Sedari kuasa kita!

Sedari kuasa kita!

Pengikut

25 Ogos, 2013

Kelantan. Biar Ahmad Yakub bercakap. Nik Amar sila tutup mulut!


Kalau dibiar TMB Nik Amar terus bercakap, reputasi PAS di mata pengundi akan merudum jatuh. Bila baca stetmen Ahmad Yakub, barulah reda kerungsingan di hati.

Baca




Ahmad Yakub masih belum berfikir sama ada mahu bertanding dalam Muktamar PAS tahun ini. - Gambar-gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 25 Ogos, 2013.Ahmad Yakub masih belum berfikir sama ada mahu bertanding dalam Muktamar PAS tahun ini. - Gambar-gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 25 Ogos, 2013.Datuk Ahmad Yakub adalah Menteri Besar Kelantan. Pada 20 Ogos lepas, beliau baru melepasi 100 hari pertama sebagai pemimpin utama negeri Che Siti Wan Kembang itu.
Pelbagai persepsi diberikan terhadap beliau berikutan kedudukan yang sangat tinggi telah dibuat oleh orang yang beliau gantikan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Wartawan The Malaysian Insider, Zulkifli Sulong dan Elizabeth Zachariah telah menemubual beliau di JKR 10, rumah rasmi Menteri Besar (MB) Kelantan pada awal minggu iniuntuk mendengar sendiri dari mengenai apa yang berlaku di Kelantan selepas beliau memimpin.
1) Macam mana ustaz boleh mula terlibat dalam politik?

Ahmad Yakub:  Saya sebenarnya anak seorang ahli politik, iaitu ulama tapi berkecimpungan politik peringkat guru pondok. Saya  belajar di sekolah agama aliran Arab dan guru-guru saya di zaman Datuk Asri (Muda) banyak terlibat dalam politik. Antara guru saya adalah Ustaz Yahaya Osman. Saya berhasrat untuk membantu jemaah Islam bila balik ke Kelantan di mana  ketika itu YAB Tok Guru (Nik Abdul Aziz) dilantik menjadi Menteri Besar di Kelantan. Saya mula terlibat dalam PAS kawasan Tumpat sebagai bendahari. Itulah asalnya penglibatan saya dalam politik dari bendahari kawasan hingga ke hari ini.
2) Macamana boleh jadi Timbalan Menteri Besar dan seterusnya Menteri Besar?
Ahmad Yakub: Yang itu panjang ceritanya. Asasnya saya ini guru, tidak memikirkan banyak tentang menjadi ahli politik. Menjadi menteri besar pun tak pernah saya terfikir. Yang ada dalam kepala saya adalah untuk membantu perjuangan Islam. Saya dipilih sebagai MB dalam satu mesyuarat harian (Dewan Harian PAS Kelantan) pada 6 Mei sehari selepas pilihan raya ke 13 lalu.  YAB Tok Guru telah mendapat persetujuan daripada Presiden PAS terlebih dahulu rupa-rupanya. Nama saya disebut sebagai mengambil alih tempat beliau sebagai Menteri Besar. Nama saya satu orang sahaja disebut. Pada mulanya saya menolak balik supaya dapat ditentukan mana-mana sahabat lain yang layak kerana saya agak jauh dari segi kedudukan dengan Tok Guru..dari segi ilmunya, dari segi keupayaannya. Walau bagaimanapun, sebab oleh kerana ia keputusan syura, yang tidak diminta oleh saya sebagai ahli. Saya teringat satu hadis yang bermaksud, "Engkau jangan minta jawatan jadi pemimpin. Kalau kau minta jawatan pemimpin, orang akan tidak tolong. Tapi kalau kau dilantik menjadi pemimpin dengan tidak meminta, kau akan dibantu." Jadi atas dasar itu, saya harus terima.
3) Sekarang dah lebih 100 hari ustaz menjadi Menteri Besar. Jadi macam mana pengalaman setakat ini?
Ahmad Yakub: Pengalaman 100 hari jadi menteri besar ini amat-amat hebat, sebab kita dulu sebagai timbalan sahaja. Timbalan ini menerima apa-apa keputusan yang dibuat oleh ketua kita atau oleh menteri besar. Sekarang saya terpaksa menimbang sendiri. Saya menggunakan pendekatan kolektif ataupun melalui mesyuarat. Pada peringkat awalnya, saya masukkan semua program yang ditawarkan kepada rakyat, kita bincang dalam mesyuarat exco dahulu. Lebuhraya rakyat,  stadium dan kebajikan antara fokus kita. Ini adalah program yang telah diterima oleh kerajaan dan telah diputus oleh exco. Kita terus..apa cara sekalipun kita mesti terus. Cuma pada peringkat awal, ada isu-isu dan ia tertangguh jadi kita bincang..itu saja. Dari segi hasrat, ini harapan rakyat dan semua rakyat Kelantan terutamanya, anak Kelantan yang berada di perantauan sangat mengharap.  Apabila ramai orang beritahu bahawa jalan jam dari Kota Bharu ke Kuala Krai, saya pun terus bertolak ke sana untuk mencubanya. Ia mengambil masa empat jam dari Kota Bharu ke Kuala Krai. Ini membuatkan saya sedih dan ini merupakan satu cabaran yang besar untuk menyempurnakan kebajikan kepada rakyat dan supaya rakyat tidak tentekan dan menghadapi masalah. Saya akan bincang sekali lagi supaya lebuhraya ini benar-benar dapat dipercepatkan. Sama ada kita sendiri yang buat sebagaimana yang disaran dengan duit rakyat dimana kita telah kutip derma melebihi RM2 juta hingga kini atau kemungkinan kita gunakan cara lain. Sebab ini sebenarnya kewajipan kerajaan pusat.
4) Pencapaian projek ini setakat mana?
Ahmad Yakub: Pencapaian, kita telah panggil satu syarikat untuk kaji  masalah itu selepas syarikat asalnya menarik diri. Apa punca itu, kita tidak maklum lah. Kita sedang menunggu kajian yang lebih teliti secara pakej termasuk stadium dan juga jalanraya serta  pembangunan untuk segi tiga antara Kota Bharu, Pengkalan Kubor dan terus ke Machang.
5) Ustaz juga mencadangkan penubuhan 'Institut Pemikiran Tok Guru atau IPTG. Apa perkembangan projek ini?
Ahmad Yakub: Kita telah mulakan projek ini apabila mula ditubuhkan pada 1 Ogos lalu dengan asas-asasnya. Kini kita telah melantik pengarahnya untuk mengumpul rangka-rangka pejabatnya. Kita telah gunakan tabung dari Pejabat MB sebelum mendapat bajet penuhnya hujung tahun ini.  Kita akan gabungkannya dengan bajet Tabung Tok Kenali.
6) Tujuannya apa ustaz?
Ahmad Yakub: Rakyat Kelantan telah jadi budaya hidup mereka sinonim dengan ulama. Tok Guru Nik Aziz ini telah mentadbir Kelantan selama 23 tahun dengan statusnya sebagai ulama. Ramai ulama tetapi tidak ramai ulama yang berkecimpung dalam gerakan Islam atau politik. Ini satu kejayaan besar yang kita harus abadikan. Di sana banyak hasil pemikiran Tok Guru dalam bentuk syarahan, tulisan, tazkirah yang harus diambil sebagai satu pengajaran. Walaupun dia telah meninggalkan Kota Darul Naim tetapi suasana pentadbiran masih hidup dan diambil manafaat dari pandangan-pandangan jauh beliau itu dalam pentadbiran khasnya ubudiyyah, mas'uliyah dan itqan ini yang bagi saya memang hebat.
7) Apa yang ustaz bayangkan IPTG ini di masa depan?
Ahmad Yakub: Kita mahu ia menjadi satu yayasan yang besar di masa depan. Ia bakal menjadi penganjur program-program besar dan pemandu dalam urusan pentadbiran dan kemampuan Islam dalam tadbir urus sebuah kerajaan.
8) Ustaz juga mengumumkan projek besar iaitu perumahan mampu milik untuk rakyat miskin. Bagaimana projek ini?
Ahmad Yakub: Sebelum ini, dalam pentadbiran Tok Guru, kita tidak mendapat sebarang peruntukan dari kerajaan pusat, jadi kita terpaksa berdikari. Untuk lima tahun ini 2013 - 2018, kita telah meletakkan sasaran 5,000 unit rumah. Kita dah mula dan kita telah boleh serah sebanyak 30 unit. Pada dua tiga hari lepas kita ada satu projek besar di atas 115 ekar tanah Yayasan Islam Kelantan dengan PKINK dan Perbadanan Menteri Besar (PMBK). Dalam perumahan elit ini, kita akan keluarkan sekurang-kurangnya 132 unit rumah kos rendah di samping 600 unit rumah jenis lain. Di Gua Musang melalui PMBK kita bakal hasilnya  92 unit dan banyak lagi kita rancang. Saya yakin kita akan dapat capai sasaran 5,000 unit  ini.
9) Umno menjadikan isu air bersih di Kelantan sebagai isu mereka. Apa pandangan ustaz dalam hal ini?
Ahmad Yakub: Isu air adalah isu kebangsaan. Ia mudah dijadikan isu rakyat kerana kebergantungan kepada air. Kita juga hadapi masalah NRW (Air tidak membawa hasil) yang tinggi kerana paip-paip lama yang bocor. Kita telah dan sedang membuat imigrasi ke paip-paip baru. Bagaimanapun, isu ini nampaknya dibangkitkan menjelang pilihan raya saja. Saman ke mahkamah telah ditarik balik. Tapi kerajaan akan ambil perhatian hal ini kerana ia tugas kerajaan.
10) Umno selalu guna, kerajaan pusat telah berikan peruntukan dan pinjaman untuk projek air tetapi ia telah disalahguna dan tidak digunakan dengan baik dan sebagainya. Apa komen ustaz?
Ahmad Yakub: Memang kita guna dengan baik. Begini sebenarnya, kita tidak terima wang, kita terima projek dari kerajaan pusat, tidak sebagaimana yang disangka sebelum ini. Betul kita membuat pinjaman tetapi kita tidak terima wang tetapi terima projek. Semuanya telah ditentukan oleh kerajaan pusat mana-mana kontraktor yang dipilih. Misalnya satu projek gagal hari itu di Kampung Puteh. Saya terlibat waktu itu ketika Ir Haji Fauzi adalah CEO Air Kelantan. Kita telah pilih empat kontraktor untuk projek itu tetapi ditolak dan diberi kepada syarikat pilihan mereka. Hasilnya projek itu gagal dan terpaksa kita buka tender balik.
11) Ini isu agak sensitif iaitu isu Datuk Husam Musa Naib Presiden di peringkat pusat tetapi tidak terpilih sebagai exco di peringkat negeri. Boleh ustaz terangkan sikit?
Ahmad Yakub: Perkara ini sudah tidak berbangkit lagi. Saya sudahpun beri jawapan yang sepatutnya pada peringkat awal lagi. Ia merujuk kepada undang-undang tubuh kerajaan iaitu fasal 1 perkara 16. Ia memperuntukkan, Tuanku Sultan hendaklah melantik satu Majlis Mesyuarat Kerajaan. Bagi parti, kita tidak ada masalah. Datuk Husam adalah pimpinan kita di peringkat pusat dan di peringkat negeri bertaraf Timbalan Pesuruhjaya. Cuma merujuk kepada undang-undang tubuh itu sahaja.
12) Maknanya parti dan kerajaan tidak ada masalah dengan beliau. Jadi bagaimana dengan jawatan-jawatan dalam kerajaan yang lain?
Ahmad Yakub: Memang parti tidak ada masalah dengan beliau. Dalam mesyuarat Dewan Harian PAS negeri, kita telah mengambil keputusan untuk memegang dua jawatan pengerusi setiap orang di kalangan kita. Datuk Husam telah kita tawarkan untuk memegang dua jawatan Pengerusi GLC iaitu Pengerusi Kelantan Golden Trade (KGT) Sdn Bhd dan TDC atau Tunjong Development Corporation yang mana kedua-duanya memang diusahakan oleh beliau dahulu. Yang lain kita minta exco-exco yang terlibat menguruskannya.
13) Dalam pilihan raya 2008 dan baru-baru ini, ramai berpendapat punca kemenangan PAS di Kelantan adalah hasil sokongan pengundi luar yang balik dan menyokong kerajaan negeri. Apakah ustaz bersetuju dengan perkara ini?
Ahmad Yakub: Saya melihat dua perkara dalam hal ini. Pertama Umno Kelantan buat saraf yang tinggi bahawa mereka dapat 30 kerusi. Kita berusaha keras. Rakyat kita yang berada di luar negeri sebagai perantau mereka rasa bertanggungjawab untuk mempertahankan kerajaan Kelantan. Saya akui, dalam pilihan raya 2008, ada kawasan-kawasan yang majoritinya rendah. Contohnya Wakaf Baru. Kita hadapi tentangan sengit di sini dengan pelbagai program dari lawan kita. Dalam pilihan raya baru-baru ini, kemenangan kita meningkat kepada 900 lebih undi dari 200 lebih sahaja dalam pilihan raya lalu di kerusi ini. Kita kalah enam kerusi dan kita sedang kaji hal ini. Jadi saya setuju bahawa antara punca kemenangan ini adalah sokongan pengundi luar ini. Sebab itu dalam susunan exco kita masukkan 'perantau' di bawah portfolio pembangunan Islam yang diterajui oleh Datuk Nasrudin Haji Daud untuk meraikan kepentingan mereka khasnya kepada anak muda.
14) Ada juga rancangan SPR untuk mensyaratkan agar pengundi hendaklah mengundi di tempat mereka tinggal. Jika ini berlaku, rakyat Kelantan yang tinggal di Kuala Lumpur misalnya tidak lagi boleh mengundi di Kelantan. Apa pendapat ustaz?
Ahmad Yakub: Kita tunggu dan lihat dulu perkara ini. Cumanya, demokrasi ini perlu diberikan milik mutlak kepada rakyat. Ia perlu diberi kebebasan anak negeri itu di mana mahu mengundi. Jadi saya kurang setuju dengan cadangan itu.
15) Apa sikap ustaz dalam konteks hubungan antara pusat dengan negeri?
Ahmad Yakub: Saya ikut perlembagaan dalam konteks hubungan kerajaan negeri dan pusat. Ia ada jadual bersama dan hak itu perlu diberikan kepada rakyat Kelantan. Selebihnya saya akur kepada keputusan parti dari masa ke semasa.
16) Apa pandangan ustaz apabila ada cadangan kerajaan perpaduan dari Datuk Seri Najib kepada Datuk Seri Anwar?
Ahmad Yakub: Ini bukan level saya, ini level pusat untuk bincang hal ini, level presiden dan Majlis Syura. Saya hanya ikut sahaja.
17) Akhirnya, untuk muktamar ini ustaz ada cadangan untuk bertanding apa-apa jawatan?
Ahmad Yakub: Saya sebenarnya apabila memikirkan tugas selepas Tok Guru berundur ni banyaklah, hasrat tu tidak pernah mari. Tetapi untuk berkhidmat untuk parti dan perjuangan saya bersedia tetapi bukan hendakkan jawatan. Sebab jawatan ini bila kita kejar dia, dia akan jadi beban dan satu tanggungjawab. Kalau kita nak jawatan ini, kita tugas sudah banyak, ini kena fikir dua kali. – 25 Ogos, 2013.

Tiada ulasan: