Sedari kuasa kita!

Sedari kuasa kita!

Pengikut

20 Oktober, 2013

Jom Baca. Perjuangan menentang British yang disorok UMNO!



PERJUANGAN BERPERLEMBAGAAN GOLONGAN KIRI MENENTANG PENJAJAHAN KOLONIAL BRITISH

Pada 20 Oktober 1947, seluruh Malaya dan Singapura telah menyaksikan tindakan politik pertama yang melibatkan penyatuan rakyat pelbagai kaum

‘Hartal’, satu mogok ekonomi menyeluruh yang digunakan secara berkesan dalam perjuangan kemerdekaan di India, telah digunakan buat pertama kali di Malaya oleh golongan politik kiri dalam PUTERA-AMCJA sebagai senjata melawan penjajahan British di Malaya.

PUTERA-AMCJA

PUTERA-AMCJA merupakan sebuah barisan bersatu dua gabungan politik besar di Malaya; Pusat Tenaga Ra’ayat (PUTERA) dan All-Malaya Council of Joint Action (AMCJA).

AMCJA ialah sebuah persekutuan parti-parti politik, kesatuan-kesatuan buruh, pesatuan-persatuan wanita dan organisasi-organisasi pemuda yang ditubuhkan pada 22 Disember 1946.

AMCJA dianggotai oleh Malayan Democratic Union (MDU), Malayan Indian Congress (MIC), Pan-Malayan Federation of Trade Unions (PMFTU), 12 State Women’s Federation in Malaya, Malayan New Democratic Youth League (MNDYL), The Malayan People’s Anti-Japanese Ex-Service Comrades’ Association, serta badan-badan lain.

Walaupun didominasi oleh badan-badan politik kiri, AMCJA telah dipengerusikan oleh seorang kapitalis Peranakan Melaka yang terkenal, Tan Cheng Lock.

AMCJA bergerak atas 6 dasar:

- Malaya bersatu, termasuk Singapura
-Satu dewan perundangan pusat bagi seluruh Malaya yang dilantik sepenuhnya oleh rakyat melalui pilihanraya
-Hak-hak politik yang sama bagi semua yang menganggap Malaya sebagai tanahairnya dan sebagai tumpuan taat setianya
-Sultan-sultan Melayu haruslah mengambil tempatnya sebagai Raja-raja perlembagaan yang berdaulat penuh dan menerima nasihat-nasihat rakyat melalui institusi-institusi yang demokratik, bukan ‘penasihat-penasihat’ Inggeris
-Hal-elwal agama Islam dan adat istiadat Melayu haruslah diletak di bawah penguasaan orang-orang Melayu
- Perhatian khas haruslah diberikan kepada kemajuan orang-orang Melayu 

PUTERA pula merupakan sebuah gabungan badan-badan politik kiri Melayu yang ditubuhkan pada 22 Februari 1947, dianggotai oleh Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS), Barisan Tani Se-Malaya (BATAS), Gerakan Angkatan Muda (GERAM), Lembaga Persatuan Melayu Johor, serta lain-lain persatuan-persatuan yang kecil.

PUTERA dipengerusikan oleh Ishak Haji Muhammad, seorang wartawan dan tokoh nasionalis yang merupakan salah seorang pengasas Kesatuan Melayu Muda (KMM) pada 1938. Terdapat 14 dasar yang menjadi matlamat PUTERA:

- Malaya Bersekutu termasuk Singapura dan lain-lain pulau sekelilingnya
- Kerakyatan Malaya haruslah dinamakan ‘Melayu’ (dengan pengertian yang luas dan progresif)
- Bahasa Melayu haruslah dijadikan bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi bagi Malaya
- Bendera Kebangsaan dan lagu Kebangsaan untuk Malaya ditetapkan bagi mendapat Malaya Bersekutu dan Malaya Merdeka
- Kerajaan Pusat Malaya dan Kerajaan negeri yang sepenuh-penuhnya dilantik oleh rakyat jelata
-Raja-raja Melayu sebenarnya Raja yang berdaulat yang bertanggungjawab kepada rakyat menerusi Majlis Mesyuarat yang dilantik rakyat
-Perlembagaan baru mestilah mempunyai syarat-syarat yang khas untuk kemajuan politik, ekonomi, pelajaran bangsa Melayu
-Ugama Islam dan adat istiadat Melayu sepenuhnya dikuasai oleh rakyat jelata bangsa Melayu menerusi Majlis Mesyuarat yang istimewa
-Hak-hak kerakyatan yang sama rata bagi orang-orang yang mahu tinggal tetap di Tanah Melayu ini dan mengaku dengan sumpah taat setia kepada Malaya
-Pertahanan dan hal-ehwal luar negeri haruslah menjadi tanggungjawab bersama Kerajaan Malaya dan Kerajaan British buat sementara
-Menolak bulat-bulat cadangan Perlembagaan Federation
-Menuntut Jawatankuasa Perundingan dimansuhkan
-Menuntut Kerajaan mengadakan perundingan baru dengan badan politik berhubung dengan Perlembagaan Federation
-Mendesak Sultan-sultan dan Pekembar jangan menerima cadangan Perlembagaan Federation 

PUTERA-AMCJA telah berjaya menggabungkan semua badan-badan politik yang terdapat di Malaya kecuali United Malays National Organisation (UMNO) dan Communist Party of Malaya (CPM), dalam satu barisan popular rakyat untuk membantah Perlembagaan Federation yang digubal oleh Kerajaan Kolonial British bagi menggantikan Malayan Union.

Mereka membantah Perlembagaan Federation yang dianggap sebagai tidak demokratik kerana Perlembagaan tersebut telah dirangka melalui rundingan sulit antara Kerajaan Kolonial dengan golongan bangsawan Melayu dan mengetepikan pendapat dan kehendak rakyat jelata Malaya yang mahukan demokrasi dan hak berkerajaan sendiri.

Mereka mengecam tindakan Kerajaan Kolonial yang hanya berunding dengan satu pihak itu sebagai taktik ‘pecah dan perintah’ untuk memecah-belahkan perpaduan rakyat.

PUTERA-AMCJA telah mengemukakan bantahannya melalui rapat-rapat umum di seluruh Malaya. Dalam setiap perhimpunan yang dihadiri ribuan rakyat pelbagai kaum, pemimpin-pemimpin PUTERA-AMCJA seperti Tan Cheng Lock, Ishak Haji Muhammad, John Thivy, Philip Hoalim Sr., Dr. Burhanuddin Helmy, Gerald de Cruz, Ahmad Boestamam, K. Ganapathy dan Shamsiah Fakeh telah menyampaikan pidato-pidato yang menerangkan kepentingan untuk rakyat segala bangsa bersatu menentang Perlembagaan Federation dan menyokong perjuangan PUTERA-AMCJA.

PUTERA-AMCJA turut menganjurkan mesyuarat-mesyuarat massa di seluruh Malaya untuk meluluskan resolusi-resolusi membantah Perlembagaan Federation. Beratus-ratus telegram dan surat-surat bantahan telah dihantar kepada Kerajaan Kolonial British. Tetapi segala bantahan ini langsung tidak dipedulikan oleh British.

PERLEMBAGAAN RAKYAT

PUTERA-AMCJA menyedari bahawa satu program yang lebih tegas dan progresif perlu dicipta untuk memenangi sokongan massa rakyat yang lebih luas. Mulai bulan Mei 1947, PUTERA-AMCJA mula merangka sebuah perlembagaan alternatif bagi menyaingi Perlembagaan Federation. Pada 10 Ogos 1947, Perlembagaan Rakyat telah siap disusun dengan mengambil kira pendapat dan aspirasi pelbagai kelompok dalam perikatan PUTERA-AMCJA.

Tiada ulasan: