Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Luar Bandar, Usahawan, Koperasi dan Kepenggunaan negeri Roslee Daud berkata perjuangan serta pengorbanan pemimpin dahulu tidak dapat dinafikan sehingga Malaysia kini muncul sebagai negara yang maju dan makmur.

"Sempena bulan kemerdekaan negara selama sebulan bermula 16 Ogos, rakyat harus mengisi kemerdekaan negara dengan menanam sikap bekerjasama di semua peringkat bagi membangunkan negara ini dengan lebih maju.

"Saya berharap apabila tiba bulan kemerdekaan negara, kita harus menghayati erti kemerdekaan dengan mengibar Jalur Gemilang di setiap rumah, pejabat, premis perniagaan atau di mana sahaja agar kemerdekaan itu lebih memberi erti," katanya ketika berucap pada majlis sambutan Bulan Kemerdekaan dan penyerahan Jalur Gemilang Wilayah Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) di Dungun.

Turut hadir Pengurus Besar Ketengah Wan Mat Amin Wan Daud.

Roslee berkata walaupun Malaysia mempunyai penduduk yang berbilang bangsa dengan pelbagai anutan agama, namun itu tidak menjadi masalah jika rakyat mampu bersatu untuk sama-sama membangunkan negara.

Pada majlis itu, sebanyak 5,800 Jalur Gemilang diagih kepada semua agensi di bawah Ketengah, tanah rancangan Felda, syarikat korporat serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) wilayah berkenaan untuk dikibar sepanjang bulan kemerdekaan ini.

Ketengah merupakan agensi pertama di Terengganu mengadakan sambutan Bulan Kemerdekaan.

Seramai 26 pelajar sekolah rendah dan menengah yang lahir pada 31 Ogos turut menerima hadiah serta sijil penghargaan.

Pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan Air Puteh di Kemaman, Ikhwan Nawawi Ismail, 17, gembira kerana tarikh lahirnya bersamaan dengan hari kemerdekaan negara.

"Saya begitu seronok menyambut hari ulang tahun kelahiran kerana tarikhnya sama dengan hari kemerdekaan negara. 

"Sambutan hari merdeka di seluruh negara seolah-olah menyambut hari kelahiran saya," katanya.

- Bernama