Sedari kuasa kita!

Sedari kuasa kita!

Pengikut

31 Oktober, 2013

KENAPA PEMIMPIN YANG BANYAK BERJASA KEPADA JEMAAH HENDAK DICANTAS?



oleh: PTM




Baru-baru ini satu sms yang mengandungi nama-nama pimpinan pusat yang dikatakan hendak dicantas dalam muktamar telah disebarkan. Antaranya ialah: Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa Beliau tidak perlu bergantung kepada populariti ayahnya, Almarhum Tuan Guru Hj. Yusuf Rawa sebagai Yang Dipertua Pas.

Beliau bermula dari bawah, membina nama sedikit demi sedikit dan diamanahkan ke jawatan tertentu dalam Pas berdasarkan merit peribadinya. Istimewanya Dr. Mujahid ialah beliau salah seorang pemimpin Pas yang fasih dalam Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris. Beliau seringkali menerima jemputan mewakili Pas untuk berforum dalam Bahasa Inggeris dengan pelbagai kelompok masyarakat.Beliau menerima pendidikan Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab dan Sastera di Universiti Al-Azhar, Mesir.

Menyedari betapa pentingnya aspek pengurusan sumber manusia dalam organisasi seperti Pas, beliau melanjutkan pengajian ke Ijazah Sarjana Master dalam bidang Pengurusan Sumber Manusia di UPM dan Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Siasah Syari’ah di UM. Beliau mula berkhidmat di peringkat akar umbi dalam Pas di Melaka, sehingga melayakkan beliau untuk diangkat sebagai AJK Harian Pemuda Pas Pusat (2001-2005). Beliau kemudian kembali ke negeri asal Pulau Pinang, diamanahkan sebagai Yang Dipertua Pas Kawasan Bayan Baru dan Timbalan Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang. Sejak tahun 2005, beliau mendapat perhatian Pas di seluruh Negara apabila diangkat menjadi AJK Pas Pusat dan mendapat kepercayaan itu selama 4 penggal sehingga hari ini. Kelebihan beliau dalam jaringan pelbagai kaum dan agama serta kecekapan beliau dalam komunikasi dan perhubungan menyebabkan Tuan Guru Presiden mengamanahkan beliau sebagai Pengerusi Lujnah Perpaduan Nasional Pas Pusat. Terkini, beliau diamanahkan sebagai Yang Dipertua Pas Kawasan Tasek Gelugor. Beliau bertanding kali pertama di Jasin, Melaka pada tahun 1999 dan Tasek Gelugor pada tahun 2004.Pada PRU 2008, barulah beliau memenangi kerusi parlimen Parit Buntar mengulangi kejayaannya dalam PRU 2013.

Di peringkat parlimen, beliau mendapat kepercayaan dewan apabila dilantik mewakili Malaysia sebagai wakil parlimen ke USA, Nigeria, Republik Uzbekistan dan Kyrgystan dan juga sebagai Ahli Jawatankuasa AIPA Caucas Malaysia. Beliau pernah menyertai misi bantuan kemanusiaan ke Gaza, Lebanon dan Afghanistan. Dr. Mujahid terkenal sebagai pemimpin yang kuat hujahnya dalam perbahasan. Beliau tidak kekok untuk berbicara tentang aliran-aliran pemikiran, falsafah dan sejarah gerakan Islam. Tidak hairan beliau berani masuk ke gereja mewakili Pas untuk berdialog dengan orang Kristian. Pengalaman luas dalam Dialog Antara Agama ini telah mendorong beliau dilantik sebagai Pengerusi South East Forum for Interfaith Networking for Peace (Dialog Antara Agama Untuk Keamanan Asia Tenggara). Jasanya kepada Jemaah tidak boleh disangkal lagi. Pas menempa nama di persada dunia apabila menjadi gerakan Islam pertama melancarkan sayap baru Dewan Himpunan Penyokong Pas.

Dr. Mujahid merupakan tulang belakang utama kejayaan ini. Beliau melunasi amanahnya sebagai Pengerusi Lujnah Perpaduan Nasional Pas Pusat, berperanan besar menjalinkan hubungan antara kaum dan agama. Dr. Mujahid merupakan antara pemimpin Pas yang aktif menulis, mencatat pengalaman Pas dalam menghasilkan ijtihad-ijtihad politik baru dan ia bakal menjadi panduan bagi gerakan Islam seluruh dunia bagaimana pengalaman Pas mengurus kepelbagaian segmen masyarakat di Malaysia. Beliau telah menulis lebih 10 buah buku antaranya ialah Dakwah dan Tarbiah, Masjid dan Peranannya, Khilaf Satu Fenomena, Global View of Islam,Moral Ethical Studie,Permata dari Pulau Mutiara, Dictionary of Arabic Phrase-Bahasa Malaysia, Wajah Baru Politik Malaysia, Kita Kan Orang Malaysia,Menuju PAS Baru, Rejuvenasi PAS, Aren’t We All Malaysian, dan buku terbaru beliau, Malaysia Pasca Rasisme dan Berdialog dengan Gereja.

Apabila beliau menulis buku Menuju Pas Baru dan Rejuvinasi Pas, ramai yang mengutuk dan menganggap beliau mahu memusnahkan Pas.Malah tanpa memanggil beliau untuk memberi penerangan terperinci berkenaan buku itu, sekumpulan Ulama di Kedah telah mengharamkan buku itu. Walhal buku itu adalah sebahagian daripada olahan tesis Doktor Falsafah beliau yang mengkaji tentang sejarah dan projeksi masa depan Pas. Ia sebuah buku konsep pengurusan organisasi dan pengurusan risiko. Seperti yang dijangka, kelahiran dua buku inilah yang menjadi punca dia dibenci oleh sesetengah kelompok muda dalam Pas meskipun mereka tidak pernah membaca buku itu dan membincangkan secara objektif idea-idea dan hujah-hujah yang dikemukakan dalam buku itu.

Demikianlah nasib pemimpin yang mempunyai idea dan berfikiran di luar kotak tipikal pemikiran ahli-ahli biasa. Mampukah Pas mencetak lebih ramai ahli dan pemimpin multi-talented seperti Dr. Mujahid ini? Di peringkat pimpinan pusat mengamanahkan tokoh ini di posisi penting gerak kerja jemaah, di peringkat pengikut bawahan pula menyebarkan dakyah bahawa nama ini wajib dicantas.Ketika Tuan Guru Presiden mengiktiraf sumbangan Dr. Mujahid dalam membantu meletakkan Pas sebagai parti yang berupaya menanggapi isu-isu Negara dan hubungan kaum, ada sebilangan kecil yang menghina dan ingin menjatuhkan beliau. Ternyata, suara yang mahu menjatuhkan pemimpin ini hanya suara MINORITI terutama pemuda-pemuda yang ‘baru nak up’ dalam parti tetapi bijak mengekspoitasi Facebook.

 Buktinya dalam Muktamar Pas Pusat Ke-57, beliau mendapat undi ketujuh tertinggi daripada perwakilan muktamar (651 undi) sebagai Ahli Jawatankuasa Pas Pusat sesi 2011-2013. Berhentilah daripada buat kerja bodoh untuk mencantas pemimpin tertentu hanya kerana berbeza satu dua pendapat. Telah terbukti pengorbanan masa, tenaga dan wang ringgit yang mereka curahkan kepada jemaah sejak dari muda lagi. P/s: PTM akan berkongsi latar belakang dan pengalaman dalam jemaah beberapa pimpinan yang mahu dicantas oleh orang tertentu dalam Pas. 

Tiada ulasan: