Sedari kuasa kita!

Sedari kuasa kita!

Pengikut

31 Ogos, 2013

Hj Hadi seorang yang gagal.



Oleh:  Mohd Sayuti Omar

Bagi hamba sukar untuk Pas mendapat gandingan presiden seperti Fadzil Noor dan Mursyidul Am seperti Nik Aziz. Mereka adalah seperti bulan dengan mentari yang saling cerah mencerahi antara satu sama lain bagi menerang cekrawala bangsa. Pasangan yang cukup ideal.

Pemergian ke Rahmatullah Fadzil Noor pada 23 Jun 2002 bukan saja satu kehilangan kepada Pas tetapi satu petaka memeranjatkan. Sampai kini segala jasa, bakti, perubahan dan politik Fadzil masih dikenang dan disebut-sebut. Setiap kali timbul kerumitan dan suasana kritikal di dalam Pas, Fadzil akan dikenang dan namanya akan disebut, formula politiknya akan dirujuk.

Walaupun penggantinya Abdul Hadi Awang yang sudah lama diasah bakatnya dalam Pas, bahkan pernah diramalkan bakal menjadi pemimpin Malaysia, tetapi tahap pencapaian Abdul Hadi dalam melakukan pembaharuan (tajdid) di dalam Pas khususnya pendekatan tidak berapa memberangsangkan.

Satu perbezaan ketara Abdul Hadi tidak setegas Fadzil Noor beliau gagal mengamankan atau mengheningkan gelora dalam Pas yang timbul berkadang kala. Ahli-ahli Pas juga menjadi berani (tidak wala’) untuk akur kepada mesej dan arahannya. Dan akhir-akhirnya penglibatan menantunya yang dikatakan mencampuri keputusannya selaku presiden memburukkan lagi keadaan dan reputasi Abdul Hadi muasir ini.

Mengenang kelemahan Abdul Hadi, perkara paling besar ialah gagasan kerajaan perpaduan (Unity Government) – kerajaan tanpa pembangkang yang dilontarnya ditafsir dengan berbagai persepsi yang menjuruskan kepada kelemahan dan kegoyahan prinsip politiknya. Anihnya, dan di sinilah kelemahan ketaranya apabila beliau tidak menggunakan preoragati sebagai presiden mempertahankan ideanya yang bernas itu. Sikap ini pula dilihat sebagai keterbukaan dan sifat lembut Abdul Hadi. Hasil sikap itu menyebabkan apa-apa pandangan, teguran beliau tidak diendahkan.

Sudah 11 tahun Abdul Hadi menjadi presiden Pas. Hanya dua tahun sahaja lagi beliau akan menyamai rekod dipegang Burhanuddin Hilmi, Asri dan Fadzil Noor yang menjadi presiden selama 13 tahun. Apakah Abdul Hadi akan berhenti atau disingkirkan setelah genap 13 tahun? Kalau itulah perkiraan bermakna Abdul Hadi akan terus memimpin Pas sekurang-kurangnya untuk dua tahun lagi. Menjelang muktamar dua tahun lagi Pas boleh mempersiapkan calon pengganti Abdul Hadi.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Ilmu agama sahaja tanpa ketegasan dan wawasan kepimpinan tidak cukup untuk menjadi seorang pemimpin disegani. Bagi saya yang lemah ini, cukup la tu dan carilah jalan keluar untuk memberi orang lain pula.