Sedari kuasa kita!

Sedari kuasa kita!

Pengikut

10 Oktober, 2013

Mesyuarat PAS Putrajaya tidak sah, kata peguam




Mesyuarat agung PAS kawasan Putrajaya kemungkinan tidak sah dan perlu diadakan semula bagi mengelakkan PAS menghadapi masalah dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS), kata peguam PAS, Zulhazmi Shariff (gambar).
Zulhazmi yang banyak mewakili PAS dalam kes saman AES, berkata RoS mungkin akan mengganggu PAS seperti yang mereka lakukan kepada pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP dan keadaan itu tidak boleh dielakkan.
Beliau berkata demikian ketika mengulas krisis yang berlaku dalam PAS Putrajaya sebagaimana yang didedahkan oleh bekas Yang Dipertuanya, Nazir Zakaria.
Nazir dalam sidang medianya pada 8 Oktober, berkata pada 3 April lalu, beliau “direhatkan” daripada jawatannya melalui satu surat yang dikeluarkan oleh Pemangku Timbalan Yang Dipertua PAS Putrajaya, Kamaruzaman Mohamad dan dua lagi pemimpin PAS kawasan.
Katanya, menjelang mesyuarat agung PAS kawasan iaitu pada 12 September, Nazir menerima satu lagi surat dari orang yang sama memaklumkan 'Penamatan tempoh berehat Yang Dipertua PAS kawasan Putrajaya' dan pada hari sama, notis mesyuarat agung Putrajaya dikeluarkan tanpa pengetahuannya.
Sehubungan itu, katanya, dalam mesyuarat agung PAS kawasan Putrajaya 22 September lalu (10 hari selepas notis diberikan),  Kamaruzaman yang juga Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, dipilih sebagai Yang Dipertua PAS Putrajaya baru menggantikan Nazir..
Zulhazmi berkata, tindakan ke atas Nazir tidak sah dan penghantaran notis mesyuarat itu juga melanggar syarat dalam Perlembagaan PAS.
"Jika Mesyuarat Agung Tahunan Pas Putrajaya tidak sah, maka perwakilan yang dihantar oleh PAS Putrajaya adalah perwakilan yang tidak sah.
"Jika perwakilan PAS Putrajaya memilih di dalam Muktamar Agung PAS November nanti, pemilihan tersebut akan menjadi tidak sah kerana perwakilan yang memilih itu tidak layak memilih.
"Apabila pemilihan Pusat tidak sah, maka PAS Pusat yang baru dipilih secara keseluruhannya tidak sah dan PAS boleh dibatalkan pendaftarannya dan diharamkan seperti mana Umno diharamkan dulu," katanya menerusi akaun Facebooknya yang kini tersebar luas dalam laman sosial itu.
Ekoran pendapat yang diberikan itu, Zulhazmi diserang pihak yang berkaitan.
Beliau kemudian berkata: "Kalau ada pendapat atau pandangan lain, silalah kemukakan. Kita berhujah atas fakta dan undang-undang, bukan emosi peribadi."
The Malaysian Insider difahamkan, Pejabat Agung PAS sedang meneliti kes ini sebelum sebarang tindakan diambil. – 10 Oktober, 2013.

Tiada ulasan: