Shamsul Adabi

SHAH ALAM - Bukan mudah untuk seseorang mencabar jawatan perdana menteri dengan membuat usul undi tidak percaya bagi mendapatkan kedudukan nombor satu negara itu.

Pensyarah Sains Politik Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Shamsul Adabi Mamat berkata, walaupun hasrat itu boleh dilaksanakan, namun beliau percaya ia bukan mudah dilaksanakan.

“Saya percaya dengan pengaruh Datuk Seri Najib Tun Razak, tidak mudah untuk mendapatkan kedudukan beliau.

“Najib ada peluang besar dalam BN, banyak pembaharuan yang dilakukan beliau untuk negara,” katanya, semalam.

Beliau berkata demikian mengulas laporan sebuah portal berita yang mendakwa Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah atau lebih mesra dikenali Ku Li bertemu lebih ramai ahli Parlimen daripada kedua-dua gabungan dalam usaha untuk dipilih sebagai perdana menteri selepas Parlimen bermula 24 Jun ini.

Ku Li yang juga Ahli Parlimen Gua Musang itu dikatakan mengatur mesyuarat di rumahnya untuk membincangkan strategi mendapatkan majoriti sokongan untuk mengambil alih jawatan perdana menteri.

Bagaimanapun kata Shamsul Adabi, beliau melihat situasi itu kemungkinan lebih kepada hasrat Ku Li mahu bertanding dalam pemilihan Umno,

Oktober ini bagi kerusi presiden kerana secara tradisinya akan diangkat sebagai perdana menteri.

“Sebenarnya Ku Li mahu bertanding dalam pemilihan bagi kerusi Presiden Umno kerana jika menang pastinya akan jadi perdana menteri.

“Kalau betul beliau mahu bertanding sebenarnya tidak salah, bukan derhaka tetapi akan berlaku perubahan sihat demokrasi dalam Umno itu sendiri,” ujarnya.

Mengulas lanjut katanya, jika perkara itu berlaku, Ku Li mungkin bukan lawan Najib kerana melihatkan faktor usia dan pengaruhnya.

“Memang Ku Li orang lama dalam Umno, tapi Najib ada pengaruh tersendiri, lagipun beliau masih muda serta mungkin ideanya lebih baik untuk kecemerlangan Umno.

“Kalau pun berlaku, Umno tidak perlu risau atau berpecah. Jadikan ini sebagai perubahan matang bagi menunjukkan relevan Umno kini,” katanya.

Terdahulu Najib mengumumkan beliau bersifat terbuka jika ada ingin bertanding jawatan presiden dalam pemilihan pucuk pimpinan Majlis Tertinggi Umno, hujung tahun ini.

Bagaimanapun, ramai pemimpin dan veteran Umno menyokong cadangan jawatan presiden dan timbalan presiden Umno tidak dipertandingkan
.