Rakyat
Malaysia yang budiman bakal dianugerahkan hadiah paling besar daripada
kerajaan Umno-BN yang merajai kita hari ini. Ia lebih besar daripada
bencana barang naik; kamera AES, cukai GST, harga minyak, gula, jalan
tol dan lain-lain.
Namanya Trans Pacific Partnership Agreement
(TPP). Baru-baru ini di Lima, Peru pada 15-24 Mei yang lalu, telah
berlangsung rundingan TPP pusingan yang ke 17.
TPP
dijangka dapat diselesaikan menjelang sidang APEC di Indonesia, Oktober 2013 ini.
Inilah perjanjian paling rahsia pada abad ke 21.
Rundingan
bermula 2010 melibatkan Amerika Syarikat dan sembilan buah negara
rantau pasifik iaitu, Canada, Chile, Peru, Mexico, Australia, New
Zealand, Singapura, Indonesia, Vietnam dan Malaysia. Jepun baru-baru ini
ikut serta dalam rundingan, manakala kelibat China tidak kelihatan.
Ia
bertujuan mewujudkan blok ekonomi yang akan menyeimbangkan kekuatan
ekonomi, dan nantinya kedudukan strategik geo politik China di Asia
Timur.
TPP membolehkan 600 buah syarikat gergasi dunia (Multi
National Corporations-MNCs) menilai atau memantau rundingan perjanjian
ini dengan hanya satu klik - dan mendapat aksesnya dalam talian
internet. Para pelobi MNCs ini, boleh mendapatkan akses terhadap
dokumen, membuat ulasan serta mempengaruhi isi perjanjiannya.
Manakala
wakil-wakil Kongres AS pula tidak punya akses terhadap isi perjanjian
ini. Waima Senator Ron Wyden sendiri yang menjawat Pengerusi Senate
Subcommittee on Trade.
Senator Ron Wyden dan para senator lainnya
telah menuntut ketelusan dalam proses rundingan perjanjian. Pada Jun
2012, seramai 132 orang perwakilan Kongres AS (1/3 jumlah ahli Kongres)
telah menulis, menandatangani dan mengedarkan surat bantahan menuntut
ketelusan dalam proses rundingan. Mereka mencatat dalam
surat itu:
"Jika
Kongres dan orang awam tidak dimaklumkan mengenai terma-terma syarat
sebenar perjanjian itu sehingga berakhirnya proses tersebut, maka ia
bermakna, apa-apa peluang untuk memberi masukan input telah hilang.
Suatu perjanjian perdagangan yang tidak boleh berdiri untuk penelitian
awam tidak boleh dirundingkan atas nama warganegara Amerika Syarikat. "
Salah
satu kemenangan tenaga bantahan terhadap pensejagatan kuasa
korporat-MNCs adalah kekalahan Free Trade Area of The Americas (FTAA).
Selepas lulusnya Perjanjian Wilayah Perdagangan Bebas Amerika Utara
(NAFTA) pada 1995, FTAA seharusnya diperluas ke seluruh wilayah Barat.
Namun
demikian, cadangan perjanjian tersebut secara telus telah didedahkan
kepada umum. Bantahan meluas disusun dan rundingan dibatalkan sebelum
tarikh tamat pada 2005. Salah satu sebab tewasnya rundingan FTAA
tersebut kerana teks dokumen perjanjian dibenar untuk didedahkan ke
pengetahuan umum.
Itu di AS yang punya demokrasi, hak asasi
manusia, pilihanraya adil, media bebas dan Akta Kebebasan Maklumat. Di
Malaysia, apatah lagi dengan Akta Rahsia Rasmi, Akta Hasutan dan
lain-lain lagi perundangan tidak demokratik, TPP terus lenyap daripada
wacana umum.
Peliknya, cerita bodoh Red Bean Army yang menjadi kepala berita akhbar arus perdana, bukannya TPP.
Kalau
ia dibincangkan, ia dibicarakan secara sempit, di ruangan pinggiran
tanpa rujukan luas, kritikal dan ilmiah. Konon, TPP hanya melibatkan
kepentingan ekonomi orang Melayu. Begitulah ceteknya hujah yang
diberikan. Masih menusuk jarum perkauman.
Tidak pasti hujah ini
untuk menarik lebih ramai orang lagi bagi membantah TPP. Ataupun ianya
sekadar melepaskan batuk di tangga agar agenda membodohkan orang Melayu
terus bergerak lancar. Seterusnya menenggelamkan isu TPP ini.
Sebenarnya, seluruh rakyat Malaysia yang akan mendapat bala bahana TPP, antaranya:
- Menghakis hak-hak pekerja di seluruh dunia (pekerja Malaysia akan ditambah aniaya lagi)
- Menukar
atau membuang peraturan-peraturan institusi kewangan negara, termasuk
di Wall Street (apatah lagi Malaysia dengan pecah amanah dan rasuahnya)
- Mengutamakan
keuntungan korporat keparat MNC daripada hak rakyat (Malaysia telah
lama dirundung sistem kapitalis monopoli oleh segelintir kroni Umno-BN,
akan ditambah lagi)
- Menghapuskan pekebun, peladang,
penternak, petani dan nelayan kecil, memaksa perpindahan dan memusatkan
bekalan makanan dunia ke tangan 1% penguasa kekayaan dunia
- Membataskan kebebasan dan daya cipta inovasi terhadap Internet.
NGO Doctors Without Borders/Médecins Sans Frontières (MSF) telahpun
berkempen melawan
TPP ini atas sebab ia menyekat penggunaan ubatan generik yang lebih
murah. Ia akan mengakibatkan rawatan penyakit kronik seperti
tuberculosis, malaria, HIV/AIDS, sakit jantung, kencing manis, darah
tinggi dan lain-lain lagi menjadi sangat mahal.
Pada rundingan
ke 15 di Auckland, New Zealand, Disember tahun lalu, pihak perunding
Malaysia yang diwakili Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri
(MITI) telah mengesyorkan untuk menyekat jumlah maklumat berkenaan isi
kandungan dan formula makanan yang diproses.
Walhal undang-undang hak kepenggunaan hampir di negara-negara maju memerlukan syarikat-syarikat pengeluar makanan memberikan
maklumat tepat formula dan bahan-bahan kandungan produk makanan keluaran mereka.
Pastilah
cadangan ‘bernas' Malaysia ini disokong kuat oleh AS. Ataupun
barangkali Malaysia telah menjadi sarana MNCs untuk menyuarakan
kepentingan mereka. Kita tertanya-tanya, pada waktu itu antara peneraju
MITI ialah anak Dr. Mahathir sendiri.
Masalahnya TPP
dirundingkan kerajaan Malaysia tanpa ketelusan, dengan kebanyakan
syarat-syarat perjanjian dipaksakan tanpa pembuatan keputusan yang
demokratik.
Bagaimana kerajaan yang hanya mendapat mandat 46 %
undi popular ini, berhak untuk merundingi dan menandatangani perjanjian
yang akan memberi kesan buruk untuk seluruh penghidupan di tanah air ini
- alam, manusia dan segala harta milikan awam yang masih tersisa?
Jikalau
kita membaca dongengan atau kisah mitos Melayu kuno, seperti kisah
Sultan Mahmud dalam Hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu berkenaan
kejatuhan Melaka, atau kisah Raja Bersiong dan kerajaan Langkasuka, kita
akan mendapati kemusnahan empayar-empayar Melayu kuno (Hindu-Budha dan
Islam) ini berpunca daripada serangan dan penguasaan asing.
Melaka
jatuh akibat serangan Portugis pada 1511. Manakala Langkasuka dan
Srivijaya di rantau Nusantara melemah akibat serangan Raja Rajendra
Chola (negara moden Tamil dan Lanka) pada 1025.
Tetapi kita tidak
boleh menolak hakikatnya dengki khianat, tamak haloba, kezaliman, rasuah
dan pecah amanah di kalangan pemerintah tempatan menjadi punca utama
faktor dalaman yang merobohkan tembok pertahanan daripada ancaman luar.
Inilah
akibatnya, serakah dasar penswastaan serta rakus pemerintahan zalim,
rasuah, pecah amanah pentadbiran Dr. Mahathir Mohamad selama 22 tahun
(dirujuk sebagai Mahathirisme). Inilah kesannya hegemoni United Malays
National Organization selama lebih 55 tahun.
Bagi penyokong tegar
Umno-BN, pada hari ini dan mendatang, sehingga termeterainya Perjanjian
TPP ini, teruskanlah sokongan anda kepada Umno-BN. Nanti rasailah
nikmat kehancuran dan kehilangan itu.
Bagi mereka yang telah
lama hancur penghidupan dan harapannya, kehilangan telah sebati menjadi
zat yang menyihatkan - itulah hikmat kekosongan!