Sedari kuasa kita!

Sedari kuasa kita!

Pengikut

21 Ogos, 2013

Jawapan untuk Nik Amar menjelang pertemuan!


Jemputan TMB Kelantan di SINI

Oleh: Mohammad Agus Yusoff 

ADUHAI, TIMBALAN MENTERI BESAR KELANTAN

Apabila TMB menjawab posting saya tentang isu Kelantan dalam Malaysian Insider hari ini, empat perkara tersentap di hati saya. Pertama, jawapan beliau adalah self-indulgent (syok sendiri). Justeru syok sendirilah, maka jawapan yang beliau berikan penuh fantasi dan terkeluar dari isu sebenar yang saya timbulkan. 

Apakah isu sebenar yang saya timbulkan? Isu yang saya timbulkan ialah soal pembangunan negeri, yakni lebuh raya rakyat, stadium dan bekalan air bersih. Saya tidak sentuh langsung soal pelantikan Datuk Husam kerana itu adalah soal parti yang di luar dari keperluan dan keprihatinan saya. Yang saya pentingkan ialah kemudahan yang diperlukan oleh rakyat untuk tindakan kerajaan negeri, bukannya soal pelantikan Datuk Husam.

Jika betullah saya menulis tentang perasaan tidak puas hati saya berkenaan dengan pelantikan Datuk Husam, boleh TMB bagitahu saya bila saya tulis hal ini? Di mana saya tulis? Untuk pengetahuan TMB, usahkan untuk menulis hal ini, bercakap dan mengulas hal ini pun saya tidak berminat. Justeru TMB mempunyai famtasi yang tinggi dalam soal ini, sebab itulah saya katakan beliau syok sendiri.

Kedua, jawapan TMB tersebut menunjukkan sikap tergesa-gesa beliau dalam memberikan respons kepada kenyataan saya. Saya bertanya: adakah TMB membaca posting saya sebelum membuat kenyataan balas atau sekadar cakap dengar sahaja? Justeru tergesa-gesalah jawapan TMB tiada roh dalam memahami denyut nadi rakyat. Yakinlah majoriti rakyat bukan sekadar jemu, tetapi sudah jenuh untuk bercakap soal pembangunan yang dijanjikan oleh kerajaan negeri. Saya sendiri juga bukan sekadar letih, tetapi sudah lelah, semput nafas untuk bercakap soal pembangunan Kelantan. 

Ketiga, jawapan TMB tersebut meyakinkan saya bahawa beliau ‘semakin alergik’ kepada teguran dan kritikan. Kata Aritotle, jika tidak mahu ditegur dan dikritik “do nothing, say nothing and be nothing.” Sekarang ini TMB sudah berada dipuncak sebagai pemimpin kerajaan negeri, maka bersedialah sedikit untuk ditiup angin. Jika angin sepoi-sepoi pun sudah dianggap ribut, maka susahlah untuk TMB mendaki lebih tinggi lagi mendokong hasrat rakyat.

Keempat, jikalah ini jawapan yang diberikan dalam peperiksaan, maka markah yang saya berikan kepada jawapan TMB ialah OUB (out of bound). Tergelincir! Jika saya mahu ulas hal ini, teruk jadinya. Maka, biarlah saya sekadar menjelaskan apakah yang OUB itu? OUB itu ialah apabila 'kita' tidak menjawab perkara yang ditanya? Misalnya, soalan saya ialah “mengapakah kerajaan Kelantan lewat melaksanakan janji untuk melaksanakan lebuh raya rakyat?” Jawapan yang diberikan ialah “kerana Agus tidak puas hati Datuk Husam tidak dilantik menjadi Exco.” Aduh, berat jawapan itu? Lain ditanya, lain yang dijawab.

Begitulah juga dengan jawapan TMB kepada kenyataan saya. Jawapannya cuba mengaitkan pelantikan Datuk Husam dengan perkenan Tuanku Sultan, sedangkan saya langsung tidak menyentuh hal tersebut. Pada saya, jawapan dan respons sebegini tidak beretika dan menunjukkan tahap ‘keupayaan’ .... yang sekiranyalah terjadi kepada pelajar saya, pastinya saya akan memberi tugasan tambahan (extra assignment) sebelum saya menilai sekali lagi untuk menggagalkannya. 

Dalam soal pembinaan lebuh raya rakyat, TMB menyatakan kerajaan negeri sudah bersetuju untuk melaksanakannya. Saya tidak mahu lagi mengulas hal ini kerana semakin saya ulas semakin banyak nampak percanggahan kenyataan dalam kalangan Exco—seorang kata sudah tidak mahu bincang kerana hendak memantapkan pelaksanaannya sahaja, seorang kata dalam penyediaan kertas cadangan, seorang kata dalam kajian untuk melaksanakannya dan lainnya. 

Apa yang saya hendak sentuh ialah analogi TMB dalam soal pembinaan lebuh raya rakyat ini. Katanya: “Kita dah setuju nak buat kenduri kahwin, soalnya, duit itu datangnya dari mana, siapa yang hendak kita panggil, siapa keteringnya. Itu isunya. Bukan kata tak mahu kahwin.” 

Analogi ini menimbulkan banyak pertanyaan dari jawapan. Semasa membuat pengumuman hendak kahwin dahulu, takkan tak fikir semua ini? Itupun rakyat tidak hendak tahu, dalam dunia realiti, yang rakyat hendak tahu ialah “bilakah lebuh raya ini akan siap dan apakah tindakan kerajaan negeri untuk menyiapkan lebuh raya ini?” Mengapa tidak jawab pertanyaan mudah ini?

Saya timbulkan isu ini bukan atas soal perbezaan saya dengan sesiapa, tetapi sebagai meluahkan kehendak rakyat bagi memastikan kerajaan negeri memenuhi janjinya. Sekiranyalah saya tidak ‘menjolok’ isu ini, saya yakin dengan jawapan kerajaan negeri yang ‘selalu kelam kabut’ ini, soal pembinaan ini akan disimpan di bawah karpet sahaja. Jika dihidupkan semula pun menjelang pilihan raya sebagai retorik politik untuk menyalahkan kerajaan pusat kerana tidak memberi bantuan dan menyekat royalti Kelantan. Memang betul, kerajaan pusat tidak memberi royalti. Memang betul, tanggungjawab membina lebuh raya ialah tanggungjawab kerajaan pusat, tapi yang berjanji membinanya siapa? Yang memecahkan tanahnya siapa? Yang mengutip dermanya siapa? Ini isunya. 

Oleh sebab itulah saya menulis hal ini untuk mengingatkan kerajaan negeri. Saya cuba memberikan ubat kepada kerajaan negeri, malangnya kerajaan negeri mengharapkan ubat itu manis tanpa menyedari ubat itu pahit.

Apa yang silapnya saya? Silapnya saya ialah menyatakan kerajaan negeri kekeringan idea baru sedangkan kerajaan negeri telah ‘mengumumkan’ dua projek penting, iaitu menyiapkan 3,000 buah rumah mampu milik dalam masa lima tahun ini dan dasar mesra keluarga iaitu menempatkan pekerja dekat dengan kediamannya. Justeru saya tidak menyentuh tentang dua projek penting ini, maka TMB menyatakan “bagaimana orang bertaraf profesor seperti Dr Agus terlepas semua perkara ini.”

Saya mengetahui dua pengumuman itu, tetapi tidak menulisnya. Maka, itulah silap saya. Maaf kerana tidak menulisnya. Saya tidak menulisnya kerana kekeringan idea yang saya maksudkan adalah dasar-dasar baru dari segi pembangunan fizikal dan juga dasar-dasar yang boleh memberi pulangan kehidupan kepada rakyat. Apapun, saya mengakulah saya silap untuk memuji kerajaan negeri saya sendiri.

Menariknya lagi ialah setelah kecewa dengan tulisan saya yang alpa untuk memuji dua projek penting kerajaan negeri di atas, TMB mempelawa saya ke pejabat beliau untuk menyelesaikan kekeliruan saya mengenai kerajaan negeri. Jawapannya ialah saya bersedia. Esok malam saya bertolak ke tiga buah negara di Eropah dan akan segera berjumpa TMB setelah pulang pada 2 September nanti.

Aduhai TMB, tunggu kedatangan saya!

P/S: DAP ada Lim Guan Eng. PKR ada Khalid Ibrahim. PAS ada Nik Amar. "Cantekkkkkk!"

2 ulasan:

jebat berkata...

pendokong tegar pas patut bersedia untuk menjadi pembangkang pada pru akan datang,,

digitalmaya berkata...

umno kalau dikritik macam tu silap² kedalam isa