Timbalan ketua Wanita Umno Datuk Kamilia Ibrahim berkata beliau kecewa dengan “penghinaan” yang ditunjukkan apabila parti itu tidak meletakkan pemimpin tertinggi dari sayap parti berkenaan sebagai calon dalam pilihan raya umum akan datang.
Malah, tindakan itu menunjukkan bahawa BN tidak memberi pengiktirafan sewajarnya ke atas sumbangan pemimpin tertinggi wanita, katanya seperti dipetik dalam laporan Sinar Harian.
Kamilia berkata, beliau menjangkakan untuk diletakkan sebagai calon di kerusi parlimen Kuala Kangsar, di bahagian Umno yang diketuainya.
Beliau beranggapan demikian memandangkan ketua sayap berkenaan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil tidak lagi mahu diletakkan sebagai calon.
Kamilia juga berkata, ketua Wanita Umno negeri di Kedah, Johor dan Terengganu juga tidak diletakkan sebagai calon.
Senarai yang diumumkan BN juga tidak menamakan ketua Wanita Umno Selangor sebagai calon.
“Jika permintaan tidak diberi, wanita mempunyai pelbagai pilihan lain kerana perjuangan saya berpandukan negara, agama dan bangsa.
“Sekiranya pintu tidak dibuka kepada saya, saya akan perjuang di tempat lain.
“Pintu ditutup, mungkin ada pintu lain sama ada saya akan pecahkan atau buat sendiri. Saya mungkin pertimbangkan pilihan lain kerana perjuangan saya tidak perlu berakhir di tahap ini sahaja,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan