Sedari kuasa kita!

Sedari kuasa kita!

Pengikut

22 Mei, 2015

Jawapan kepada fitnah2 ke atas UAA

#BersamaUlama_KukuhkanPR_TumbangkanBN

Ustaz Ahmad Awang:
Tulis Dengan Pengalaman 2.

Fitnah=Ujian &
Fitnah=Penganiayaan
(Siri 2)

Maksud firman Allah SWT:
“Sesungguhnya orang-orang yang mendatangkan fitnah kepada orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan kemudian mereka tidak bertaubat, maka bagi mereka azab Jahannam dan bagi mereka azab (neraka) yang membakar.”
(Al-Buruuj:10)

Bimbingan Allah Menghadapi Fitnah

DALAM menghadapi fitnah berupa ujian dan cubaan ini, saya tidak pernah berangan- angan untuk mendapat gelaran pangkat kebesaran seperti yang diperoleh oleh rakan- rakan sebaya saya seperti Tan Sri Abdul Hamid Othman, Tan Sri Yusof Noor, Tan Sri Harussani Zakaria, Dato' Ismail Ibrahim, Dato' Zainal Abidin Abdul Kadir, Dato' Dasuki Haji Ahmad dan lain-lain. Di sini belum lagi saya hendak memanjangkan cerita bagaimana saya sering diekori dan kadang- kadang diburu oleh Cawangan Khas (SB) Bukit Aman. Disebabkan terlalu kerap menemui saya ada antara mereka yang akhirnya menjadi orang yang warak dan kuat bertahajud.

Pernah pada suatu hari (Jumaat) saya diberi kata dua oleh seorang pegawai kanan SB supaya saya memberhentikan ucapan atau tulisan saya yang kononnya mengancam keselamatan negara atau saya akan ditahan oleh pihak Bukit Aman. Bahkan saya pernah disoal siasat di Ibu Pejabat SB Bukit Aman selama lebih tiga jam. Lima orang pegawai SB menyoal siasat saya bertubi-tubi tetapi alhamdulillah saya diberi Allah kekuatan dan
bimbinganNya untuk menjawab pertanyaan dan hujah mereka. Saya sangat bersyukur kerana diberi Allah kekuatan untuk menghadapi fitnah kategori yang pertama ini.

Fitnah Penganiaan

Dalam bahagian kedua ini, saya ingin menjelaskan fitnah kategori kedua yang bermaksud penganiayaan yang lebih berbahaya dan besar dosanya daripada pembunuhan. Ini kerana perbuatan membunuh hanya merupakan satu jenayah iaitu mencabuli hak seseorang manusia untuk hidup di bumi Allah S.W.T. Pelaku jenayah pembunuhan itu boleh menerima balasannya di dunia ini melalui hukum qisas, manakala fitnah yang berupa penganiayaan ini ianya merupakan rangkaian beberapa jenayah.

Pertama ianya merupakan pencabulan atas kehormatan nama baik seseorang. Ia merupakan salah satu dosa besar.

Kedua ianya membawa kepada perbuatan mengumpat apabila disebarkan, iaitu satu
perbuatan keji yang amat besar dosanya seperti yang diumpamakan Allah S.W.T. dalam Al-Quran dengan perbuatan memakan daging mayat saudara sendiri. Firman Allah dalam surah Al-Hujuraat ayat 12 bermaksud “… dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang di antara kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang.”

Ketiga fitnah kategori ini juga berpunca dari hasad dengki terhadap seseorang yang mendapat sesuatu nikmat kebaikan. Ini juga merupakan salah satu dosa besar dan perbuatan keji lagi tercela di sisi Islam.

Keempat fitnah ini juga boleh membawa kepada permusuhan dan perpecahan di antara sesama umat Islam. Disebabkan rangkaian kejahatan dan kekejian fitnah kategori ini maka Allah menyifatkannya sebagai perbuatan yang lebih dahsyat daripada pembunuhan (rujuk Al-Baqarah 191 dan 217).

Berkongsi Pengalaman

Saya mengalami fitnah kategori ini semenjak masih menuntut di Mesir dan waktu saya berkhidmat dalam kerajaan bahkan juga ketika saya mengetuai berbelas tahun Persatuan Ulama Malayasia (PUM) dan Jamiyah Dakwah Islamiah Selangor dan Wilayah Persekutuan. Bagaimanapun fitnah-fitnah tersebut akhirnya padam dengan mudah, kerana pembuat fitnahnya dapat dikenali dan tuduhan-tuduhan jahat mereka dapat ditolak di hadapan mereka. Akan tetapi fitnah yang disebarkan oleh orang-orang yang tidak diketahui identitinya maka bahayanya sangat besar.

Paling terbaru fitnah seperti inilah yang tersebar melalui blog-blog menuduh saya dengan tuduhan jahat yang sangat berat dan mencemar kredibiliti dan maruah saya. Fitnah tersebut dikaitkan sumbernya dengan ucapan seorang anggota perwakilan dalam Muktamar PAS ke 55 di Shah Alam baru-baru ini. Ianya disebarkan oleh pasbaru@yahoo.com (PBC) melalui komennya atas posting blog saya yang di “link” kan kepada blog arisawang.blogspot.com. PBC memfitnah saya sebagai Ulama E-class dan hidup bermewah-mewah secara tiba-tiba selepas kerajaan PR memerintah di Perak. Saya dituduh kononnya kempunan kerana tidak dapat menjadi Menteri Besar Perak.

Fitnah itu dikaitkan dengan sebuah kereta Mercedes E200 Compressor(BJK 5656) yang saya dan isteri mengguna pakainya (isteri saya sentiasa memandunya). PBC juga memfitnah saya melayan pemandu saya sebagai hamba abdi atau kuli yang saya arah sesuka hati seperti menyuruhnya membeli roti canai. PBC juga memfitnah saya memuja Husam dan membenci 3 orang Pimpinan Tertinggi PAS masa kini. Saya juga difitnahnya mereka-reka tuduhan terhadap pimpinan apabila saya menyebut dalam ucapan saya (Muktamar PAS ke 55 baru-baru ini) tentang seorang Pemimpin Tertinggi yang menghubungi saya dan meminta (bukan mengarahkan) saya supaya “mereview” keputusan PAS Perak membentuk kerajaan bersama DAP dan PKR dan sebaliknya berbincang untuk tubuh kerajaan bersama UMNO/BN.

PBC seterusnya memfitnah saya dengan dakwaan bahawa saya menolak semua pencalonan untuk jawatan tertinggi parti adalah kerana takut kalah dalam pemilihan. Saya tidak pasti sama ada pembuat fitnah ini orang dalaman jemaah (PAS) atau orang luar. Sekiranya pembuat fitnah ini ahli PAS, apatah lagi orang yang ada jawatan dalam parti maka ianya amatlah malang dan mendukacitakan. Sekiranya ia “orang luar”, apatah lagi kalau dari kalangan musuh maka tidaklah menghairankan. Tetapi dari penulisan PBC itu, terdapat isyarat yang menunjukkan ia datang dari kalangan jemaah. Sesiapapun jua identitinya PBC yang membuat fitnah aniaya dan zalim ini, saya minta supaya dia tampil mengenalkan diri.

Tidak perlu takut untuk berdepan dengan saya dan mereka yang dilibatkannya dalam fitnah berkenaan. Dua hari lepas semasa saya balik ke Semanggol seorang anak muda memberitahu saya dia telah menghantar email kepada PBC supaya dia mengenalkan dirinya tetapi tiada jawapan yang diterima. Dari apa yang dapat dikesan, pemilik muktamarpas.blogspot.com pernah membuat postingnya di United Kingdom dan Mesir selain daripada beberapa tempat dalam negara. Ini menunjukkan ianya bukanlah sebarangan orang kalau ianya seorang pendukung jemaah.

Penjelasan-penjelasan Dan Penolakkan Fitnah.

Ulama E-Class: Memang mudah manusia membuat fitnah yang menganiaya sesama orang beriman bahkan sesama dalam jemaah pun. Bersabit dengan fitnah Mercedes E-class itu sebenarnya telah saya jelaskan kepada sahabat pimpinan PAS negeri Perak dalam satu mesyuarat Dewan Harian beberapa minggu selepas kami mengguna pakai kereta tersebut. Dalam mesyuarat itu, saya terangkan dari mana datangnya Mercedes E-class itu bahkan saya tunjukkan salinan gerannya yang membuktikan siapa pemilik sebenarnya iaitu seorang tokoh korporat bernama Dato’ MN. Beliau secara kebetulan mengetahui kenderaan kami terlibat dalam satu kemalangan di lebuh raya berhampiran Gua Tempurung.

Sebulan Kemudian Kira-kira sebulan kemudian pemilik Mercedes E-class itu menyerahkan kereta itu kepada kami di kediamannya di Shah Alam. Kami terperanjat melihat Mercedes sebaharu itu diserahkan kepada kami dengan kata-kata si pemilik “Pak Lang dan Mak Lang (panggilan mesra kepada kami) pakailah kereta ini. Mak Lang anggaplah kereta ini seperti kereta Mak Lang sendiri.” Isterinya Datin IB menambah, “ Mak Lang memandu kereta ini untuk kerja Islam, mudah-mudahan kami pun tumpang dapat pahala.” Bagaimana pun di antara sahabat pimpinan dalam mesyuarat berkenaan ada yang bertanya kenapa tidak kereta yang lain dari Mercedes. Dalam hati saya kalaulah di antara sahabat yang mempersoalkan perkara ini menawarkan salah sebuah kenderaan mereka kepada saya, selesailah masalah Mercedes E-Class.

Hati saya berkata lagi, “Macam mana Dato’ tu hendak beri selain dari Mercedes kerana
kereta-keretanya yang lain adalah Mercedes yang lebih mahal dari E-200 itu.” Agaknya akal mereka memang susah hendak menerimanya kerana dalam realiti dunia sekarang nak mencari seorang berdua seperti Dato’ MN itu sukar ditemui. Apatah lagi sahabat-sahabat berkenaan yang mempunyai dua tiga buah kereta itu tidak pernah sekali pun menawarkan kepada kami untuk menggunakan kereta mereka buat sementara.”

Sebenarnya kira-kira sebulan sebelum kami ditimpa kemalangan jalan raya itu, seorang sahabat di Taiping yang saya singkatkan namanya dengan Dr. AZ berjanji akan menghadiahkan sebuah kereta Mercedes (separuh pakai) untuk kegunaan kami. Akan tetapi kereta yang beliau tempah itu terlewat diterimanya sehingga kami mendapat Mercedes E-Class ini. Bagaimanapun Dr. AZ kemudiannya membiayai insurans, cukai jalan dan bayaran servis kereta berkenaan. Dr. AZ inilah juga yang memberi kami sekeluarga khidmat rawatan dan perubatan secara percuma semenjak kira-kira sepuluh tahun yang lalu apabila kami kembali ke Perak sehingga hari ini.

Sifat Hasad Dengki

Manusia memang mudah membuat fitnah apabila melihat seseorang mendapat kurniaan Allah S.W.T. yang berupa kelebihan dan kesenangan. Perasaan hasad dengki mudah subur dalam hati mereka yang mudah dipengaruhi oleh kebendaan dan harta kekayaan walaupun sudah memilikinya lebih besar dari apa yang menimbulkan hasad dengki itu. Firman Allah S.W.T. Al-Imran ayat 120 bermaksud, “Jika kamu mendapat kebaikan, mereka susah hati/dukacita/sakit hati. Dan jika kamu ditimpa kesusahan mereka gembira dengannya… ”

Dulu semasa kami menggunakan Isuzu Trooper (ABK 5577) yang sudah dilupus guna dan Volvo tua (BFK 1450) yang selalu tersadai dalam perjalanan, tiada sesiapa pun yang ambil peduli bahkan ada yang menyindir sinis dengan kata-kata seperti, “kereta Ustaz ni dah masuk taraf klasik” .

Ada yang berkata kepada isteri saya “ Dalam pimpinan PAS ini tiada lagi pimpinan yang
memakai kereta sebegini melainkan Ustaz Ahmad Awang je.” Namun isteri saya menjawab dengan senyuman dan ucapan hamdallah. Tiada siapa pun yang mengambil tahu apabila saya selalu menaiki bas Konsortium dari Pudu Raya ke Kamunting hampir setiap minggu. Tidak ada siapa di antara sahabat pimpinan yang bertanya kepada kami apa yang sudah jadi kepada Proton Waja yang kami gunakan selepas terlibat dengan kemalangan di lebuh raya berhampiran Gunung Tempurung itu. Malah sahabat-sahabat yang rapat seperjuangan itu ada yang tidak tahu bahawa akibat kemalangan itu isteri saya seminggu kemudian dimasukkan ke wad kecemasan di Hospital Kota Bharu.

Begitulah sebahagian adat manusia di dunia ini termasuk ahli dan pimpinan jemaah PAS. Begitulah manusia yang disifatkan Allah S.W.T. sebagai “zalooman” dan “jahoola” lebih mudah dipengaruhi nafsu, hasad dengki yang kemudiannya dengan mudah memfitnah sesama insan hatta yang sejenama dalam jemaah. Dalam suatu peristiwa, saya seolah-olah seperti disoal siasat dalam satu himpunan bulanan parti di markas negeri di Air Kuning bersabit Mercedes E-class ini apabila seorang peserta (Ustaz ZA) membangkitkan isu ini. Alhamdulillah saya dengan tegas menjelaskan tanpa apa-apa yang disembunyikan. Kebetulan dalam majlis Liqaa Fikri Bulanan yang dihadiri oleh kira-kira 300 orang itu dihadiri sama Ustaz Taib Azamuddin Taib yang menjadi naqib jemputan pada malam itu.

Beliau pun terperanjat menyaksikan peristiwa itu kerana Ustaz Taib seorang yang sangat mengenali peribadi saya sejak beliau mula bertugas di JAKIM di bawah arahan saya. Namun saya diberitahu apa yang dibangkitkan oleh Ustaz ZA itu tersebar melalui kuliah/ceramah beliau sedangkan penjelasan saya tidak disampaikan.

Beberapa Orang Hamba Allah

Dalam kehidupan kami yang sederhana, ramai yang tidak mengetahui termasuk rakan-rakan pimpinan yang akrab dalam jemaah bahawa kami selalu mendapat pertolongan dari beberapa orang hamba Allah dari kalangan ahli korporat yang tidak suka nama mereka disebutkan. Sudah menjadi perkara biasa apabila kami berhajat kepada sesuatu bantuan atau pertolongan dalam kerja-kerja amal Islam yang kami laksanakan, ada manusia yang prihatin dan pemurah dari kalangan ahli-ahli koporat yang mengenali kami. Selain dari Dato' MN di atas, di antara mereka ialah Dato’ SN. Beliau sering memberikan sumbangan kewangan bukan sahaja kepada kami bahkan kepada orang yang kami perkenalkan kepada beliau.

Beliaulah yang memberikan kereta Volvo (BFK 1450) yang kami gunakan beberapa tahun sehingga hari ini. Beliau juga tidak pernah keberatan menyumbang kepada parti. Kami berkenalan sejak berbelas tahun sehingga hari ini. Seorang lagi ahli koporat Dato’ JK (bukan KJ). Semenjak saya pernah menjadi penasihat syariah kepada syarikat korporat beliau sehinggalah saya berhenti kerana menyertai PAS, beliau tidak pernah lupa membantu saya apabila suasana memerlukan. Seorang lagi Dato’ Dr. SM. Beliau adalah seorang doktor pakar khususnya dalam bidang rejuvenation dan anti aging. Beliau mempunyai kliniknya sendiri di Kuala Lumpur. Sumbangan beliau kepada kami sekeluarga ialah khidmat ozone therapy semenjak bertahun-tahun secara percuma.

Seorang lagi tokoh koporat dari ahli PAS di Kuala Lumpur ialah Haji HAH. Beliau juga banyak membantu kami terutama bila saya terlibat bertanding dalam PRU ke 10 tahun 1999 dan PRU ke 11 (2004). Malah dalam PRU ke 12 (2008) beliau juga memberikan sumbangan kewangan untuk PAS Perak melalui saya selaku Pesuruhjaya. Tokoh- tokoh korporat tersebut di atas dan beberapa orang lagi seperti Dato’ SS, Dato’ Syed SH, Dato’ HA, Dato' NF, Dato' IA adalah di antara penyumbang utama bagi pembangunan Balai Kuliah Tasawwur Islami di Simpang Empat Semanggol yang berjaya kami membangunkannya kira-kira 7 tahun dahulu. Merekalah juga antara penyumbang kepada dana tabung aktiviti Balai Tasawwur terutama dana sumbangan fakir miskin dan anak yatim menjelang Eidul Fitri dan Program Ibadah Korban setiap kali Eidul Qurban.

Saya memaparkan perkara ini samata-mata bertujuan untuk membuktikan bahawa ada
sebilangan manusia-manusia yang pemurah yang memberikan sumbangan dan pertolongan kepada saya dengan penuh ikhlas tanpa mengharapkan sesuatu balasan kecuali dari Allah. Mereka tidak pernah ragu memberi sumbangan kepada saya dalam kerja amal Islam, baik melalui jemaah mahupun kegiatan peribadi saya dan isteri. Maka amatlah besar dosa dan fitnah orang seperti PBC dan konco-konconya kerana tanpa penjelasan seperti ini, kepercayaan hamba-hamba Allah yang pemurah itu kepada saya akan tergugat. Ya Allah, lepaskanlah hambaMu ini dari fitnah yang lebih bahaya dari pembunuhan itu.

Tiada ulasan: