Istilah tahaluf siyasi menjadi satu istilah yang semakin dikenali
khususnya di kalangan pendokong gerakan Islam. Dengan kejatuhan khilafah
Uthmaniyyah di Turki pada tahun 1924, gerakan Islam yang pertama
ditubuhkan ialah Ikhwan al-Muslimin di bawah pimpinan Hassan al-Banna
pada tahun 1928. Penubuhan gerakan ini di Mesir membayangkan hasrat
untuk menegakkan Haikimiyyah Allah SWT. Idealisme ini berkembang ke
seluruh dunia dengan penubuhan gerakan-gerakan Islam di hampir setiap
negara di dunia. Matlamat dan konsep perjuangan mereka hampir sama
antara satu lain iaitu ke arah menegakkan sebuah negara Islam dan lebih
jauh dari itu menghidupkan semula sistem khilafah yang telah berkubur.
Dalam keadaan hari ini, amatlah disedari oleh gerakan-gerakan Islam
bahawa mereka tidak mampu untuk berdiri sendiri dalam memperjuangkan
aspirasi masing-masing. Di dalam sesebuah negara bangsa yang dibina pada
zaman moden ini, tidak semua rakyat memahami inti kandungan Islam dan
kebaikan-kebaikannya. Lantas, berlakulah keperluan untuk bekerjsama
dengan gerakan lain samada di dalam menyertai politik pilihanraya atau
sebagai pendokong di dalam pembentukan kerajaan. Perosalannya, adakah ia
merupakan satu keharusan? Dalam erti kata lain, haruskah bagi sesebuah
gerakan Islam untuk menjalinkan kerjasama dengan gerakan lain yang tidak
mempunyai hasrat yang sama dengannya dalam membentuk kerajaan?
Pengertian Tahaluf Siyasi
Tahaluf Siyasi membawa makna kerjasama harakah Islam dengan mana-mana
pergerakan lain yang tidak bermatlamatkan Islam di dalam perjuangannya.
Kerjasama ini boleh terjadi di dalam apa jua bidang yang dipersetujui
bersama untuk sama-sama menghadapi musuh yang sama. Tahaluf Siyasi juga
kemungkinan boleh berlaku dengan gerakan yang pernah atau berpotensi
untuk menentang ideologi harakah Islam. Dalam suasana hari ini, tahaluf
siyasi yang dimaksudkan juga termasuk kerjasama dengan golongan bukan
Islam untuk menghadapi musuh yang sama.
Hukum Tahaluf Siyasi
Para
ulama haraki khususnya berbeza pandangan mengenai hukum melakukan
kerjasama dengan gerakan yang tidak bermatlamatkan perjuangan Islam.
Sebahagian daripada mereka dengan tegas menolak langsung sebarang usaha
melakukan kerjasama ini serta menghukumkan bahawa kerjasama ini sebagai
haram. Di antara mereka ialah Sheikh Muhammad Qutb dan al-Syeikh al-Imam
Abu Nasr Muhammad bin Abdullah . Manakala di antara ulama yang
mengharuskan tahaluf siyasi ialah Dr Yusuf al-Qaradhawi , Dr Mustoffa
al-Tohhan , al-Syeikh Muhammad Ahmad al-Rasyid , Doktor Solah al-Showi
dan Doktor Munir Ghahdban .
Dalil-dalil yang dipegang oleh ulama yang mengharamkan tahaluf siyasi ialah seperti berikut :
1. Firman Allah SWT :
يَا
أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا لَا تَتَّخِذُوا الْيَهُودَ وَالنَّصَارَى
أَوْلِيَاءَ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ وَمَنْ يَتَوَلَّهُمْ مِنْكُمْ
فَإِنَّهُ مِنْهُمْ إِنَّ اللَّهَ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الظَّالِمِينَ
(51) فَتَرَى الَّذِينَ فِي قُلُوبِهِمْ مَرَضٌ يُسَارِعُونَ فِيهِمْ
يَقُولُونَ نَخْشَى أَنْ تُصِيبَنَا دَائِرَةٌ فَعَسَى اللَّهُ أَنْ
يَأْتِيَ بِالْفَتْحِ أَوْ أَمْرٍ مِنْ عِنْدِهِ فَيُصْبِحُوا عَلَى مَا
أَسَرُّوا فِي أَنْفُسِهِمْ نَادِمِينَ (52)
Yang bermaksud :
Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengambil orang-orang
Yahudi dan Nasrani menjadi pemimpin-pemimpin(mu); sebahagian mereka
adalah pemimpin bagi sebahagian yang lain. barangsiapa diantara kamu
mengambil mereka menjadi pemimpin, Maka sesungguhnya orang itu termasuk
golongan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada
orang-orang yang zalim. Maka kamu akan melihat orang-orang yang ada
penyakit dalam hatinya (orang-orang munafik) bersegera mendekati mereka
(Yahudi dan Nasrani), seraya berkata: "Kami takut akan mendapat
bencana". Mudah-mudahan Allah akan mendatangkan kemenangan (kepada
Rasul-Nya), atau sesuatu keputusan dari sisi-Nya. Maka kerana itu,
mereka menjadi menyesal terhadap apa yang mereka rahasiakan dalam diri
mereka.
Hujah :
Kerjasama gerakan Islam dengan orang-orang kafir di atas dasar politik
akan menjauhkan lagi orang-orang Islam daripada mereka. Ini kerana,
Islam mengharamkan sebarang jenis wala’ kepada kepada ahli kitab yang
mempunyai akidah yang hampir sama dengan Islam, apatah lagi wala’ kepada
orang-orang kafir yang akidah mereka langsung tidak mempunyai persamaan
dengan akidah Islam.
2. Firman Allah SWT :
فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَا أَكْبَرُ مِنْ نَفْعِهِمَا
Yang bermaksud : Pada keduanya terdapat dosa yang besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya
Hujah : Ayat di atas berkenaan dengan pengharaman arak
dan judi. Namun jika dilihat dari sudut tahaluf siyasi, kerjasama dengan
musuh mungkin mendatang manfaat dari beberapa sudut, bagaimanapun dari
sudut yang lebih jauh iaitu ke arah menegakkan hakimiah Allah SWT, ia
tidak akan dapat dicapai. Lantas, kerjasama akan menyebabkan
terbantutnya usaha gerakan Islam untuk menegakkan daulah Islamiah. Oleh
yang demikian, kerjasama ini adalah haram kerana lebih banyak
mendatangkan mudharat daripada manfaat.
3. Pertimbangan logik bahawa gerakan yang tidak berhasrat untuk
menegakkan Islam ini pastinya hanyalah menjadikan gerakan Islam sebagai
jambatan untuk mereka mendapatkan kuasa. Mereka sekali-kali tidak
membiarkan gerakan Islam ini berkembang sehingga mengatasi diri mereka.
Dan ini sekali lagi akan menghalang kepada tertegaknya daulah Islamiah
seperti yang diperjuangan oleh Harakah Islamiah.
Manakala bagi
golongan ulama haraki yang mengatakan tahaluf siyasi sebagai sesuatu
yang diharuskan, mereka berpegang dengan hujah-hujah berikut :
1.
Half al-Fudhul : Ia merupakan satu peristiwa yang berlaku pada zaman
jahiliyyah iaitu perjanjian di antara beberapa qabilah untuk menolong
golongan yang dizalimi. Perjanjian ini telah disaksikan oleh Nabi
Muhammad SAW. Inilah yang dimaksudkan oleh hadis baginda yang menyatakan
:
وَأَيُّمَا حِلْفٍ كَانَ فِي الْجَاهِلِيَّةِ لَمْ يَزِدْهُ الْإِسْلَامُ إِلَّا شِدَّةً
Yang bermaksud : Mana-mana
perjanjian yang dilaksakanan ketika jahiiyyah tidak akan ditambahkan
(diubah) oleh Islam melainkan semakin patut dilaksanakan - membawa makna
mana-mana perjanjian di zaman jahiliyyah yang bermaksud kerjasama dan
silaturrahim tidak akan berubah ketika Islam melainkan ia lebih patut
untuk dilaksanakan. Ini kerana Islam tidak akan mengharamkan sesuatu
perkara yang baik.
Hujah : Sekalipun Nabi SAW menyaksikan perjanjian ini ketika jahiliyyah,
tetapi kerana Nabi telah memujinya semasa Islam, ia dianggap sebagai
perkara yang baik. Ini menunjukkan bahawa sekalipun yang berada dalam
ikatan perjanjian itu orang-orang yang berakidah salah, ia tetap
dianggap perjanjian yang baik selagi mana tujuannya adalah baik.
2. Perjanjian Rasulullah SAW dengan bapa saudaranya Abu Talib untuk
menjaganya serta memeliharanya dari ancaman kaum Quraisy. Tahaluf di
antara mereka berdua berlaku dalam beberapa peringkat :
2.1 Ketika Abu Talib melihat bagaimana Nabi Muhammad SAW bertegas untuk
melaksanakan dakwah sekalipun terpaksa mati untuk Islam, Abu Talib
lantas menyatakan : “Teruskan wahai anak saudaraku, katakanlah apa yang
kamu hendaki. Demi Allah, aku tidak akan serahkan kamu kepada sesiapa
selama-lamanya” Kata-kata ini dibuktikan beberapa kali oleh Abu Talib di
mana pernah beliau mengetahui tentang sekumpulan kaum Quraisy yang
merancang untuk membunuh Nabi Muhammad SAW, lalu dikumpulkan bani Abdul
Mutalib dan Bani Hasyim untuk melindungi baginda SAW. Mereka semua
berkumpul termasuklah yang masih kafir untuk melindungi Nabi Muhammad
SAW.
2.2 Peringkat berikutnya ialah ketika kaum Quraisy melancarkan pemulauan
kepada Bani Hashim dan Bani Abdul Mutalib sebagai tindak balas kerana
mereka melindungi Rasulullah SAW. Lalu ditulis surat penguatkuasaan di
mana tidak dibenarkan sesiapa pun menikahi atau dinikahi oleh kedua-dua
kabilah ini. Juga tidak dibenarkan berlakunya urusan jual beli dengan
kedua-duanya. Surat ini ditampalkan di dinding kaabah.
Hujah : Di dalam peristiwa-peristiwa ini, dapatlah
dibuat kesimpulan bahawa menjadi satu keharusan jamaah Islam untuk
mendapat perlindungan daripada orang yang bukan Islam demi mencapai
matlamat perjuangannya. Namun ia tidaklah sampai kepada peringkat tunduk
dan patuh sehingga menggadaikan perjuangannya.
3. Perjanjian Rasulullah SAW dengan Mut’im bin ‘Adi. Ia berlaku selepas
kewafatan Abu Talib dan sekembalinya baginda SAW dari menyebarkan dakwah
Thaif. Rasulullah SAW telah memasuki kota Mekkah dengan perlindungan
seorang musyrik yang bernama Mut’im bin ‘Adi. Rasulullah SAW menghargai
pertolongan Mut’im sehingga baginda pernah bersabda apabila memenangi
perang Badar, “Sekiranya Mut’im bin Adi masih hidup lalu memintaku
membebaskan tawanan ini, aku akan lakukan untuknya..”
Hujah : Mut’im di dalam peristiwa ini sekalipun
tidaklah memberikan kebebasan dan pertolongan kepada dakwah Islam tetapi
melakukan sesuatu yang lebih besar dari itu iaitu menjaga tubuh badan
Nabi Muhammad SAW. Mut’im tidak pernah berniat untuk menjadi pengikut
Rasulullah SAW dan pendirian ini jelas ketika ia menjawab soalan dari
Abu Jahal . Ini menunjukkan keharusan mendapatkan kerjasama dari orang
yang tidak berniat melaksanakan Islam di dalam urusan yang memberikan
kebaikan kepada Islam dan umatnya.
4. Perjanjian yang dibuat oleh Rasulullah SAW dengan kaum Yahudi ketika
ditegakkan negara Islam Madinah. Perjanjian yang melahirkan Sahifah
Madinah ini merupakan satu-satunya peristiwa besar dan terpenting yang
menjadi hujjah keharusan kaum muslimin menjalinkan perjanjian dengan
orang-orang bukan Islam di atas dasar memelihara kebajikan kedua-dua
pihak.
Di antara isi kandungan perjanjian ini ialah, “Kaum muslimin mempunyai
haknya dan kaum Yahudi mempunyai haknya. Dan di antara mereka hendaklah
tolong menolong sekiranya diserang oleh sesiapa. Dan di antara mereka
hendaklah saling menasihati dan bekerjasama. Dan janganlah sesiapa
memungkiri janjinya. Dan hendaklah pertolongan diberikan kepada yang
dizalimi. Dan sekiranya berlaku apa-apa kepada pihak yang menjalinkan
perjanjian ini, maka tempat rujukan ialah kepada Allah dan Muhammad
Rasulullah SAW…”
Hujah : Inilah sebesar-sebar hujah keharusan melakukan
hubungan dengan non-muslim di dalam menegakkan negara Islam. Dan
tidaklah menjadi dasar Islam mengenepikan kaum musyrikin daripada
realiti kehidupan.
5. Perjanjian Rasulullah SAW dengan Bani Khaza’ah. Ia berlaku apabila
baginda bersama para sahabat ingin memasuki kota Makkah untuk
mengerjakan haji namun disekat oleh kaum Quraisy. Lalu Rasulullah SAW
mengutuskan pengintip dari bani Khaza’ah yang merupakan seorang musyrik
dan mereka melaporkan kepada Rasulullah SAW mengenai pergerakan kaum
Quraisy. Bani Khaza’ah sebenarnya telah mempunyai hubungan dengan Bani
Hasyim semenjak zaman jahiliyyah dan mereka meneruskan hubungan baik
mereka dengan Bani Hasyim sekalipun berbeza akidah. Rasulullah SAW
mengiktiraf hubungan ini dengan memberikan syarat iaitu pertolongan
tidak akan diberikan kepada golongan yang zalim.
6. Perintah Rasulullah SAW kepada para sahabat agar berhijrah ke Habsyah
semasa ditindas di Makkah untuk mendapatkan perlindungan dari Raja
Najasyi yang merupakan seorang Nasrani pada masa itu turut merupakan
dalil kepada keharusan untuk mendapatkan perlindungan dari orang yang
bukan Islam di dalam menjaga kemaslahan umat Islam.
Jawapan Terhadap Golongan Yang Mengharamkan Tahaluf Siyasi
Di dalam memberikan jawapan kepada golongan ulama haraki yang
mengharamkan tahaluf siyasi, beberapa pandangan telah dikemukakan.
Antara lain :
1. Ayat yang digunakan iaitu dari surah al-Maidah, ayat 51-52 bukanlah
merujuk kepada tahaluf siyasi tetapi merujuk kepada orang-orang munafik
yang terus meletakkan kepatuhan kepada orang-orang Yahudi di Madinah.
Ianya turun kepada ketua munafik iaitu Abdullah bin Ubai yang bertindak
untuk menyokong kabilahnya Yahudi Bani Qainuqa’ di dalam berhadapan
dengan Nabi Muhammad SAW. Ini menunjukkan bahawa ayat ini tiada kena
mengena dengan tahaluf siyasi tetapi berkenaan dengan orang yang keluar
langsung dari Harakah Islam untuk bekerjasama dengan musuh bagi melawan
Islam.
2. Ayat 219 dari surah al-Baqarah pula bukan sahaja tidak menjadi hujah
mengharamkan tahaluf siyasi bahkan menjadi peneguh kepadea keharusannya.
Ini kerana daripada tahaluf siyasi yang dilaksanakan di beberapa buah
negara seperti Mesir, Sudan dan Yaman, manfaat yang besar banyak
diperolehi oleh kaum muslimin. Oleh yang demikian, di dalam masalah
manfaat dan mudharat ini, pertimbangan berdasarkan senario semasa perlu
diambil kira. Tahaluf Siyasi sebelum diputuskan hendaklah
dipertimbangkan semasak-masaknya oleh pakar politik dan ahli-ahli
strategi.
KESIMPULAN
Di dalam mendepani arus politik dunia pada hari ini, gerakan Islam
perlulah bijak mengambil manfaat daripada ruang dan peluang yang ada.
Tahaluf siyasi perlulah dilakukan dalam keadaan gerakan Islam mendapat
keuntungan yang maksimum dalam usaha untuk menegakkan agama Allah SWT.
Bagaimanapun, perlulah diingatkan agar penerangan demi penerangan
hendaklah dilakukan dari masa ke semasa khususnya kepada masyarakat awam
agar tidak terkeliru dengan langkah yang diambil.
Penyertaan gerakan Islam dalam mana-mana kerajaan seharusnya dilakukan
dengen penelitian yang teliti terhadap senario politik setempat. Oleh
yang demikian, pimpinan gerakan Islam perlulah sentiasa prihatin dan
sensitif dengan perkembangan semasa serta kehendak masyarakat agar
langkah yang diambil tidak menyebabkan kerugian di mereka nanti.
1 ulasan:
Satu penjelasan yg akan merungkaikan ' ketidak fahaman ' sesetengah umat Islam.
Catat Ulasan