Inggeris untuk perhubungan antarabangsa, bijak membina perhubungan dalam jaringan politik domestik dan antarabangsa, dilihat yakin untuk memimpin, diterima oleh semua kaum dan agama, serta pelbagai faktor lain?

8. Pemimpin parti mana yang menguasai cabang-cabang utama politik dan pentabiran Negara? Contohnya bidang ekonomi dan undang-undang.

9. Parti mana yang menonjolkan prestasi yang paling cemerlang dalam pentadbiran? Adakah PKR di Selangor, DAP di Pulau Pinang dan PAS di Kelantan?

Inilah sebahagian soalan yang perlu dijawab sebelum kamu meminta orang lain mengiktiraf tahap dominasi parti kamu. Ia berkait dengan tindakan politik, kebijakan politik dan persaingan intra-parti dalam mengolah persepsi awam.

Sebab itulah PTM pernah menulis, PAS mesti mengukuhkan kedudukan professional dan ulama, mengangkat pemimpin yang berkarisma dan multi-disiplin, memposisikan potensi-potensi muda yang kompeten di dalam struktur parti supaya boleh berfungsi dengan cemerlang.

PAS mesti bersedia untuk menghadapi persaingan intra-parti Pakatan Rakyat dalam segenap segi termasuk intelektualisme, aktivisime, idealism dan advokasi. Gunalah apa sahaja ‘paling-paling’ yang dikatakan ada pada PAS; paling tua, paling lama, paling ramai ahli, paling berpengalaman, paling alim, paling betul, paling benar, paling segala benda - untuk membuktikan prestasi, membentuk think-tank dan menghasilkan polisi-polisi yang berpihak di bumi nyata untuk meyakinkan rakyat. Jika semua terbukti dan menarik perhatian ramai, secara automatik persepsi awam akan mengatakan PAS adalah parti yang mendominasi Pakatan Rakyat.

Gabungan Pakatan Rakyat bukan seperti gabungan Barisan Nasional yang menggunakan komposisi kaum sebagai struktur kepemimpinan. Pakatan Rakyat adalah gabungan parti yang mendahulukan individu yang amanah dan kompeten (al-amin & al-qawiy) untuk diangkat sebagai pemimpin ‘de facto’.

Jika PAS menubuhkan gabungan parti yang meletakkan agama sebagai asas pakatan, bolehlah PAS sesuka hati meminta diiktiraf sebagai parti dominan kerana komposisi orang Islam di Malaysia adalah yang tertinggi.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

apa jadah semua nak ikut macam umno nie ...x dak akai ka apa ..x reti nak kongsi kuasa ka ...bodoh nak mampus ..semua nak jadi macam umno ..deominan lah butuh lah pantat lah ...haramjadah