Sedari kuasa kita!

Sedari kuasa kita!

Pengikut

12 Ogos, 2013

Suarahati penyokong luar parti PAS Kelantan!


Pengundi luar parti lari dari terus menyokong kerajaan PAS di Terengganu dan kemudiannya di Kedah. Apakah Kelantan sedang menempah jalan yang sama?



Kelantan yang gagal?

Oleh : AdukaTaruna

Aktivis Kelantan (AK03) menyokong setengah isi dari kenyataan Dr Agus dan setengah dari penjelasan Ustaz Fadhli berkenaan prestasi kerajaan Kelantan. Cumanya, Aktivis Kelantan lebih menitik beratkan pokok berbanding bunga. Sistem berbanding paparan.

[1]
Sistem pembentukan kerajaan Kelantan selepas PRU13 sangat mengaibkan. Kita lihat gambar sejarah yang terakam berbanding negeri lain. Lihat angkat sumpah Menteri Besar di Johor, Selangor dan negeri lain. Teratur, tidak gopoh atau kelam kabut. Penuh istiadat. Lihat negeri Kelantan. MB angkat sumpah hanya di depan sofa dan meja kopi. Kemudian, selepas itu barulah istiadat.



Sistem yang lebih malang lagi ialah, pembentukan kerajaan Kelantan tidak berpaksi kepada Parti Islam SeMalaysia, apatah lagi hasil keputusan demokrasi 1.5 juta pengundi Kelantan. Tetapi pembentukan itu berpaksikan kepada pendapat istana yang terdiri dari kurang 20 orang dan hanya dari sebuah keluarga.

Maka, jika inilah sistem awal yang terbentuk, maka, sepanjang penggal pemerintahan, bagaimanakah keputusan-keputusan penting kerajaan dibuat dan diputuskan? Adakah ianya akan melalui keputusan PAS atau keputusan majoriti dari 1.5 juta rakyat atau keputusan sebuah keluarga yang berantakan?

[2]
Mengenai ekonomi pula, alasan kepungan dari kerajaan BN memang benar. Untuk sebuah parti atau NGO yang menjelaskan kepada orang ramai, memang wajar. Tetapi tidak wajar diguna pakai sebagai alasan oleh sebuah kerajaan berusia 23 tahun. Ini bermakna, selama 23 tahun, kerajaan Kelantan gagal terhadap kepungan ekonomi, kepungan infrastruktur oleh kerajaan BN yang memegang kerajaan pusat. Kata lainnya ialah,

"Ya. Selama 23 tahun, saya gagal terhadap kepungan kerajaan BN. Sebab saya gagal, maka rakyat perlu undi saya sekali lagi."

Oleh sebab itu, bagi meningkatkan pendapatan kerajaan negeri, Aktivis Kelantan mencadangkan beberapa perkara :

2.1 Lebuhraya Rakyat dimulakan dengan menaik taraf jalan utama yang kritikal.

Terdapat pelbagai versi penjelasan mengenai Lebuhraya Rakyat. Antaranya ianya adalah modal politik mengekalkan kerajaan PAS Kelantan dengan perjudian Malaysia dapat ditawan oleh PR pada PRU13. Sekaligus meneruskan pembinaan menggunakan dana persekutuan.

Maklumat yang diperjelaskan kepada awam, kos Lebuhraya Rakyat ialah 1 billion. Manakala kutipan derma hanya RM20 juta. Dan sudah mencapai tahap kutipan yang tepu. Oleh itu, Aktivis Kelantan memberi cadangan supaya dinaik taraf jalan utama yang kritikal terlebih dahulu. Hentikan perbalahan tuding-menuding seketika.

i. Pekan Melor - Bandar Pasir Puteh. Ini adalah jalan kritikal. Pintu masuk negeri melalui Terengganu.



ii. Gua Musang - Kuala Krai. Pintu masuk negeri melalui Pahang. Jalan ini lebih kritikal berbanding Kuala Krai - Kota Bharu. Kerana selepas Kuala Krai, rakyat sudah mempunyai banyak pilihan ajalan alternatif. Dan destinasi yang sudah berpecah.


Dua lorong


Kerap berlaku kemalangan


Berikut adalah prioriti level naik taraf jalan mengikut kemampuan dana terkumpul :

i. Jalan 4 lorong. 2 lorong setiap hala. Penghalang tengah dengan sistem pusingan U bagi mengelakkan kenderaan kampung melintas sesuka hati.

ii. Pembesaran jalan dan bahu jalan. Dengan menambahan lorong memotong di kawasan fizikal sesuai.

iii. Pembesaran jambatan yang berada di sepanjang jalan, dan pembesaran bahu jalan.

2.2 Meningkatkan imej pelancongan.

Sektor pelancongan yang merudum di Kelantan. Peniaga-peniaga di Rantau Panjang, Pengkalan Kubur terutamanya sering mengeluh. Antara sebab terbesar selain jalan pintu masuk dan kos penyelenggaraan ialah; imej dan jenama pelancongan yang teruk. Berikut adalah hasil pemerhatian Aktivis Kelantan.

i. Penjagaan paparan depan yang teruk. 

Paparan depan bermaksud apa yang pelancong pandang secara luaran. Antaranya, rumput di bahu jalan pintu masuk yang tidak dipotong. Bendera-bendera lusuh. Billboard rosak. Bangkai lembu dilanggar yang berhari-hari tidak dialihkan dan sebagainya.

Kritikal pertama ialah sistem meletakkan pusat sampah di tepi jalan utama. Ianya praktikal kepada kemampuan PBT. Tetapi tidak praktikal kepada penjanaan pendapatan melalui pelancongan. Pusat sampah perlu diletakkan di bahagian dalam sedikit dari jalan-jalan utama, terutama jalan pintu masuk negeri dan bandar.

Kritikal kedua ialah warung-gerai tidak sempurna yang didirikan secara kekal di tempat-tempat rasmi negeri (kawasan stadium, kawasan sekolah, kawasan pasar ikon, kawasan pantai dan sebagainya). Dasar dan sifat baik kerajaan negeri memberi peluang peniaga berniaga bebas tanpa peraturan membentuk budaya malas, pengotor dan tidak teratur oleh peniaga-peniaga. Semua ini mencacatkan paparan depan yang akan terpahat di memori pelancong.

Kritikal ketiga ialah perlantikan ahli majlis PBT melalui politik. Kebanyakannya ustaz-ustaz penghafal atau orang-orang kanan pembodek yang tiada kemampuan berfikir. Mereka bagus dari segi ceramah dan penguatkuasaan hukum-hakam termaktub. Tetapi lemah dari segi idea penjanaan ekonomi setempat.

ii. Kutipan cukai yang lemah.

Kelantan adalah bumi peniaga muslim. Jika di negeri UMNO, 9 dari 10 kedai tayar adalah milik bukan muslim, di Kelantan, 9 dari 10 kedai tayar adalah milik muslim. Jika di negeri UMNO, raya Cina membuatkan muslim kebuluran, kereta rosak tak boleh diperbaiki dan sebagainya, tetapi semua itu tidak berlaku di negeri Kelantan.

Bagaimanapun, Kelantan adalah negeri paling cikai dalam kutipan lesen perniagaan. Sistem pembaharuan lesen perniagaan juga merumitkan. PBT seperti MPKB lebih berminat serbu-menyerbu perkara maksiat. Ianya memang bagus. Tetapi, bab penguatkuasaan perlesenan, penyusunan penjaja dan sebagainya, memang lemah.

Jika penjaja di MPKB sahaja berjumlah 5000, dan semuanya dilesenkan dengan semurah RM50 setahun, bermakna pendapatan MPKB yang boleh dimanfaatkan untuk awam ialah suku juta untuk setahun.

iii. Acara besar yang mematikan bandar-bandar lain.

Para penghafal dalam kerajaan Kelantan memang bagus dari segi menganjurkan acara besar. Ianya membuatkan nama Kelantan naik dalam ingatan rakyat Malaysia. Tetapi semuanya Kota Bharu. Dari segi peningkatan jenama bandar untuk dijual sebagai produk ekonomi, ianya tidak bagus.

Jika dibenarkan Jom Heboh, suruh TV3 buat di Pasir Puteh misalnya. Jika ada tilawah Al-Quran dimana Perdana Menteri hadir, usahakan semampu mungkin buat di Bachok misalnya. Jika dianjurkan ceramah Ustaz Azhar Idrus berganding dengan Ustaz Bollywood, tutup sebatang jalan yang sesuai di bandar Kuala Krai dan buat di situ.

[3] Perbanyakkan pertembungan aliran ilmu.

Serambi ilmu lebih sesuai dari serambi Mekah dari segi ekonomi. Tanpa perlu menukar slogan yang sudah lama dimasyurkan, tetapi, inilah konsep berpotensi sebagai produk pelancongan.

Zaman politik smart phone, rakyat yang minat ilmu tidak berminat lagi mendengar ceramah sehala. Mereka lebih tahu sesuatu isu yang muncul berbanding dengan si penceramah itu sendiri. Tetapi majlis perlawanan ilmu, pertembungan idealogi sangat-sangat digemari. Dan ianya berpotensi menjadi produk pelancongan.

Contoh yang pernah berlaku ialah pertembungan ilmu antara MAZA dan Fathul Bari di Balai Islam Lundang. Diseronokkan lagi dengan telatah Ridhuan Tee. Pertembungan ilmu antara Husam dan Nazri di KTC dan sebagainya. Sekiranya majlis seperti ini disusun dengan kerap, Aktivis Kelantan yakin, ianya akan menjadi satu produk pelancongan tempatan, pelancongan peminat ilmu seluruh negara, penjaja tempatan berlesen yang dihidupkan dan pelbagai lagi sisir ekonomi yang muncul.

[4] Penutup

Akhir kata, Aktivis Kelantan menegaskan pendirian dunia aktivis adalah tidak taksub kepada jenama, individu atau kumpulan. Tetapi menyokong mengikut tajuk menurut kefahaman masing-masing. Semoga pandangan dan cadangan dari pelbagai pihak dipertimbangkan oleh kerajaan Kelantan kini. Wallahualam

Aktivis Kelantan (AK03)

Tiada ulasan: